Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How diperintah keluar dewan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Speaker DUN, Datuk S. Thangeswari mengarahkan perintah tersebut selepas ADUN DAP itu gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) Perintah-perintah tetap DUN.
Ketika membuat perintah tersebut, Thangeswari berkata, wakil rakyat pembangkang itu tidak menghormati dan mengikut arahan serta menimbulkan kekecohan.
Terdahulu, persidangan kecoh apabila Howard Lee mengusulkan supaya Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya semasa sesi perbahasan 24 November lalu.
Selepas berbalas-balas hujah antara wakil rakyat pembangkang dengan wakil kerajaan selama 30 minit, Thangeswari memerintahkan Howard Lee keluar dewan.
Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN- Kamunting) turut mengusulkan Perintah-perintah Tetap 44 (3) Perintah-perintah tetap Dewan Perhimpunan Dewan Undangan Perak Darul Ridzuan supaya Howard Lee digantung perkhidmatannya sebagai ahli dewan sehingga tamat sidang dewan.
Usul itu dipersetujui dan Howard Lee dibawa keluar dewan oleh bentara diiringi semua wakil rakyat pembangkang kecuali ADUN Pas. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment