Showing posts with label British. Show all posts
Showing posts with label British. Show all posts

Wednesday, December 14, 2016

PENJAJAHAN JEPUN KE ATAS TANAH MELAYU : ASIA UNTUK ORANG ASIA (1)



Pada Februari 1942, Tentera Maharaja Jepun mengusir tentera British dari Tanah Melayu, dan Singapura setelah mendudukinya selama hampir 4 tahun. Pada awal kedatangan tentera Jepun, orang Melayu berharap ia merupakan satu rahmat kepada mereka, sebaliknya ia merupakan satu mimpi ngeri dalam sejarah Tanah Melayu. 

Pemerintah Jepun bermula dengan pembunuhan beramai-ramai. Mereka dikatakan amat kejam, bertindak kasar dan bengis. Padahal sebelum itu Jepun menjanjikan mereka akan mengembalikan semula Asia untuk orang Asia. Sebaliknya ribuan rakyat diperhamba, diseksa, dibiar kelaparan dan ada yang dibunuh. Kehadiran tentera Jepun telah megubah hidup penduduk Tanah Melayu selamanya.

7 Disember, 1941. Tentera Laut Jepun belayar menyeberangi Laut China Selatan menuju ke Tanah Melayu, satu jajahan British yang kaya. Tentera Jepun merancang untuk menguasai sumber-sumber asli di Tanah Melayu untuk membina sebuah empayar yang mereka gelar "Lingkaran Kemakmuran Bersama Asia Timur".

Pada tengah malam 8 Disember, tentera Jepun meredah ombak setinggi 6 kaki dan mendarat di Pantai Sabak, Kota Bahru, Kelantan. Ia dua jam lebih awal sebelum pesawat pengebom Jepun menyerang Pearl Harbour dan pertempuran besar pertama Perang Dunia Kedua di Asia. 

Serangan yang dipimpin oleh Jenaral Tomoyuki Yamashita itu telah memeranjatkan British, natijahnya Kota Bahru tumbang dengan begitu mudah sekali. Komander-komander British yang patah semangat mengarahkan semua anggotanya berundur. 

Tentera Jepun mula melancarkan serangan udara besar-besaran dari pangkalan mereka di Indochina. Pesawat-pesawat pengebom Jepun lancarkan serangan bertubi-tubi ke atas bandar-bandar seluruh Tanah Melayu. 

Pada mulanya rakyat menyangkakan ia satu pertunjukkan udara oleh Tentera Udara Australia, tapi lama kelamaan mereka menyedari bahawa Tanah Melayu telah diserang. Mayat bergelimpangan di jalan raya, ada diantaranya tidak mempunyai cukup sifat seperti putus kepala, tangan, kaki dan badan hancur berkecai. Ada diantaranya yang di tanam dan ada juga yang dibakar. 

Dibahagian utara, Jepun mendarat di Singora dan Pattani tanpa mendapat tentangan. Rancangan besar Jeneral Yamashita berarak menerusi Tanah Melayu unutk menawan Singapura, pusat pemerintahan British. Keadaan mula menjadi kacau bilau apabila berita ini tersebar. 

Apabila rakyat menjadi panik, British ambil keputusan yang menjejaskan reputasi mereka. Di bandar-bandar utama, semua orang Eropah diarahkan keluar tanpa menghiraukan nasib orang Asia yang dijajahnya. Bagi rakyat Tanah Melayu, perbuatan orang British melarikan diri merupakan satu pengkhianatan dan tidak akan dilupakan mahupun dimaafkan. 

Tentera Jepun mara ke selatan dengan berjalan kaki, mengunakan kereta kebal dan trak dengan cara paling terkenal iaitu dengan megunakan ribuan buah basikal. British telah membina jalan -jalan yang baik di Tanah Melayu dan tentera Jepun bergerak dengan pantas dan ada kalanya berkayuh 24 jam tanpa henti.

Ternyata mereka bukan tentera sebarangan. Pasukan tentera Yamashita adalah pasukan yang cekal setelah bertahun-tahun berjuang menentang bala tentera Chiang Kai- Shek di China. 

