Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Rang undang-undang persendirian itu dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buat kali ketiga untuk meminda Seksyen 2 dalam akta berkenaan.
Pindaan seksyen itu adalah untuk menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah”.
Rang undang-undang tersebut dibentangkan kali pertama pada 26 Mei dan kemudiannya pada 24 November tahun lalu tetapi penerangan lanjut mengenai usul tersebut dibawa ke sesi kali ini.
Sebelum usul itu dibacakan Abdul Hadi, ia tertangguh hampir 35 minit apabila beberapa ahli parlimen pembangkang dalam kalangan DAP dan PKR membangkitkan peraturan-peraturan mesyuarat seolah-olah cuba menghalang ia dibentangkan.
Perkara itu dibangkitkan antaranya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo serta Ahli Parlimen Alor Star, Gooi Hsiao-Leung.
Walau bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan Abdul Hadi membentangkan usul itu dan memberi amaran mana-mana ahli parlimen yang masih berdiri untuk menghalangnya, beliau tidak teragak-agak mengarahkan mereka keluar dewan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment