Showing posts with label singapura. Show all posts
Showing posts with label singapura. Show all posts

Saturday, March 4, 2017

MELAYU BAKAL MEREMPAT



"lebih mengecewakan, pemimpin syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang merupakan orang Melayu sendiri tidak membantu untuk menegakkan nilai-nilai kemelayuan termasuk tidak menyokong sepenuhnya akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang memperjuangkan nasib bangsa"


Orang Melayu di negara ini berisiko mengalami nasib seperti kaum sama di Singapura berikutan kegagalan mereka mengangkat nilai-nilai bangsa selain berlaku perpecahan politik.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, sehubungan itu, pilihan raya umum akan datang dilihat amat kritikal bagi menentukan nasib orang Melayu.

Menurutnya, keadaan pada masa ini yang menyaksikan kaum tersebut berpecah termasuk pembentukan beberapa parti politik dikhuatiri boleh menyebabkan mereka hilang kuasa.


“Bangsa Melayu terlalu mengambil sikap mudah dalam memperjuangkan nilai-nilai bangsa serta kuasa politik. Bukti sikap ambil mudah itu dapat disaksikan di Singapura apabila nilai-nilai Melayu di negara jiran itu hanya tinggal menjadi bahan-bahan kesenian.

“Kita gagal mengangkat nilai-nilai bangsa, gagal membentuk sebuah negara bangsa yang menjadikan nilai kita sendiri sebagai keutamaan, malah pada masa sama, kita berpecah dari segi politik.

“Keadaan itu menyebabkan bangsa kita semakin lemah dan jika kuasa Melayu hilang pada pilihan raya umum akan datang, tidak tahu apa nasib kita,” katanya dalam Forum Bela Nusa-Apa Erti Perjuangan? di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin.

Abdul Aziz menambah, lebih mengecewakan, pemimpin syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang merupakan orang Melayu sendiri tidak membantu untuk menegakkan nilai-nilai kemelayuan termasuk tidak menyokong sepenuhnya akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang memperjuangkan nasib bangsa. - UTUSAN ONLINE

Friday, February 17, 2017

HSR AKAN PACU EKONOMI NEGARA




Tidak dapat nak mengambarkan bagaimana keadaan keretapi berkelajuan tinggi ini dapat mengurangkan masa dari kebiasaannnya 4 , 5 jam kepada 90 minit. Sudah tentu ia akan mempercepatkan pergerakkan rakyat diantara dua negara. Sudah tentulah projek HSR tidak hanya menumpukan kepada pengangkutan awam semata-mata walaupun ianya sangat jelas dapat mengurangkan masa perjalanan. 

Dengan adanya kereta api laju HSR ini, maka bandar-bandar baru akan mula wujud. Antaranya Bandar Malaysia (KL), Putrajaya , Seremban, Ayer Keroh (Melaka), Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri. Sudah tentu dengan adanya bandar-bandar baru ini akan wujudlah peluang peluang pekerjaan yang baru. 

Disember 2016 yang lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang memberi laluan kepada pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dan akan mengurangkan masa perjalanan antara 2 bandar itu kepada hanya 90 minit.

Perjanjian itu, susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 19 Julai, ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Koordinasi Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan. Perjanjian itu meliputi aspek teknikal, keselamatan dan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) berhubung HSR.

HSR ini mempunyai keupayaan memampatkan jarak geografi. Banyak perkara akan berubah apabila wujudnya persekitaran baru yang kondusif. Sedikit sebanyak cara hidup mereka akan berubah. Cara bekerja, bermain dan juga bersosial. 

Pernahkah anda bayangkan dari Seremban akan mengambil masa 25 minit untuk sampai ke Kuala Lumpur. Tentu akan berlaku banyak perubahan besar nanti. Mungkin ramai orang akan berpindah ke Seremban dan bekerja ulang alik ke KL setiap hari. Ini semua sudah terbayang didalam minda saya. Tentu banyak sekali perubahan yang akan berlaku di bandar-bandar besar dengan adanya perkhidmatan kereta api laju HSR.