Sejarawan Jepun, Nobuyoshi Takashima berkata, pasukan pertama ke Tanah Melayu terdiri daripada mereka yang muda, kuat dan bujang yang terlatih dan bersedia berhadapan berhadapan dengan tentera British. Dikalangan mereka terdapat ramai anggota yang ganas dan bengis. 

Tentera Jepun cuba menimbulkan perasaan takut ketika mereka berjalan merentasi Semenanjung Tanah Melayu. Ramai orang melarikan diri bersembunyi di ladang-ladang getah atau pun hutan berhampiran. Ketika itu orang yang tinggal dibandar pun lari meninggalkan kediaman dan masuk ke kampung-kampung. Paling terdedah kepada bahaya adalah kaum Cina. Orang Cina takut kepada Jepun kerana cerita-cerita yang mereka dengartentang peperangan di China bagaimana tentera Jepun membunuh dan memperkosa kaum wanita mereka. 

Justeru itu, gadis -gadis cina menyamar seperti kaum lelaki seperti mengunting rambut dan tidak mengunakan lagi alat solek. Ada diantara mereka mengunakan arang untuk menghitamkan muka agar kelihatan hodoh dan kotor. Keganasan tentera Jepun bukan setakat itu sahaja, malahan mereka pernah merogol wanita yang mengandung 7 bulan sehingga dia dan anak yang dikandungnya mati.

Tentera Jepun juga merampas apa sahaja yang boleh mereka ambil. Sesiapa sahaja yang berpakaian kemas diarahkan untuk menanggakan pakaian. Mereka akan diarahkan untuk membuka pakaian semuanya sekali dan merampas barang-barang berharga milik mereka terutama jam tangan kerana ketika itu jam tangan di Jepun merupakan barang yang sangat berharga. 

Tentera Jepun bukan sahaja datang ke Tanah Melayu sekadar untuk membunuh, merogol atau menjarah, bahkan mereka mempunyai agenda besar iaitu untuk menguasai keseluruhan Asia. Justeru itu mereka mulai mengedarkan risalah-risalah propaganda yang mengistiharkan "lingkaran Kemakmuran Bersama Seluruh Asia". Iaitu rancangan untuk mengusir British dan menyerahkan semula Asia kepada orang-orang Asia. 

Bagi Kesatuan Melayu Muda (KMM), organisasi nasionalis pertama di Tanah Melayu, idea "Asia Untuk Orang Asia" amat menarik pada pandangan mereka. Naib presidennya, Mustapha Hussein berharap Jepun akan membantu perjuangan mereka, iaitu memerdekakan Tanah Melayu. 

Insun Mustapha, anak perempuan Mustapha Hussein menjelaskan pada ketika itu ahli KMM merasakan ini adalah tanah orang Melayu. Justeru itu mereka mahu menuntut kemerdekaan. Mustapha Hussein mengambil peluang pad awal tahun 1942 ketika tentera Jepun masuk ke Kuala Lumpur tanpa ditentang sedikit pun. 

Beliau membuat satu syor yang dramatik kepada pegawi-pegawai pemerintah Jepun. Mustapha Hussein boleh dikatakan orang Melayu yang pertama menuntut kemerdekaan untuk Tanah Melayu, tanah airnya. Namun beliau menyedari Jepun belum lagi bersedia untuk membina sebuah negara. Salah seorang komander tentera Jepun berkata "Biarlah Jepun menjadi ayah dan kaum Melayu, India dan Cina menjadi anaknya, "tetapi jika si anak Melayu lapar, kami boleh beri lebih banyak susu". Dengan maksud lain, Jepun lebih mengutamakan orang Melayu dan apabila sampai masanya yang sesuai mereka akan mendapat lebih banyak kelebihan. 

Dengan bantuan segelintir anggota KMM, tentera Jepun terus mara ke seluruh pelusuk Tanah Melayu. Semua halangan dalam perjalanan mereka ke Singapura mereka redah. 

Serangan tentera Jepun mengambil masa kurang dari 2 bulan untuk mencapai matlamat mereka. Pada 15 Februari 1942, komander tentera British, Arthur Percival meletak senjata menyerah diri di Singapura. 

Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill mengelarnya "Bencana paling dasyat dalam sejarah Britain". Tidak beberapa lama kemudian seluruh Asia Tenggara akan menjadi sebahagian dari empayarJepun yang baru dan rakyat Tanah melayu akan "menikmati" realiti kekejaman pemerintahan kuku besi Jepun. 

bersambung .....

