Tuesday, March 31, 2015

Kepentingan Rakyat diutamakan



Jika kerajaan BN hedak terus memerintah Malaysia, kerajaan perlu batal atau tangguhkan perlaksanaan GST. Itu adalah pendapat pembangkang yang menyatakan kerajaan BN akan tumbang pada PRU14 apabila GST dilaksanakan 1 April ini.
Jika kerajaan BN sebuah kerajaan yang memerlukan populariti untuk terus memerintah, maka kerajaan perlu mengikut kata-kata pembangkang yang kononnya menyuarakan kehendak rakyat. Hakikatnya kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kajian tentang perlaksanaan GST ini bukan satu hari, seminggu atau baru sebulan. Sudah berpuluh tahun. Dari tahun 80an sehinggalah pada tahun 1992/93 Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan GST akan dilaksanakan, namun ianya ditangguhkan dari setahun ke setahun sehinggalah 2013 Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib dengan tegas akan melaksanakannya pada 1 april 2015.
Kenapa kerajaan bertegas juga untuk melaksanakan ? Adakah kerajaan sekarang sudah bosan untuk memerintah dan berhasrat memberi tampuk pemerintahan ini kepada pembangkang ? Sudah tentulah tidak,ini kerana kerajaan tahu dengan memilih melaksanakan sistem kutipan cukai yang lebih efisyen dan cekap, mejoriti rakyat akan mendapat manfaatnya.
KERAJAAN INI KERAJAAN RAKYAT, MAKA KEPENTINGAN RAKYAT MENJADI KEUTAMAAN.

Mohammad Firdaus Hasnel
Langgq, Aloq Setaq Kedah

Monday, March 30, 2015

ESOK NAK PI MENOREH....



Malam ni Pak Ngah nak tidur awai, esok nak ke kebun menoreh getah. Mak  Ngah hangpa tadi ajak pi "Giant".... dia dok pot pet, pot pet dari semalam lagi, katanya esok barang semua naik harga kerana kerajaan nak kenakan GST kat semua barang, ramai orang beli barang siap-siap dah malam ni katanya. 

Lantak pi laa kat depa. Depa banyak duit, habih seribu semalam pun tak luak harta depa.

Pak Ngah bukan apa, malaih nak melayan karenah Mak Ngah hangpa tu. Lagipun, apa sangat nak beli kat Giant , Tesco , NSK tu ! 
Nak makan ikan laut, Pak Ngah boleh beli kat market, lagi morah. Nak makan ikan darat, esok pak Ngah boleh pasang pukat kat sungai.Cabai besaq, Pak Ngah tanam belakang rumah. Kangkung penuh atas batas bendang. Bayam pun tumbuh sendiri depan rumah (macam mana boleh tumbuh pun tak tau sampai hari ni).


 Beras, bendang sebelah rumah. Kalau habih, boleh pi kat kedai kawan Pak Ngah "Mydin" ...dia jual morah-morah, dengaq kata ....GST dia tolong bayaq. Baguih sungguh "Mydin" ni, Pak Ngah doakan perniagaan dia maju jaya kerana banyak membantu orang yang berpendapatan rendah macam Pak Ngah ni. Pendek kata orang kampung macam Pak Ngah ni tak payah pening sangat pasai GST. Pak Ngah bukan hari-hari makan benda dalam tin. 

Pak Ngah pernah marah kat anak dara Pak Ngah, perabih duit beli sardin dalam tin. Awat pemalas sangat anak dara zaman ni, nak goreng ikan pun kedekut tenaga.  Bukan susah sangat pun. 

Hari tu Pak Ngah pi Pekan Rabu, tengok anak-anak dara kita lepas balik sekolah pi makan kat KFC. Banyak duit mak bapa depa la ni. Sekali makan lebih dari RM10 termasuk la service caj dan  Gov tax lagi. Tu tak kira tambang bas dan belanja kat sekolah lagi. Membaziaq betoi laa budak-budak zaman ni.

Bukan nak bangga laa, Pak Ngah balik sekolah dulu, sempat lagi Pak Ngah masak nasi dengan ikan goreng. Pak Ngah ajaq anak-anak Pak Ngah masak sendiri sayuq dan lain-lain. Nanti kalau orang pinang anak Pak Ngah, tak la buat malu mak bapa. 

Orang zaman laa ni, nak kawin anak ...nak "grand-grand" kata orang putih. Hantaran nak berpuluh ribu, bersanding bagai nak "rak"..... tapi goreng telor pun tak reti. Bukan nak mengutuk, tapi nak pesan...hangpa jangan laa jadi macam tu. Pak Ngah kawin dengan Mak Ngah  hangpa dulu dah laa harga berpatutan, anak guru besaq, lawa pula tu...hehehe. Tuah badan. 