Mereka yang tinggal di Air Keroh, Melaka boleh ke Bandar Malaysia tak kurang dari 40 minit. Merek yang tinggal di sekitar Lembah Klang pun mengambil masa lebih 40 minit untuk ke tempat kerja dalam keadaan jem. Ini betul-betul mengujakan, selain dapat mengurang kesesakan jalanraya, peluang perkerjaan akan bertambah dengan banyaknya. Banyak sektor-sektor baru boleh diwujudkan, dan peluang pekerjaan pun semakin bertambah.

Justeru itu rancangan negara menjadikan koridor selatan sebagai sebuah kuasa besar ekonomi bakal tercapai. Aspirasi negara ingin mewujudkan peluang pekrjaan dan kekayaan agar sasaran kita menjadi negara berpendapatan tinggi akan berjaya.   

Manakala bagi penduduk di Muar dan Batu Pahat yang berkerja di Singapura, perjalanan harian yang begitu mengambil masa dapat disingkatkan menjadi lebih kuran 45 minit atau 30 minit sahaja pergi dan balik. Ini dapat menjimatkan masa dengan begitu drastik sekali. Masa yang terbuang di jalanraya dapat dikurangkan. Pengguna dapat pulang segera untuk bertemu keluarga.  

HSR kereta api laju ini akan membolehkan  pembangunan di Lembah Klang lebih rancak dan berkembang luas," kata-kata ini diluahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp Mohd Nur Ismal Kamal.

Dalam pada masa yang sama ia juga akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk seluruh koridor selatan, dan di negara ini juga. Tidak lagi semuanya akan tertumpu di zon tengah Kuala Lumpur dan Selangor.  Kerajaan Malaysia mahu memanfaatkan penumpuan sumber dan modal insan dari menggabungkan Kuala Lumpur dengan Singapura, bersama-sama dengan enam bandar Malaysia.

Sunday, August 21, 2016

NATUNA MILIK SIAPA ?




Natuna adalah sebuah gugusan kepulauan di bahagian paling utara gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, merupakan salah satu Republik Indonesia.


Kedudukannya sangat menghampiri dengan Singapura, Malaysia,dan Vietnam. Dengan keluasan wilayah 141.901 km2 atau lebih tiga kali luas Wilayah Sumatera Barat. Tapi dari keseluruhan keluasan daerah tersebut, 138.666 km2 (97%) merupakan lautan dan hanya 3.232,2 km (2.4%) saja berupa daratan dari 271 pulau besar dan kecil di kawasan itu. Pulau yang terbesar di Natuna adalah Pulau Bunguran. Lain-lain pulau yang lebih kecil di antaranya Pulau Jemaja, Pulau Serasan, Pulau Midai, Pulau Bintang dan Pulau Sedanau di bahagian Selatan, serta Pulau Laut di Utara yang lebih dekat ke Vietnam daripada ke Batam.


Sejarah Natuna tidak dapat dipisahkan dari sejarah Daerah Kepulauan Riau yang pada awal kemerdekaan dulu merupakan bagian Wilayah Sumatera Tengah yang berpusat di Bukit Tinggi Berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia Wilayah Sumatera Tengah, tanggal 18 Mei 1956, yang menggabungkan Kepulauan Riau ke dalam Wilayah Republik Indonesia, Kepulauan Riau diberi status Kawasan Autonomi Tingkat II yang diketuai Bupati sebagai ketua daerah.


Wilayah Kepulauan Natuna dekat dengan zon konflik yang kerap menarik perhatian dunia antarabangsa terutama Malaysia dan terbaru adalah negara Republik Rakyat China. Konflik yang di maksud disini adalah konflik Laut China Selatan. Laut China Selatan terletak di kawasan Lautan Pasifik terbentang dari Singapura dan Selat Malaka di barat daya hingga Selat Taiwan di timur laut. Kawasan ini meliputi lebih dari 200 pulau kecil, bebatuan, dan karang yang sebagian besar berada di rangkaian kepulauan Paracel dan Spratly. Rangkaian kepulauan inilah yang seringkali menjadi rebutan sehingga menimbulkan ketegangan politik dari beberapa negara di sekitarnya. Laut China Selatan pada dasarnya merupakan no man’s island kerana kawasan ini pada dasarnya tidak dimiliki oleh siapapun melainkan digunakan sebagai laluan perdagangan antarabangsa.


Namun jika kita kembali kepada lipatan sejarah Kepulauan Natuna, ianya tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu. Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan lebih tertumpu di kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18. Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau. Asal pemerintahan Patani di Natuna bermula apabila salah seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna bernama Puteri Wan Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara Lingkai al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.



