Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menghentikan mengunakan alasan semua salah 'Najib' setiap kali gagal mentadbir dengan baik atau gagal menunaikan janji manis manifesto, tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, adakah kerajaan Pakatan Harapan akan mengunakan alasan ‘semua salah Najib’ sebagai prosedur standard operasi (SOP) sepanjang pemerintah mereka selama lima tahun akan datang.
Bekas Presiden UMNO itu mengulas dakwaan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bahawa pihak yang yang mengajukan keresahan terhadap pelantikan Yang Dipertua Speaker hanya mensensasikan isu tersbeut bagi mengalih perhatian terhadap penindasan politik terhadap beliau.
"Saya bukan lagi Perdana Menteri atau berada dalam kerajaan yang mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu perlantikan Speaker ini?
"Seperti cerita hutang negara RM1 trilion kerajaan PH bersandarkan definisi sendiri yang tiada negara lain dalam dunia gunakan, nama saya terus diperalatkan sebagai alasan serta dipersalahkan setiap kali kerajaan Pakatan gagal mentadbir dengan baik atau gagal menunaikan janji manis manifesto mereka," kata Najib dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Jelas bekas Perdana Menteri, Alasan ‘semua salah Najib’ yang digunakan oleh kerajaan PH adalah tidak adil bagi rakyat. Ini lebih-lebih lagi mereka mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan baharu.
Sementara itu, Najib berkata, mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat nama Speaker Dewan Rakyat yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.
"Pada ketika ini, hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Parlimen bermula, identiti Tuan Yang Dipertua masih lagi belum dikenal pasti dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam terhadap siapakah yang akan mengisi jawatan itu.
"Parlimen adalah badan tertinggi negara ini. Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi? Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang?" tanya Najib.-UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment