Wednesday, March 4, 2015

KEUTAMAAN DALAM PERUNDANGAN ISLAM


Dalam kita mencari hakikat dan kebenaran Islam, kita tidak boleh cari dengan rasa-rasa, dengar-dengar apatah lagi ia berkait rapat dengan perundangan Islam.

Perbincangan tentang perundangan Islam atau apa sahaja yang berkaitan  dengan Islam, perlu kita merujuk kepada kitab yang sebenar, barulah boleh dikatakan kita mencari ILMU. Bukan sekadar secukup rasa, seperti  yang ada dalam buku Resepi masakan, kata Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pondok 1 Malaysia (YPPM).

Menurut Datuk Dr. Mashitah Ibrahim,  sebenarnya, dalam istilah Islam, Perundangan Islam kita  namakan Fiqhul Islam atau syariat Islam, ianya tidak bermula dengan hudud semata-mata. Oleh itu rujukan terbaik untuk umat Islam ketika ini adalah dengan merujuk kepada Kitab Alfiqul Islami Wal Adilatuhu, karangan Dr. Wahbah az-Zuhaili, salah seorang tokoh ulama yang tersohor di Syria yang pernah diiktiraf dan dinobatkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah di negara Malaysia.

Dalam kitab tersebut, Syiekh Dr. Wahbah Zuhaili menerangkan bahawa Fekah ini bermula dari ibadat, kemudian muamalat, munakahat dan jinayat. Dalam mauduk Jinayat, ia  terbahagi kepada beberapa bab, iaitu Qisas, Takzir dan terakhirnya Hudud. Jadi sebenarnya hudud ini adalah sebahagian kecil dari bab-bab Fekah.

Perundangan Islam bukanlah hanya bersifat hukum semata-mata, ia tidak hanya berlegar-legar dalam ruang hudud semata-mata atau sekadar menjatuhkan hukuman. Undang-undang Islam ia bermula dari ibadat, ia mengatur hubungan manusia dengan dirinya, hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Mengatur manusia dengan dirinya adalah berkenaan bagaimana dia hendak menjaga dirinya dan fardhu ain. Manusia dengan Allah ialah bagaimana dia menguruskan berkenaan ibadat dan sebagainya. Manakala manusia sesama manusia adalah berkait rapat dengan muamalat, munakahat dan terakhirnya barulah jinayat yang ada terkandung dalamnya bab Hudud. Maka sudah ada susunan dalam melaksanakan perundangan Islam mengikut prioriti, tambah Datuk dr. Mashitah Ibrahim.

Alim ulama bukan sebarangan dalam menyusun sesuatu pekara dalam kitab-kitab mereka. Mereka tidak meletakkan bab jinayat dalam susunan teratas dalam kitab fekah , tetapi mereka meletak bab ibadat sebagai prioriti yang perlu siberi keutamaan. Ibadat itu merangkumi solat, puasa dan segala yang berkaitan dengan rukun-rukun Islam. 

Jadi apakah hudud dalam erti kata sebenarnya ? hudud atau Had itu disegi bahasanya ialah batas-batas larangan dan ianya merupakan satu deklarasi bahawa Islam satu agama yang aman dan menolak jenayah. Jika kita merujuk dalam kitab Alfiqul Islami Wal Adilatuhu, Dr.Wahbah az-Zuhaili menyebut bahawa ayat yang membicarakan berkenaan hukum hanyalah 30 ayat daripada 6236 ayat Al-Quran. Jadi makna hudud ini adalah yang berkaitan dengan salah satu dari perundangan Islam yang telah disebut diatas. Ia adalah hukum-hukum yang berkaitan dengan berzina, mencuri, minum arak dan juga qazaf atau tuduhan. Ia cuma ada lima atau sesetengah pendapat menyatakan enam hukum yang ditentukan oleh Allah SWT hukumnya dalam al-Quran. 

Wallahualam. 

Rujukan asal : https://www.youtube.com/watch?v=iSyJ-6_mnyg

No comments:

Post a Comment