Antara pemerintah yang terkenal di Pulau Natuna ialah Wan Muhammad al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.Beliau yang juga digelar Orang Kaya Perdana Mahkota telah berhubung dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa Tentera Inggeris bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan awal bangsa Melayu di Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut mempunyai hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun pihak penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta). Perjanjian 1824 tidak meletakkan kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh Inggeris atau Belanda.
Namun Perjanjian 1824 mengatakan yang Belanda tidak akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan Semenanjung Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British. Wilayah Belanda adalah di pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut geografi, Kepulauan Natuna bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di selatan pulau Singapura.


Setelah Natuna telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Wilayah Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956, daerah Natuna ini kemudiannya telah dimasukan dalam Wilayah Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999. Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara, jelas menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak sejajar dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis dari pesisir negeri berkenaan ke arah timur. Sempadan Indonesia jelas melengkung ke atas dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus. Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.


Berdasarkan sumber sejarah, adalah lebih tepat untuk mengatakan Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan negara Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara, Makassar dan Papua. Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik Indonesia yang mewarisinya daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam undang-undang antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris. Semasa Perjanjian 1824 dibuat, kepulauan Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu menerusi pemerintahan Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian 1824 tidak secara jelas meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh Belanda.


Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti, Belanda tidak berhak membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau Singapura yang jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.Oleh itu, mungkin timbul hujah yang mengatakan kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila kesultanan Johor merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 menerusi konsep utti possideti juris.


Pada tahun 1956 Indonesia secara rasminya memasukan kepulauan Natuna sebagai wilayahnya iaitu setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Enam tahun selepas itu Indonesia mengisytiharkan berkonfrontasi dengan Malaysia. Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi diperintah British dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut ketuanan ke atas kepulauan Natuna. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan telah mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih menumpukan untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.


Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan Natuna supaya garis kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam Indonesia bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi hasratnya menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan undang-undang laut antarabangsa.



Makanya, besar kemungkinan, atas dasar ingin menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi keutamaan pemerintah Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf kedudukan kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam negara kepulauan republik Indonesia.


Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription.



"Prescription" merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia sejak tahun 1956. Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika ini bagi Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang mempunyai pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung Melayu.


Selain Republik Rakyat China juga telah menyatakan tuntutannya ke atas wilayah kepulauan Natuna yang berdasarkan peta terbaru mereka dengan garis putus-putus melintasi wilayah Natuna. China mengakui bahawa mereka telah memperbaharui peta yang Nampak jelas meluaskan cakupan garis putus putus yang sengaja dirancang sebagai wilayah baru China. Indonesia menyedari bahawa China telah memasukan sebahagian wilayah perairan laut Daerah Natuna, Kepulauan Riau, kedalam peta wilayah mereka. "Pemerintah Republik Rakyat China telah menuntut wilayah perairan Natuna sebagai wilayah laut mereka. Tuntutan sepihak ini terkait sengketa Kepulauan Spratly dan Paracel antara negara China dan Filipina. Sengketa ini, akan memberi kesan besar terhadap keamanan laut Natuna. Amat jelas sekali kelihatan bahawa China ingin mengusai sepenuhnya perairan Laut China Selatan.


Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan kepulauan Natuna mempunyai perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan negeri-negeri Tanah Melayu berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan Indonesia. Akan tetapi, tiada tuntutan konsisten pernah dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan Indonesia di kepulauan Natuna tidak pernah dibantah oleh Malaysia. Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta ruang lingkup wilayah Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian. Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan kedudukan Malaysia

Sumber :  Friends of Kedaulatan





Thursday, March 21, 2013

KEPENTINGAN SELAT MELAKA KEPADA AMERIKA


Dr Chandra : Apa Agenda Anwar Tentang Politik Selat Melaka ?

