Monday, January 29, 2018

KERAJAAN KAJI SEKAT BERITA PALSU



Kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walau bagaimanapun kerajaan tidak akan mengawal internet sekira­nya undang-undang baharu ter­sebut diperkenalkan.


Sebaliknya jelas beliau, peraturan yang lebih tegas itu diperlukan kerana penyebaran berita palsu di media sosial memberikan kesan yang amat membimbangkan pada masa kini sehingga mengancam kestabilan politik dan ketenteraman awam.

“Rakyat boleh terpesong se­perti membenci kerajaan dan merusuh hanya kerana terpedaya dengan berita palsu.

“Kita tidak mahu berita palsu tersebar luas tetapi bukan bererti kita akan kawal internet. Internet masih bebas, cuma kebebasan itu mestilah ada unsur kebertanggungjawaban,” katanya kepada pembe­rita selepas majlis Perdana Menteri bersama kakitangan awam di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh merangkap Pengerusi Kumpulan Utusan bersama lebih 10,000 kakitangan awam dari seluruh negeri ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan beberapa pihak termasuk ahli akademik melahirkan kebimbangan mengenai penularan berita palsu di negara ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan supaya mengguna pakai peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam menangani ancaman tersebut.

Ancaman itu bukan sahaja dihadapi oleh negara ini malah beberapa negara di Eropah seperti Britain yang mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran be­rita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga dilaporkan mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.



No comments:

Post a Comment