Ada orang kata, "Pak Ngah boleh la cakap besaq, Pak Ngah dok kampung bukan dok bandar  macam kami kat KL". Ehh...!!! pasai apa pula hangpa nak salahkan Pak Ngah, bukan ka hangpa dulu juga yang kata, kalau dok kampung apa kami nak makan, apa kerja yang ada ? Hangpa tengok sendiri laa anak bongsu "Kak  Chaq" si Zahari tu yang tak "pas" SRP 3 kali. Hari ni dia boleh beli rumah sendiri, boleh beli van sendiri...walauupun tak dak lesen, dia upah kawan-kawan jadi pemandu. 

Hangpa tau dia kerja apa ? dia meniaga jual baju bola. Hangpa yang masuk universiti dapat ijazah bagai, makan minum kerajaan bela. Tak dak kerja kerajaan bagi, la ni hangpa pula nak lawan kerajaan  yang suap hangpa makan dulu.  

Sebenaqnya hangpa ni semua cuma ada satu masalah saja yang hangpa kena belajaq...., "Hangpa kena belajar BERSYUKUR".
Betoi dak ...???

Wassalam,

Mohammad Firdaus Hasnel
Langgaq, Aloq Setaq Kedah.



KUASA DAN BUDAYA MELAYU


Kita orang Melayu dijajah oleh Barat selama 450 tahun, bermula dengan kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Negeri-negeri Melayu Semenanjung kecil-kecil semuanya dan menjadi lebih kecil kerana terlalu mudah memberi wilayah untuk raja-raja kecil mendirikan pemerintahan sendiri. Tiap kali ada kemangkatan raja maka berebut-rebutlah waris untuk menduduki takhta. Dalam perebutan ini waris yang lemah suka meminta pertolongan daripada kuasa asing dan meletakkan diri serta negeri di bawah naungan kuasa yang menolong.


 Akhirnya semua negeri Melayu ini ditakluk oleh orang asing. Tetapi orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk membebas atau memajukan diri. Mereka berasa senang hati menerima `political pension` dan menyerahkan pemerintahan serta ekonomi kepada penjajah dan kaum mendatang. Oleh kerana kutipan cukai biasanya dilesapkan oleh pegawai dan sedikit benar yang sampai ke tangan raja, kutipan cukai ini diserahkan kepada kapitan-kapitan Cina yang menjamin pulangan yang lebih tinggi. Demikian juga monopoli candu diserahkan kepada kaum pendatang kerana kurang percaya kepada pegawai sendiri. Apabila kaum pendatang memasuki bidang perniagaan, orang Melayu pun mengundur diri dan menyerahkan bidang ini kepada kaum asing. Demikian juga oleh kerana pendatang dari China menjamin pulangan yang lebih tinggi dan tetap daripada perlombongan timah, pembesar-pembesar Melayu menyerahkan tanah mereka untuk diusahakan oleh orang asing ini.

 Akibatnya kaum pendatang bertambah sehingga mereka lebih ramai daripada orang Melayu. Jika tidak kerana resesi pada tahun 1920 hingga 1930 yang menyebabkan ramai daripada mereka kembali ke negara mereka, apabila tuntutan untuk kemerdekaan dibuat hasilnya mungkin seperti yang terdapat di negara jiran di selatan.

PAS SUDAH JATUH CINTA


Saya berasa lega mendengar kenyataan Mursyidul Am Pas, Dato Haron Din berkaitan penyatuan Umno dan Pas.
Ianya rentetan penentangan keras Dap terhadap pelaksanaan hudud. Kata Dato Haron Din, pas perlu keluar dari pakatan rakyat kerana Dap menentang hudud.
Secara peribadi, saya berpendapat dari awal lagi Pas tidak patut bersahabat dgn Dap kerana memang sejak dulu lagi Dap menentang hudud. Dalam pilihanraya lalu, Pas umum gugur hudud dalam kempen pilihanraya bersama Dap. Apapun, biarlah kesilapan lalu hanya menjadi pengajaran.
Apa yg ingin saya tekankan adalah, sejauh mana proses penyatuan tersebut boleh berjaya, ianya persoalan yg harus dikaji dan dipermudahkan.
Apapun, jika sungguh penyatuan ini mampu dilakukan...biarlah ianya menjadi penyatuan abadi. Alang-alang nak bersatu, biarlah jodoh berpanjangan hingga keanak cucu. Biar generasi anak Melayu masa depan terus bersatu. Jangan bersatu hanya utk hudud, bersatulah kerana Allah swt. Islam bukan hanya pada syariat, tetapi Islam itu syumul melangkaui setiap aspek kehidupan insan sepanjang masa.
Melayu itu perlu bersatu bukan untuk menang "pilihanraya"...tetapi Melayu itu perlu bersatu kerana kita mmg tiada "pilihan lain". Semoga Allah menunjukkan jalan yg benar.
Salam cinta baru berputik,
Lecturer& Project Manager
(Bank Rakyat/Unirazak Research Collaboration)
Bank Rakyat School of Business and Entrepreneurship
Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)

Sunday, March 29, 2015

DULU digelar Khalifah, KINI Tidak Siuman, SELAMANYA Bengong.