AIDCNews – 29/07/11 –PROFESOR DR. CHANDRA MUZAFFAR , Presiden JUST (The International Movement for a Just World) berpendapat, faktor Selat Melaka merupakan faktor utama yang menarik perhatian kuasa asing untuk menguasai politik di rantau ini, termasuk di Malaysia.
“Selat Melaka adalah hak tiga negara yang dianggap littoral states, negara-negara yang berhampiran dengan selat ini adalah Indonesia, Malaysia dan Singapura.
“Singapura memang memihak kepada Amerika Syarikat (AS). Tetapi Malaysia, polisi kerajaan negara ini tegas dari dulu sampai sekarang bahawa Selat Melaka adalah hak kita.
“Sudah tentu mereka, di AS mahu seorang pemimpin yang memihak kepada kepentingan mereka terutamanya dalam soal politik Selat Melaka, politik rantau ini, dan masa depan rantau ini dalam konteks perhubungan dengan negara China”, katanya.
Dr Chandra berkata tidak mustahil sekiranya NED atau IRI masih membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, walaupun polisi kerajaan AS dilihat seolah-olah sudah tidak menyebelahinya kerana sistem politik di negara itu mengamalkan konsep dwi-power iaitu kuasa formal dan kuasa sebenar.
“Kalau kita tengok politik AS, memang macam itu. Mereka (kuasa sebenar) ada perancangannya yang tersendiri dan adakalanya mereka boleh ubah dasar-dasar pemimpin-pemimpin (kuasa) formal”, katanya.
Ikutilah wawancara bahagian akhir bersama Dr Chandra, pada 30 Jun 2011, di Pejabat JUST, Petaling Jaya.
Semoga anda mendapat manfaat daripada wawancara ini.
AIDC : Adakah Anwar terlibat dalam IFC ?
Dr Chandra : Ya..ya.
Adakah penglibatannya dalam IFC merupakan perkara baru atau sudah lama sejak dari ABIM lagi ?
Sebenarnya begini, zaman ABIM pun Anwar terlibat dalam perbincangan-perbincangan seperti itu. Yang saya tahu tentang hubungan antara kaum, antara agama dan sebagainya.
Dan saya sendiri juga terlibat begitu lama, hampir-hampir 40 tahun, dalam soal dialog antara agama.
Saya menganggap ini sesuatu yang positif dan tidak bertentangan sama sekali dengan Islam. Kerana, kalau kita tengok sejarah Islam, dialog itu memang biasa dalam sejarah Islam.
Dari satu segi, Rasulullah sendiri terlibat dalam dialog dengan Yahudi, Kristian. Diterangkan tentang Islam, itu dialog yang kita maksudkan.
Kalau kita tengok dalam buku-buku, kitab-kitab yang ditulis oleh sarjana-sarjana Islam yang teragung dalam sejarah, misalnya Al Biruni.
Al Biruni dalam kurun ke-11, sudah tulis tentang dialog antara agama dalam buku masyhurnya berjudul Kitab al-Hind yang ditulis berdasarkan kajian secara mendalam.
Begitu juga dengan tulisannya tentang Budhisme di Afghanistan yang pada masa itu, ramai penganut Budhist di Afghanistan.
Maknanya, berdialog ini bukan sesuatu yang aneh, yang luar biasa bagi umat Islam.
Saya anggap dialog sebagai penting kepada kita kerana dunia yang semakin berubah. Kerana globalisasi yang tidak boleh kita tolak. Globalisasi akan terus berlaku melalui teknologi, perkembangan-perkembangan ekonomi dan sebagainya.
Kita harus menunjukkan kepada umat Islam dan bukan Islam bahawa mesej yang termaktub dalam al-Quran al karim adalah mesej sejagat.
Untuk menyampaikan mesej sejagat ini, kita harus berdialog dengan mereka.
Kalau saudara tengok tulisan-tulisan saya sebelum ini dalam JUST…Aliran dan sebagainya, walaupun adakalanya saya tidak menggunakan label, tetapi mesej saya adalah mesej tauhid.
Itulah sebabnya dalam JUST, kita punya lima mesej utama perjuangan JUST. Yang saya maksudkan sebagai salah satu daripada prinsipnya adalah perjuangan yang berakar umbi dalam konsep Oneness of God. Apa maknaOneness of God? Tauhid.
