KOTA BHARU 25 Mac - Pemimpin DAP diingatkan supaya tidak terus bersikap angkuh kerana parti berteraskan kaum Cina itu juga memerlukan sokongan Pas bagi mendapat undi orang Melayu dalam usaha mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, oleh itu, DAP perlu berhenti menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tindakan yang disifatkan biadab itu hanya akan merugikan mereka sendiri selain boleh memecah belahkan pakatan pembangkang.
“Saya sudah tegaskan, sekiranya DAP tolak Presiden bermakna tolak parti. Kalau berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang, DAP akan rugi.
“Belum tentu dia (DAP) boleh mempertahankan Pulau Pinang sekiranya Pas tidak bersama dalam pakatan pembangkang. Jangan rasa Pas sahaja bergantung, orang lain (DAP) juga bergantung pada Pas dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini hari ini.
Semalam, DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di negeri ini.
Pada masa sama, DAP turut menuduh Abdul Hadi sebagai pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur, selain tidak menghormati persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang dalam isu itu sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhianat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian berkenaan hudud ke Dewan Rakyat tanpa pengetahuan parti itu pada 18 Mac lalu.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut mengingatkan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar bertindak secara bijaksana dalam menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu hudud demi kepentingan bersama.
“Kita saling memerlukan. Sebab itu saya kata, DAP dan PKR perlu bertindak bijaksana. Kalau tindakan mereka silap, semua akan rugi,” katanya.
No comments:
Post a Comment