Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad bertekad untuk terus menggempur dan memerangi perasuah serta salah guna kuasa tanpa mengira siapa, apa kedudukan mereka serta pangkat.
Beliau menerusi ‘Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia’ yang dititipkan sempena 100 hari berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik, penjawat awam, penguat kuasa undang-undang dan badan kehakiman menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa atau berdepan tindakan badan penguat kuasa itu.
Sambil menyifatkan pelaku rasuah sebagai pengkhianat bangsa, katanya, anggota penguat kuasa tidak sesekali gentar terhadap kuasa atau pengaruh dalam menjalankan amanah memerangi kegiatan tersebut secara habis-habisan.
“Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan dengarkan amaran ini, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa. Tunduk dan menyerahlah. Jangan terus mendabik dada kerana nanti anda mungkin rebah ditimpa bala.
“Awaslah api perjuangan ini semakin hangat membara. Gendang tempurnya semakin lantang bergema, gegak gempita menggegar angkasa. Biar gugur melayang nyawa mempertahankan nusa, pastiku rempuh si durjana pengkhianat bangsa,” katanya ketika menyampaikan warkah tersebut sempena perhimpunan Majlis 100 Hari Ketua Pesuruhjaya SPRM .
Tegasnya, walaupun perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa adalah getir dan menakutkan, anggota suruhanjaya itu akan terus mengekalkan iltizam walaupun ada ketikanya nyawa menjadi taruhan manakala badan kehakiman perlu menjadi benteng kukuh kepada rakyat dalam mencari keadilan dengan berani menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan.
“Buat para hakim, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa tanpa rasa gentar, demi teladan mereka di luar sana,” katanya.
Kepada ahli politik dan pemimpin masyarakat pula, beliau meminta mereka melaksanakan amanah dan memperjuangkan nasib rakyat yang mahukan pembelaan, bukannya ‘membuai’ rakyat dengan janji indah sedangkan pada masa sama rakus meragut habuan.a