Tapi, kita tak menggunakan istilah itu. Yang penting itu bukan istilah, bukan label, isinya yang lebih penting.
Jadi, saya menganggap Islam terutamanya bagi saya yang memeluk Islam, ini yang menarik perhatian saya terhadap Islam.
Ini yang menarik minat saya terhadap Islam adalah kerana mesejnya yang begitu powerful.
Mesejnya tentang keadilan, penyatuan umat-umat, hubungan dengan alam sekitar, mesej hubungan antara lelaki dan perempuan dan keluarga.
Mesej itu yang penting yang harus kita sampaikan.
Dan kalau melalui dialog, kita menyampaikan mesej itu, saya fikir Alhamdulillah. Satu jenis dakwah iaitu kita menyampaikan mesej.
Tapi Anwar, kalau dia nak berdialog untuk tujuan-tujuan yang lain, itu wallahualam lah.
Tapi bagi saya, mesej itu jelas. Kita nak menyampaikan mesej yang begitu bernilai tentang tauhid. Setiap individu, ada dia punya cara dia. Tapi ini kita punya cara iaitu melalui dialog.
Umpamanya dalam soal Palestin. Bukan saya nak claim apa-apa ya. Tapi, saya di antara pejuang-pejuang Palestin yang berjaya menarik sebahagian daripada bukan Islam di peringkat antarabangsa untuk menyokong perjuangan Palestin.
Untuk menyokong perjuangan Iraq, isu-isu antarabangsa dan sebagainya melalui tulisan-tulisan commentaryJUST.
Misalnya IFC di Australia. The Conference for a Parliament of the World’s Religions, 2009. Prof ke sana dan Anwar juga turut ke sana. Kemudian, keluar dalam akhbar Australia, The Age, kenyataan Anwar mendesak umat Islam supaya menerima minoriti. Apa maksudnya itu ?
Saya dan Profesor Tariq Ramadan hadir dan ramai lagi tokoh-tokoh Islam yang hadir.
Saya dan Tariq Ramadan dalam satu forum manakala Dr Musdah Mulia bersama Anwar dalam forum yang lain.
Kita menggunakan forum itu sebagai satu saluran untuk menghakis beberapa tohmahan terhadap Islam.
Pada masa itulah, isu-isu tentang hijab dan beberapa isu lain tentang Islam. Tapi, isu utama adalah tentang keganasan.
Tapi Anwar…. Saya nampak dari segi interview yang dia beri kepada akhbar The Age, di Melbourne, Australia,interviewnya saya fikir mengecewakan. Mengecewakan.
Apa sebabnya yang mengecewakan Prof ?
Sebabnya, dalam interview itu, dia beri gambaran bahawa umat Islam ini adalah penindas.
Dia kata masyarakat Islam tidak menghormati hak bukan Islam. Seolah-olah, pada pengamatannya, itulah isu yang paling besar.
Bagi kita..saya dan Tariq yang menjadi isu paling besar pada pandangan kita adalah gambaran palsu tentang Islam yang disampaikan oleh media mereka, iaitu media Barat.
Tetapi bagi dia (Anwar) pula, masyarakat Islam itu yang sebenarnya menjadi masalah. Orang Islam inilah yang masalah. Dituduhnya masyarakat Islam tidak menghormati hak dan menindas orang lain.
Saya fikir, itu tidak adil.
Jadi, saya mengkritik pendiriannya. Dalam forum itu juga saya mengkritiknya tetapi saya tidak sebut namanya.
Saya kata yang beri interview itu sebagai pihak yang memberi gambaran yang kurang tepat.
Saya kata, sebagai contoh negara saya, saya tidak claim nak katakan bahawa Malaysia ini syurga, walaupun saya akui ada kelemahan, namun dari segi perlindungan kepada hak minoriti, rekod negara kita jauh lebih baik daripada kebanyakan negara di atas bumi Allah ini.
Saya beri contoh, tentang hari kebesaran mereka, yang bukan Islam, hari penting di kalangan agama minoriti ini, termasuk dalam kalendar negara.
Walaupun peratusan penduduk agama minoriti itu tidak sampai lima atau enam peratus, tetapi polisi negara kita menganggap ia penting dan diberi cuti am.
Di tempat-tempat lain, di Australia, hari raya untuk umat Islam pun bukan cuti am..Apatah lagi tentang rumah ibadat dan sebagainya…
