Menteri akui kadar turun sangat rendah
Penurunan harga barangan yang rendah menjadi punca rakyat masih belum merasai sepenuhnya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar sejak 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya daripada 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.
“Sebenarnya kenaikan tidak berlaku tetapi jumlah penurunan harga barangan itu sangat kecil, ia tidak mencapai 30 hingga 40 peratus.
“Apabila kita semak aduan, terdapat dua kategori yang paling besar iaitu harga tidak berubah dan harga meningkat daripada 10 aduan yang diterima lima daripadanya berkaitan makanan dan minuman di restoran, kedai makan serta medan selera,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, harga makanan dan minuman turun di premis restoran makanan segera, namun tidak di restoran India Muslim atau kedai ‘mamak’ yang masih mengekalkan, malah ada yang menaikkan harga.
“Jumlah kedai mamak itu agak besar bilangannya sebanyak 10 ribu restoran dan pegawai KPDNHEP membandingkan harga dengan restoran makanan segera dan ia menunjukkan penurunan agak ketara di restoran makanan segera tetapi tidak di kedai mamak.
“Memang berlaku rampasan dan sebagainya tetapi pegawai kita ambil pendekatan memberi nasihat dan amaran agar tidak diulangi sebelum tindakan undang-undang diambil kerana kita tidak mahu menjejaskan mata pencarian sesiapa tetapi jangan memangsakan pengguna,” katanya.
Sementara itu dalam sidang akhbar ketika Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNHEP di Putrajaya hari ini, Saifuddin berkata, pihaknya yang melakukan perbandingan sebelum dan selepas 1 Jun itu juga mendapati masih terdapat 30 peratus restoran mamak tidak menurunkan harga.
“Misalnya saya menerima aduan harga teh tarik telah melonjak naik yang tidak munasabah sedangkan bahan-bahannya telah berkadar sifat GST.
“Sehubungan itu, pihak kementerian akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi mengesan restoran mamak yang masih berdegil. Jika berlaku perlanggaran undang-undang ketara dan berulang, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan KPDNHEP bagi menyelesaikan isu penurunan harga.
Menurutnya, Presma akan mendapatkan maklumat selengkapnya dari kementerian itu dan mengenal pasti mana-mana restoran mamak yang didapati masih mengenakan caj berlebihan.
“Malah kami juga sedaya upaya menyerap kenaikan harga mentah jika ada kenaikan bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna termasuk selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment