Selepas tujuh tahun keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan dua bekas pekerja ladangnya kekal menjalani hukuman gantung kerana membunuh Sosilawati dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor pada 2010.
Anak kepada pengasas kosmetik produk jenama Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari bersyukur dan lega diakhiri dengan keputusan adil dan saksama.
Katanya, keadilan ini bukan sahaja untuk mereka sekeluarga namun kepada keluarga mangsa yang lain yang turut terlibat.
“Alhamdulillah, seluruh keluarga rasa bersyukur kerana akhirnya penantian kami selama tujuh tahun berakhir dengan apa yang kami harapkan. Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan ini adalah keputusan yang terbaik untuk semua. Terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan baik sekali dan memberi keadilan kepada kami pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Erni yang mesra dikenali Rita itu juga akan mengadakan kenduri doa selamat pada minggu depan sebagai tanda kesyukuran segala penantian mereka sekeluarga akhirnya telah selesai.
Katanya, bukan mudah untuk meneruskan hari-hari tanpa ibunya lebih-lebih lagi, beliau juga harus menggalas tanggungjawab mengemudi syarikat ibunya.
“Pengalaman ketika mula-mula menjalankan perniagaan sangat sedikit dan masih lagi mentah namun saya terus kuatkan semangat. Semangat yang saya pegang adalah semangat sama ketika ibu mula-mula menjalankan perniagaan ini sehingga dikenali ramai.
“Kini, meski pun tujuh tahun kehilangan ibu namun sema-ngatnya masih tetap bersama kami” ujarnya.
No comments:
Post a Comment