Jadi, saya nampak dalam soal dialog ini yang penting adalah keikhlasan kita. Kalau kita tidak ikhlas, kita akan gunakan dialog itu untuk matlamat lain.
Kenapa Anwar beri interview dalam The Age yang saya sebutkan tadi dengan gambaran yang sedemikian rupa, saya fikir, tujuannya untuk membuktikan kepada masyarakat Australia yang kebanyakannya beragama Kristian supaya perjudis kepada Islam.
Dia macam nak beri gambaran, ‘oh saya ni sealiran dengan you all, saya punya pemikiran serasi dengan you all ..’
Saya fikir, itulah matlamatnya.
Sama dengan tulisannya dalam majalah Times pada tahun 2001 dulu ?
Ya..ya.. betul…betul. Dia macam nak menarik perhatian mereka. Itu yang saya nampak matlamatnya.
Adakah golongan pemikir-pemikir Islam kecewa dengan kenyataan Anwar itu ?
Kecewa… Tetapi biasalah Anwar, dia akan kata, ‘alah ini biasalah…saja nak tarik perhatian mereka’.
Memang kita dah tahu dia ni, dia memang macam tu.
Saya masih ingat lagi pada tahun 2006, ketika Lebanon diserang, bulan Jun..Julai 2006. Saya pernah bacainterview dia dalam akhbar Australia.
Salah satu isu yang disebut Anwar ketika itu, dia kata, ‘kita mesti faham juga hasrat Israel mahu menjaga keselamatan mereka’.
Walhal kita tahu Israel yang serang Lebanon, macam mana you boleh buat kenyataan macam itu ?
Untuk mengambil hati termasuk Israel ?
Ya. Untuk mengambil hati mereka.
Adakah Prof melihat permainan atau strategi Anwar meniupkan sentimen Islam menindas hak minoriti itu bahaya?
Oh bahaya. Bahaya kerana yang diperkatakan itu tidak benar. Tidak benar.
Kalau kita melakukan sesuatu yang tidak benar, kalau kita buat ucapan yang tidak benar, ada risikonya.
Umpamanya, kalau kita memberi gambaran bahawa kita menindas, walhal kita tidak menindas, ini akan menimbulkan perasaan marah di kalangan mereka yang menganggap diri mereka sebagai mangsa.
Dan di kalangan mereka yang dituduh sebagai penindas, mereka juga akan marah. Kenapa buat pertuduhan ini. Ini akan mengundang bahaya.
Bermakna, ini akan merenggangkan lagi hubungan antara kaum.
Kalau kita bermatlamat mahu merapatkan hubungan kaum, memperbaiki hubungan kaum di negara kita, nak mewujudkan keharmonian, ucapan-ucapan yang sedemikian rupa, memang akan mengundang bahaya.
Seolah-olah Anwar sendiri mahu mewujudkan jurang besar perkauman di negara kita?
Kerana caranya mahu mengambil hati golongan tertentu..golongan itu berdasarkan kepada kepentingan-kepentingan yang sempit. Itu yang jadi masalah.
Sekiranya kita mahu mengambil hati semua kaum berdasarkan pada nilai-nilai bersama ataupun kita nak menjaga kepentingan semua berdasarkan pada keadilan, itu tidak jadi masalah.
Tetapi, sekiranya kita cuba mengambil hati kerana kepentingan diri. Kerana kepentingan sempit, ini yang mengundang bahaya.
Ini yang menimbulkan perasaan syak wasangka antara kaum. Kita harus berterus-terang terutamanya dalam soal hubungan kaum.
Sebagaimana dalam ucapan-ucapan, tulisan-tulisan saya, kepada dua-dua kaum.
Kepada kaum Melayu, saya selalu menyampaikan mesej bahawa kita harus menerima hakikat bahawa negara ini tidak dapat diubah. Ini masyarakat berbilang kaum.
Dan kepada bukan Melayu, saya selalu memberi mesej, bahawa kita harus menerima hakikat sejarah negara ini. Apa latar belakang negara ini, asas negara ini, asal-usul negara ini, yang kita tidak boleh nafikan.
Itu wadah keperibadian negara Malaysia, identiti negara Malaysia, dari dulu lagi.
Tapi yang sedihnya, saya nampak kawan kita ini (Anwar), dia play politics.
Anwar seolah-olah nak mengapi-apikan perkauman. Sedangkan partinya sendiri nampak sepertimultiracial, hakikat sebenarnya tidak ?
Tidak..tidak.
Adakah ini sikapnya yang suka memberi gambaran negatif terhadap pihak lain secara melulu ?
Pada hemat saya, yang lebih serius adalah caranya sebagai seorang Ketua Pembangkang.
Dia pernah mengatakan, Malaysia ini sama macam Myanmar, Zimbabwe. Takkan dia, selama 16 tahun dalam kerajaan, dia tidak tahu perbezaan antara Malaysia dengan Zimbabwe. Malaysia bukan Zimbabwe.
Seperti mana juga anaknya yang buat ucapan-ucapan, bahawa Malaysia ini sama dengan Mesir. Mereka ini macam tidak faham apa yang sebenarnya berlaku.
Itu yang saya anggap sebagai satu jenis politik yang mencemarkan imej negara.
Dan sekarang saya nampak, selepas beberapa tahun ini, selepas Dr. Mahathir melaksanakan dasar-dasar kewangan dalam krisis kewangan dulu, ramai masyarakat dunia puji polisinya dulu berjaya.
Berjaya menyelamatkan ekonomi dan dalam masa yang sama dapat menyangkal pendekatan IMF. Beliau dipuji dan imej negara kita bagus.
Saya mendapat maklumat-maklumat ini kerana saya banyak travel.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana isu-isu yang dibangkitkan oleh Anwar dan pihak-pihak lain, gambaran yang disampaikan kepada masyarkat dunia itu, bahawa Malaysia ini seolah-olah macam bermasalah. Jadi, imej negara kita tercemar.
Saya fikir, sebagai Ketua Pembangkang, tidak bermakna jawatan Ketua Pembangkang itu adalah lesennya untuk memburuk-burukkan negaranya.
Kalau apa yang dikatanya benar, itu soal lain. Tetapi jika dia dengan sengaja memburuk-burukkannya, itu yang menjadi masalahnya.
Kenapa pemuka-pemuka Zionis seperti Paul Wolfowitz, Madeline Albright, William Cohen memilih Anwar sebagai proksi mereka di Malaysia ?
Saya berpendapat, dalam soal peralihan kuasa global yang sedang berlaku sekarang, baik dari Barat ke Timur, dan mungkin ada negara-negara lain, termasuk negara China akan bakal pengganti Hegemony AS.
Ini adalah satu trend yang berlaku sekarang ini.
Sudah tentu, AS tidak mahu melepaskan gengamannya menguasai dunia. Mereka mahu terus kekal menjadi pegawal dunia.
Dan untuk mencapai objektif itu, mereka memerlukan individu-individu yang boleh membantunya dalam proses tersebut.
Dalam konteks Asia Tenggara, mereka perlukan pemimpin-pemimpin yang boleh membantu AS memantau ataupun check control secara tidak langsung terhadap kemunculan China yang bakal menjadi pesaing mereka.
Mereka perlukan individu-individu seperti itu yang boleh memainkan peranan tersebut.
Kalau kita tengok pada polisi Dr. Mahathir, dan sebelum itu, Tun Razak, mereka benar-benar memahami peranan negara China dalam konteks global.
Tun Razak membuka jalan kepada China, dalam hubungannya dengan Asia Tenggara pada tahun 1974. Dr. Mahathir pula mempertingkatkan hubungan dengan China.
Polisi itu menguntungkan negara kita dalam beberapa hal termasuk kelapa sawit dan sebagainya.
Dr. Mahathir memahami realiti ini dan beliau tidak mahu Selat Melaka itu dikawal oleh kuasa-kuasa asing.
Selat Melaka adalah hak tiga negara yang dianggap littoral states, negara-negara yang berhampiran dengan selat ini adalah Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Singapura memang memihak kepada AS. Tetapi Malaysia, polisi kerajaan negara ini tegas dari dulu sampai sekarang bahawa Selat Melaka adalah hak kita.
Saya berpendapat, isu Selat Melaka adalah penting kerana ia di antara perairan yang paling penting di dunia.
Sudah tentu mereka, di AS mahu seorang pemimpin yang memihak kepada kepentingan mereka terutamanya dalam soal politik Selat Melaka, politik rantau ini, dan masa depan rantau ini dalam konteks perhubungan dengan negara China.