Sunday, August 21, 2016

NATUNA MILIK SIAPA ?




Natuna adalah sebuah gugusan kepulauan di bahagian paling utara gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, merupakan salah satu Republik Indonesia.


Kedudukannya sangat menghampiri dengan Singapura, Malaysia,dan Vietnam. Dengan keluasan wilayah 141.901 km2 atau lebih tiga kali luas Wilayah Sumatera Barat. Tapi dari keseluruhan keluasan daerah tersebut, 138.666 km2 (97%) merupakan lautan dan hanya 3.232,2 km (2.4%) saja berupa daratan dari 271 pulau besar dan kecil di kawasan itu. Pulau yang terbesar di Natuna adalah Pulau Bunguran. Lain-lain pulau yang lebih kecil di antaranya Pulau Jemaja, Pulau Serasan, Pulau Midai, Pulau Bintang dan Pulau Sedanau di bahagian Selatan, serta Pulau Laut di Utara yang lebih dekat ke Vietnam daripada ke Batam.


Sejarah Natuna tidak dapat dipisahkan dari sejarah Daerah Kepulauan Riau yang pada awal kemerdekaan dulu merupakan bagian Wilayah Sumatera Tengah yang berpusat di Bukit Tinggi Berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia Wilayah Sumatera Tengah, tanggal 18 Mei 1956, yang menggabungkan Kepulauan Riau ke dalam Wilayah Republik Indonesia, Kepulauan Riau diberi status Kawasan Autonomi Tingkat II yang diketuai Bupati sebagai ketua daerah.


Wilayah Kepulauan Natuna dekat dengan zon konflik yang kerap menarik perhatian dunia antarabangsa terutama Malaysia dan terbaru adalah negara Republik Rakyat China. Konflik yang di maksud disini adalah konflik Laut China Selatan. Laut China Selatan terletak di kawasan Lautan Pasifik terbentang dari Singapura dan Selat Malaka di barat daya hingga Selat Taiwan di timur laut. Kawasan ini meliputi lebih dari 200 pulau kecil, bebatuan, dan karang yang sebagian besar berada di rangkaian kepulauan Paracel dan Spratly. Rangkaian kepulauan inilah yang seringkali menjadi rebutan sehingga menimbulkan ketegangan politik dari beberapa negara di sekitarnya. Laut China Selatan pada dasarnya merupakan no man’s island kerana kawasan ini pada dasarnya tidak dimiliki oleh siapapun melainkan digunakan sebagai laluan perdagangan antarabangsa.


Namun jika kita kembali kepada lipatan sejarah Kepulauan Natuna, ianya tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu. Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan lebih tertumpu di kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18. Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau. Asal pemerintahan Patani di Natuna bermula apabila salah seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna bernama Puteri Wan Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara Lingkai al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.



Antara pemerintah yang terkenal di Pulau Natuna ialah Wan Muhammad al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.Beliau yang juga digelar Orang Kaya Perdana Mahkota telah berhubung dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa Tentera Inggeris bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan awal bangsa Melayu di Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut mempunyai hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun pihak penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta). Perjanjian 1824 tidak meletakkan kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh Inggeris atau Belanda.
Namun Perjanjian 1824 mengatakan yang Belanda tidak akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan Semenanjung Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British. Wilayah Belanda adalah di pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut geografi, Kepulauan Natuna bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di selatan pulau Singapura.


Setelah Natuna telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Wilayah Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956, daerah Natuna ini kemudiannya telah dimasukan dalam Wilayah Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999. Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara, jelas menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak sejajar dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis dari pesisir negeri berkenaan ke arah timur. Sempadan Indonesia jelas melengkung ke atas dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus. Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.


Berdasarkan sumber sejarah, adalah lebih tepat untuk mengatakan Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan negara Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara, Makassar dan Papua. Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik Indonesia yang mewarisinya daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam undang-undang antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris. Semasa Perjanjian 1824 dibuat, kepulauan Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu menerusi pemerintahan Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian 1824 tidak secara jelas meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh Belanda.


Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti, Belanda tidak berhak membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau Singapura yang jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.Oleh itu, mungkin timbul hujah yang mengatakan kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila kesultanan Johor merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 menerusi konsep utti possideti juris.


Pada tahun 1956 Indonesia secara rasminya memasukan kepulauan Natuna sebagai wilayahnya iaitu setahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Enam tahun selepas itu Indonesia mengisytiharkan berkonfrontasi dengan Malaysia. Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi diperintah British dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut ketuanan ke atas kepulauan Natuna. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan telah mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih menumpukan untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.


Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan Natuna supaya garis kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam Indonesia bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi hasratnya menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan undang-undang laut antarabangsa.



Makanya, besar kemungkinan, atas dasar ingin menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi keutamaan pemerintah Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf kedudukan kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam negara kepulauan republik Indonesia.


Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription.



"Prescription" merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia sejak tahun 1956. Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika ini bagi Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang mempunyai pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung Melayu.


Selain Republik Rakyat China juga telah menyatakan tuntutannya ke atas wilayah kepulauan Natuna yang berdasarkan peta terbaru mereka dengan garis putus-putus melintasi wilayah Natuna. China mengakui bahawa mereka telah memperbaharui peta yang Nampak jelas meluaskan cakupan garis putus putus yang sengaja dirancang sebagai wilayah baru China. Indonesia menyedari bahawa China telah memasukan sebahagian wilayah perairan laut Daerah Natuna, Kepulauan Riau, kedalam peta wilayah mereka. "Pemerintah Republik Rakyat China telah menuntut wilayah perairan Natuna sebagai wilayah laut mereka. Tuntutan sepihak ini terkait sengketa Kepulauan Spratly dan Paracel antara negara China dan Filipina. Sengketa ini, akan memberi kesan besar terhadap keamanan laut Natuna. Amat jelas sekali kelihatan bahawa China ingin mengusai sepenuhnya perairan Laut China Selatan.


Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan kepulauan Natuna mempunyai perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan negeri-negeri Tanah Melayu berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan Indonesia. Akan tetapi, tiada tuntutan konsisten pernah dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan Indonesia di kepulauan Natuna tidak pernah dibantah oleh Malaysia. Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta ruang lingkup wilayah Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian. Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan kedudukan Malaysia

Sumber :  Friends of Kedaulatan





Saturday, January 3, 2015

KOMUNIS 2 - Bintang tiga tunjuk keangkuhan


Pegawai British diterjunkan ke hutan Belantara untuk menjadi pegawai perhubungan kepada kumpulan-kumpulan gerila ini.

Anggota Melayu Force 136 dari seberangan laut pada sesetengahnya digugurkan dari udara ke dalam hutan menggunakan payung terjun dan sesetengah yang lain diseludup dengan kapal selam.

Antara yang mendarat di pantai Semenanjung Tanah Melayu ialah Tun Ibrahim Ismail, pegawai Timbalan Setia Negeri Johor (Johor Military Force) yang pernah menjalani latihan di kolej tentera British di Dehradun, India.Beliau kemudiannya menjadi Panglima Ankatan Malaysia yang ketiga.

Dua pelajar Melayu dari Kedah berkelulusan kejuruteraan di England turut terjun ke dalam hutan. Mereka ialah Mohamad Yusof, anak Melayu pertama menjadi pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan dan Abdul Hamid yang kembali ke Kedah untuk menyertai jabatan yang sama.

Tun Hussein Onn juga berkhidmat dalam Tentera British India. Semua pasukan gerila ini bersiap sedia menunggu kedatangan tentera Bersekutu bagi menawan semula Tanah Melayu.

Tentera Bersekutu telah merancang Operasi Zipper yang membabitkan kira-kira 100,000 anggota. Ketika pasukan penggempur itu belayar ke Tanah Melayu, Hiroshima dan Nagasaki dibom lalu memaksa Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945.

Sebaik sahaja berita kekalahan Jepun tersebar, gerila Cina mula berubah sikap.  Mereka keluar dari hutan dan merampas beberapa buah balai polis di pendalaman dan dengan bongkak mendakwa Tanah Melayu kini di bawah pemerintahan mereka.

Ini mencetuskan pertempuran dengan penduduk kampung yang mereka tuduh bersubahat dengan tentera Jepun. Lebih 2,400 orang Cina, India dan Melayu dibunuh oleh gerila Cina.

 Perang habis-habisan di antara pengganas Cina dan orang Melayu berjaya dielakkan apabila tentera British yang mendarat di Selangor dan Pulau Pinang serta-merta dikerahkan ke kawasan-kawasan dimana tercetus ketengangan antara orang Melayu dengan Cina.

Pegawai perhubungan British yang sebelum ini bekerjsama dengan gerila Cina bejaya meyakinkan mereka agar keluar dari hutan dan meletakkan senjata. Di Alor Setar, gerila yang lengkap berpakaian seragam meletakkan senjata di padang berhampiran istana lama, bersebelahan sekolah Jepun. 

Namun, British menyedari sejumlah besar senjata api yang dibekalkan kepada mereka tidak diserah balik. 

Inilah kesilapan besar yang diulangi di merata dunia selepas itu, yakni membekalkan senjata berat dan melatih sekutu yang berpaling tadah menjadi musuh.

Sebenarnya mereka kurang percaya kepadsa British yang sedar perisytiharan secara terbuka niat PKM untuk memerintah Tanah Melayu.

Bersambung.....

Sunday, December 28, 2014

MALAYAN UNION 5- Sultan Johor tandatangan


British amat menyedari peningkatan politik orang Melayu dan penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Namun British dengan angkuhnya tidak berhasrat berganjak kerana mereka percaya jika semua sultan bersetuju, rancangan mereka menyatukan semua negeri Melayu dan memerintahnya terus di bawah Malayan Union akan berjaya.
MacMichael tiba di Tanah Melayu pada Oktober 1945. Beliau pergi berjumpa Sultan Johor dahulu atas nasihat Willan.
Di istana Pasir Pelangi, MacMichael menerangkan yang Kerajaan British hanya mengambil berat kebajikan Tanah Melayu dan tugasnya sendiri terhad kepada mendapatkan kerjasama raja-raja.
Perjanjian yang bakal ditandatangani oleh sultan akan memberikan British kuasa penuh dalam melaksanakan dasar-dasarnya secara berkesan dan teratur.
Sultan mendesak untuk seorang pegawai British mengetuai setiap jabatan bagi menjamin supaya diurus dengan betul. Baginda berkata bahawa baginda sudah hilang kepercayaan kepada orang Melayu - kenyataan ini dirakam dengan teliti di dalam fail yang tersimpan di arkib British.
Sultan juga menyuarakan kebimbangannya megenai hal-hal seperti setem pos dan lencana polis selepas Malayan Union ditubuhkan. Ini mungkin kerana baginda bimbang kalau-kalau lambang negeri Johor tidak diguna pakai lagi dalam setem dan lencana berkenaan. Baginda mahu sedikit waktu bagi mengkaji semua dokumen dan menyediakan memorandum.
Oleh itu,mereka bersetuju untuk bertemu lagi dua hari kemudian iaitu pada 20 September, Penolong Setiausaha Pejabat Jajahan British, H.T Bourdillon mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk ditandatangani.
MacMichael dan sultan pun menurunkan tandatangan masing-masing tanpa acara rasmi dan perbincangan.
MacMichael yang pernah bertugas di Palestin, menyambut kejayaan itu dengan mengucapkan Alhamdulillah dalam bahasa Arab. Begitu juga Sultan Johor, yang kemudian menyerahkan memorandum baginda (mengandungi pandangannya mengenai hubungan Johor-British).
Baginda berkata, MacMichael boleh menilai kandungannya dan jika didapati tidak sesuai boleh mencampakkannya ke dalam bakul sampah.
MacMichael menyatakan harapan untuk berjumpa dengan baginda di England. Beliau juga memberitahu bahawa Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam, Jeneral R.Hone sudah mengutus telegraf membuat permohonan segera untuk perjalanan baginda ke England.
MacMichael tersenyum puas dan gembira dengan kejayaannya, MacMichael tahu selepas ini beliau tidak akan menghadapi banyak masalah dengan raja-raja yang lain. Seperti jangkaan, mereka menandatangani perjanjian tanpa bantahan, KECUALI SULTAN KEDAH, TUNKU BADLISHAH.
Bersambung...............