Thursday, September 29, 2016

PATRIOTISME RAKYAT MALAYSIA



Patriotisme merupakan satu perasaan cintakan watan, kasih sayang dan hormat kepada tanah air sendiri. Ia juga merupakan satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Mereka yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi akan mampu mendorong dirinya bekerja keras demi negara, melindungi warisan dan budaya serta sanggup mempertahankan negara dari dimusnahkan oleh anasir luar atau dalaman. 

Patriotisme juga memberi makna dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara. Patriotisme melambangkan semangat kekitaan yang menyatukan rakyat yang biasanya disimbolkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu kebangsaan. 

Di Malaysia, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan untuk membentuk negara yang bebas merdeka dan memperlihatkan perjuangan sesuatu bangsa yang penuh dengan semangat patriotisme. Semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sanggup berkorban demi mempertahankan negara adalah contoh yang patut dihidupkan sepanjang masa. Pengkaji sejarah melihat semangat patriotisme di Malaysia bermula sejak Zaman Melaka dan menyemarak pada abad ke 17.

Secara umumnya patriotisme bersifat motivasi, rasional, harapan dan pembaharuan semula, kelangsungan hidup, rela berkorban, organisasi kesukarelaan, kenegaraan dan cinta negara. Maka, dalam konteks negara Malaysia, patriotisme yang ingin diterapkan adalah mempunyai nilai-nilai berikut: 

1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia
- berakhlak dan berbudi pekerti mulia 
- menghormati raja dan pemimpin negara
- menghormati lambang-lambang negara (seperti bendera, lagu kebangsaan, jata negara) 
- menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara 
- menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa 

2. Bersemangat setia negara 
- cintakan bangsa dan negara 
- taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara 
- sedia berkorban untuk bangsa dan negara 
- bertanggungjawab kepada bangsa dan negara 
- berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara 
- peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara 

3. Bersemangat kekitaan 
- bersatupadu dan berharmoni 
- bertolak ansur dan bertoleransi 
- bekerjasama dan tolong-menolong 
- hormat-menghormati 
- bersefahaman dan bermuafakat
 - muhibah 

4. Berdisplin 
- mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan Negara 
- mematuhi peraturan dan undang-undang - berkelakuan sopan dan bertatasusila 
- bertanggungjawab 
- bertindak dengan wajar 
- bersifat amanah dan jujur 
- berlaku adil dan bertimbang rasa 

5. Berusaha dan produktif 
- rajin dan gigih 
- berdikari 
- sentiasa mempertingkatkan usaha 
- tabah menghadapi cabaran 
- menyokong dan melibatkan diri dalam usaha pembangunan 

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan mereka dalam menjaga kepentingan negara. Mereka yang patriotik boleh menyumbang pandangan dan pendapat ikhlas dalam bidang tertentu yang boleh membawa kebaikan kepada negara. 

Patriotisme perlu dipupuk sejak kecil lagi. Kanak-kanak yang telah terdidik dengan cintakan negara akan membesar dengan jatidiri yang kental, menghargai warisan, menerima kepelbagaian, mencintai sejarah negara dan berusaha untuk membangunkan negara dalam semua aspek. Sewajarnya patriotisme diterapkan dalam diri pelajar melalui kesedaran, pendidikan serta perlu disesuaikan dalam menyemai rasa bangga dan kekitaan terhadap negara.

Sebenarnya kanak-kanak boleh dibentuk untuk TIDAK melihat sesuatu perkara berdasarkan warna kulit. Mereka boleh diletakan dan dibiarkan bermain bersama-sama agar mereka dapat mengenali, memehami dan menghargai rakan-rakan yang berbeza dari segi warna kulit dan latar belakang agama. 

Perpaduan haruslah dipupuk dan dibajai bermula di sekolah di mana usaha ini boleh dibuat bagi menyemai nilai keharmonian antara kaum, perpaduan dan keamanan. Pendekatan ini memerlukan kebijaksanaan guru-guru mengunakan kreativiti untuk melibatkan pelajar dari semua kaum untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh meningkatkan integrasi dan perpaduan kaum. 

Seharusnya selepas 59 tahun kita merdeka, rakyat Malaysia perlu lebih bersatu kerana kita berkongsi harapan, cita-cita dan impian yang sama serta berbangga mengenalkan diri sebagai rakyat Malaysia. Tidak akan berkurangnya seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh atau apa sahaja kaum apabila mereka menjadi rakyat Malaysia. 

Dengan penerapan nilai-nilai patriotisme dalam diri, perpaduan dan integrasi nasional akan menjadi lebih kukuh dan bersemangat. Telah terbukti dalam tinta sejarah, Malaysia dapat mengatasi sebarang cabaran apabila rakyatnya bersatu padu. 

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi diantara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak harus menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni.

No comments:

Post a Comment