KUALA LUMPUR 30 Dis. – Dua beradik yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu mereka ketika wanita terbabit cuba meleraikan pergaduhan antara anak-anaknya itu awal November lalu.
Muhamad Abdul Rahman, 25, dan adik perempuannya, Ainul Mardhiah, 22, didakwa membunuh Wan Yah Wan Mat, 63, di antara pukul 11 malam, 9 November dan 4 petang keesokannya di salah sebuah unit di Flat Seri Penara, Jalan Sri Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang dilihat tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi sepanjang prosiding.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa manakala kedua-dua beradik itu tidak diwakili peguam bela.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes itu pada 29 Februari ini bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Menurut laporan media sebelum ini, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan mengalami bengkak di belakang kepala, lebam di kepala serta cedera di mulut dan hidung di ruang tamu rumah unit pangsapuri tersebut yang dipercayai milik anak sulungnya yang berada di Kelantan pada hari kejadian.
Pihak polis telah pergi ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan telefon daripada salah seorang penduduk kawasan berkenaan yang terkejut melihat limpahan air paip keluar dari pintu utama rumah itu.
Selepas berjaya memasuki unit berkenaan, polis melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu, anak lelaki mangsa sedang duduk di sofa sementara anak perempuannya berada di dalam bilik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainudin Ahmad dilaporkan berkata, mangsa dan anak perempuannya datang ke rumah tersebut dari Kelantan kira-kira tiga hari sebelum kejadian untuk mengubati anak perempuannya yang dipercayai mengalami sakit misteri dan sepatutnya pulang ke kampung halamannya pada 10 November lalu.
No comments:
Post a Comment