Sunday, May 8, 2016

KARNIVAL HIMPUNAN HARI UMNO BATAL







Bagi menghormati mangsa tragedi nahas helikopter AS350, kepimpinan tertinggi UMNO memutuskan untuk membatalkan Karnival Himpunan Hari UMNO sempena ulang tahun ke - 70 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 Mei ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembatalan itu merangkumi semua aktiviti termasuk larian bendera dan Sukan UMNO yang telah berlangsung di seluruh negara.

Menurutnya lagi, walaupun segala perancangan dan persiapan telah dilaksanakan, namun kepimpinan UMNO berpendapat ini bukanlah masa yang sesuai untuk meneruskan acara tersebut. Kesedihan bukan sahaja menyelubungi ahli keluarga mangsa bahkan turut dirasai oleh ahli-ahli UMNO dan semua rakyat di negara ini.

Namun begitu sambutan ulang tahun UMNO yang dijadualkan di Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei ini akan diteruskan dengan sambutan yang sederhana termasuk bacaan Yassin dan tahlil bagi mengenang pemimpin terdahulu serta memperingati mangsa nahas helikopter itu.

UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berdoa agar usaha mencari mangsa nahas berjalan lancar dan dipermudahkan.

Insiden nahas helikopter AS350 di Sarawak mengorbankan enam penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

No comments:

Post a Comment