Itulah sebabnya, mereka mahukan individu seperti Anwar untuk memain peranan tersebut.
Dulu pun kita sudah tahu, mereka tidak senang dengan Dr. Mahathir kerana beliau tegas dalam soal kedaulatan Malaysia terutamanya dalam konteks Selat Melaka.
Itu adalah hak kita, kedaulatan kita.
Jadi, kalau ada pemimpin yang boleh berkompromi ataupun permainannya yang orang lain tidak nampak…
Alternatif kepada Tun Dr. Mahathir ?
Ya..ya.. Kalau kita tengok Perdana Menteri kita sekarang ini, Datuk Seri Najib, dalam soal hubungan dengan negara China begitu tegas.
Hubungan negara kita dengan negara China baik kerana beliau mewarisi polisi bapanya, Tun Razak.
Dalam Dialog Shangri-La di Singapura, Datuk Najib ditanya tentang hubungannya dengan China. Beliau kata, beliau tidak menganggap China sebagai ancaman. Beliau anggap negara China adalah sebagai satu peluang dari segi perdagangan.
Kalau kita lihat dari segi sejarah, China memiliki tentera laut yang paling hebat sebelum sejarah zaman moden, terutamanya dalam Dinasti Ming.
Laksamana Laut China pada masa itu, Laksamana Cheng Ho belayar dan menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain. Memang luar biasa kebijaksanaan Cheng Ho. Diakui oleh sarjana-sarjana. Tapi adakah dia cuba menguasai dan menakluki wilayah orang lain ? Tak pernah.
Tak pernah?
Tak pernah. Sampai sekarang kalau kita kaji rekod China, mereka tidak menakluk wilayah orang lain walaupun mereka begitu kuat pada waktu itu. Mereka tidak menakluk negara-negara Asia Tenggara termasuk Melaka.
Kalau kita kaji rekod sejarah hubungannya dengan Kepulauan Melayu, pada keseluruhannya baik.
Dan rekod-rekod itu, yang saya selalu khabarkan kepada kawan-kawan, kalau kita benar-benar kaji rekod-rekod China itu, kita akan dapati bahawa merekalah yang mula-mula mengakui tentang kewujudan Kesultanan Melayu.
Merekalah yang mula-mula merekodkan tentang sejarah kawasan ini, bila wujudnya istilah Melayu dan sebagainya.
Jadi, dari segi itu, saya fikir, penting untuk kita menjaga hubungan ini dan saya bimbang jika ada orang lain yang mempunyai rancangan-rancangannya tersendiri.
Maksudnya ?
Ya, yang akhirnya berkompromi kedaulatan, kemerdekaan kita… kerana kita sudah tahu dalam isu-isu tertentu pun, apa pendiriannya yang sebenarnya.
Prof melihat perkara ini amat bahaya sehingga menjejaskan soal Islam, Melayu dan sebagainya. Kerana Prof ada menyebut, kerana nafsu sanggup melakukan apa sahaja semata-mata nak jadi Perdana Menteri?
Ya..ya kerana nafsu. Itu yang bahayanya. Nafsu politiknya kerana nak sangat-sangat jawatan itu.
Prof melihat adakah AS sudah mencurigai Anwar setelah kegagalan Projek 16 September?
Saya fikir beginilah, mungkin pemimpin-pemimpin formal mereka akan curiga. Mungkin.
Kalau banding dulu dengan sekarang, mungkin ada sedikit curiga.
Presiden Obama, Hillary Clinton dan yang lain-lain, kemungkinan ada menyimpan kecurigaan itu. Yang saya maksudkan pemimpin-pemimpin formal AS.
Namun, dari segi pemimpin sebenar, The Secret Government, lobi-lobi yang menguasai politik masa depan AS, mereka masih mengharapkan Anwar akan dapat deliver.
Deliver?
Ya. Deliver. Bermakna dapat deliver apa yang mereka nak. Dia dapat mencapai matlamat mereka.
Bermakna, kalau NED atau IRI masih membantu Anwar dan PKR, tidak mustahil?
Ya..ya. Tidak mustahil.
Walaupun Presiden Obama tidak menerima tapi masih ada agensi lain yang bantu ?
Ya, pemimpin formal dan agensi (kuasa sebenar) berbeza.
Kalau kita tengok politik AS, memang macam itu. Mereka (kuasa sebenar) ada perancangannya yang tersendiri dan adakalanya mereka boleh ubah dasar-dasar pemimpin-pemimpin formal.