Lebih 50 peratus daripada 16,544 warga asing yang diberi laluan mudah masuk dan keluar ke dalam negara ini oleh sekumpulan 37 pegawai imigresen yang ditahan polis tahun ini adalah warga Bangladesh.
Untuk masuk dan keluar dari negara ini sahaja, kesemua 8,880 warga Bangladesh berkenaan telah membayar kepada kumpulan pegawai imigresen terbabit ‘upah’ sebanyak RM14.98 juta atau antara RM2,000 hingga RM2,500 seorang.
Berdasarkan siasatan untuk masuk ke negara ini dengan bantuan sindiket, seorang warga Bangladesh perlu membayar antara RM15,000 hingga RM18,000 kepada sindiket termasuk upah laluan mudah yang perlu dibayar kepada kumpulan pegawai imigresen terbabit.
Selepas masuk ke negara ini, sindiket akan mencarikan mereka pekerjaan dan warga Bangladesh ini perlu membayar sejumlah wang lagi jika mahu mendapatkan permit palsu ataupun permit tulen secara salah menerusi sindiket yang bersekongkol dengan pegawai imigresen.
Bayangkan jumlah yang diterima pegawai-pegawai imigresen yang tidak bertanggungjawab ini untuk lain-lain ‘perkhidmatan’ haram yang dilakukan.
Tambah sumber, selain Bangladesh, warga asing lain yang masuk dengan cara dan sebab yang sama ialah India (1,690 orang), Vietnam (2,330 orang), China (1,890), Pakistan (580) dan selebihnya warga dari negara lain.
Terdapat juga warga asing yang masuk ke negara ini melalui laluan mudah untuk ke negara ketiga.
Mereka kebanyakannya dari negara Asia Barat, Afghanistan, Pakistan, India, Sri Lanka dan China yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum mendapatkan dokumen dengan bantuan sindiket yang bersekongkol dengan imigresen untuk pergi ke negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan Eropah Barat.
Akhbar Mingguan Malaysia melaporkan kegiatan haram sekumpulan 37 pegawai imigresen yang menerima upah kira-kira RM18 juta sejak 2014 dengan membawa masuk dan keluar lebih 16,000 warga asing melalui laluan mudah ke negara ini.
Angka itu diperoleh hasil soal siasat terhadap 74 suspek yang 37 daripadanya adalah pegawai penguat kuasa berkenaan yang diberkas dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Februari sehingga 12 Oktober lalu. Suspek selebihnya merupakan ejen dan ahli sindiket yang berurusan dengan pegawai-pegawai terbabit.�Kesemua warga asing ini masuk dan keluar melalui empat lapangan terbang negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak.
No comments:
Post a Comment