Syukur , Tahun ini kita menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan bagi kali ke 59 dengan aman dan sejahtera. Rakyat kita sungguh beruntung dan bertuah kerana dapat menyambutnya tanpa berasa bimbang akan sebarang ancaman walaupun keadaan dunia sekarang masih diselubungi dengan rasa ketakutan akibat keganasan, pencerobohan dan peperangan.
Sayangnya makna kemerdekaan hari ini sudah semakin kurang difahami dan dihargai oleh ramai daripada kita. Ramai daripada kita dilahir di zaman selepas merdeka dan kita tidak berpengalaman hidup dijajah dan dihina. Jika tidak ada satu usaha untuk memperingati kita, kita akan lupa terus akan sejarah terhina kita dan kita tidak lagi akan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara kita.
Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, disaat kita menikmati udara kemerdekaan ini, perlulah kita mengingati perjuangan generasi terdahulu sehingga kita dapat menikmati segala kejayaan dan kemakmuran hari ini.
Negara kita sudah hampir enam dekad kekal bebas daripada penjajahan asing. Rakyat kita sudah matang dari segi politik demokrasi dan amat cintakan kepada kestabian dan keamaan. Justeru itu Malaysia hari ini semakin disegani didunia di pelbagai peringkat. Sesungguhnya kejayaan hari ini menjadi asas dan garis panduan mengadapi masa hadapan.
Menurut Liow lagi, semangat kemerdekaan ini dapat dilihat dan diterjemahkan melelui azam dan cita-cita para atlet Olimpik negara pada bulan ini sehingga berjaya menjulang nama negara dipentas dunia.
Manakala rakyat pula dilihat bersatu padu dan berdiri teguh dibawah satu bendera memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada atlet yang berjuang untuk negara." Ini benar-benar mencerminkan tema Hari Merdeka bagi tahun ini, Sehati Sejiwa malah membuktikan semangat patriotisme yang wujud pada setiap rakyat Malaysia," tambah Tiong Lai lagi.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau :
31 OGOS 2016
UNTUK SIARAN SEGERA
KENYATAAN AKHBAR
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
Perpaduan Antara Rakyat Pemacu Kejayaan Negara
Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia.
Sempena kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 59, luangkan sedikit masa untuk mengimbau kembali perjalanan negara sehingga ke hari ini.
Berlandaskan solidariti yang terbit dari kepelbagaian bangsa dan budaya, Malaysia kini adalah sebuah negara yang semakin disegani, dengan kejayaan di pelbagai peringkat. Kesungguhan dan kecekalan pejuang-pejuang negara telah menjadi asas kepada kejayaan yang dikecapi serta merupakan garis panduan dalam kita mengharungi rintangan dan cabaran.
Cita-cita dan azam ini jelas ditonjolkan oleh para atlet Olimpik negara pada awal bulan ini. Mereka telah menjulang nama negara di peringkat sukan antarabangsa berbekalkan kegigihan dan semangat kesukanan yang tinggi. Di tanah air pula, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, menyokong dan bersorak untuk atlet-atlet kita yang berjuang. Ini benar-benar mencerminkan tema Hari Merdeka bagi tahun ini, Sehati Sejiwa malah membuktikan semangat patriotisme yang wujud pada setiap rakyat Malaysia.
Kontinjen negara juga telah mengukir sejarah dengan membawa pulang lima pingat Olimpik. Sambil kita menyambut kemenangan mereka kita juga harus menyedari bahawa kejayaan setiap individu adalah kejayaan kita bersama dan ini merupakan tonggak kejayaan tanah air yang kita cintai. Setiap individu mampu menyumbang dengan cara tersendiri, demi kejayaan Malaysia secara kolektif.
Dalam kita mengejar impian negara, mari kita bersama-sama menghayati semangat Kemerdekaan sambil kita meraikan hari yang amat bermakna ini. Kesederhanaan, toleransi dan bertolak ansur adalah asas Rakyat Malaysia dahulu, kini dan selamanya.
Selamat Hari Merdeka dan selamat beristirehat bersama keluarga. Bagi pengguna jalan raya, ingatlah mereka yang tersayang dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.