"Kebanyakkan kegagalan sesuatu usaha adalah berpunca dari sikap tamak, khianat dan ego. Kegagalan pakatan pembangkang berpunca dari kemenangan mereka telah membuat mereka bersikap sombong, bongkak dan ego. Masing-masing merasakan parti mereka lebih penting dan berkuasa. Sekarang ....bergaduh sesama sendiri". 


Jika Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng, merasakan beliau boleh menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka, Pas juga mampu membalas penghinaan tersebut tetapi dengan gelaran yang lebih teruk.

Mohamad Noor
Hasilnya, Pas Wilayah Persekutuan tampil sebagai ‘anak jantan’ apabila melabelkan Guan Eng sebagai ‘tidak siuman’ berikutan tindakannya memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi tetapi mengekalkan kerjasama dengan Pas.

Menyifatkan kenyataan Guan Eng sebagai biadab, Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, Pas Wilayah Persekutuan akan memutuskan kerjasama dengan DAP Kuala Lumpur dan Labuan sebagai tindak balas terhadap kenyataan parti tersebut.

“Kami melihatnya sebagai tindakan biadab dan tidak reti bahasa. Kenyataan itu dikeluarkan oleh orang yang sudah tidak siuman kerana mana mungkin memutuskan hubungan dengan Presiden tetapi masih mengekalkan hubungan dengan Pas?

“Bukankah itu tidak profesional? Hanya orang yang tiada akal sahaja boleh bercakap begitu. Kalau nak kekalkan hubungan dengan Pas, mesti kekalkan hubungan dengan Presiden kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selasa lalu, Guan Eng ketika memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi menuduh Presiden Pas itu sebagai tidak bermaruah, tidak jujur dan pengkhianat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan undang-undang mengenai hudud.

Bagaimanapun, semalam Abdul Hadi pula tampil ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Guan Eng apabila menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu tidak lebih umpama 'peluru kosong’ yang tidak sedikit pun menjejaskan beliau.

Mengulas lebih lanjut, Mohamad Noor berkata, beliau percaya, sikap biadab yang ditunjukkan DAP sejak kebelakangan ini adalah berpunca daripada sikap 'besar kepala’ parti itu berikutan menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

“Tetapi DAP kena ingat, sebahagian kemenangan mereka adalah kerana sokongan ahli Pas, jangan terlalu yakin dalam pilihan raya umum akan datang, jika ahli Pas tidak menyokong, DAP tidak akan mungkin menang seperti sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan pula, beliau berkata, Pas Wilayah Persekutuan menyokong penuh kepemimpinan Abdul Hadi sebagai Presiden dan melihat tiada pemimpin Pas lain pada masa ini mampu menggantikan tempat Ahli Parlimen Marang itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa DAP supaya berhenti daripada menjadi ‘penaja’ kepada calon-calon tertentu dengan matlamat untuk menggulingkan Abdul Hadi kerana yakin, seluruh ahli Pas akan berdiri teguh di belakang Presiden parti tersebut.

“Kami melihat DAP cuba taja pemimpin tertentu dan ini satu perbuatan campur tangan dalam rumah tangga Pas, tetapi kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kepemimpinan tuan guru dipertahankan pada pemilihan nanti,” katanya.
-

Saturday, March 28, 2015

TERPENCIL DI DUNIA , TERKENAL DI LANGIT

"Akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (Zaman selepas kewafatan Rasullulah s.a.w)"



Uwais Al Qarni.. Siapakah uwais tu?

Uwais Al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah s.a.w
kepada para sahabat baginda.
Rasullulah s.a.w pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa:
"Akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (Zaman selepas kewafatan Rasullulah s.a.w)"




Tujuan Rasullulah s.a.w menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais Al-Qarni tidak lain ialah wanita meminta Uwais Al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Uamr ra dan Saidina Ali ra)
Marilah kita lihat keistimewaan Uwais Al-Qarni sehingga Rasullulah s.a.w meminta sahabat mencari dan meminta doa darinya.

Memang benarlah kata-kata Rasullulah s.a.w,Uwais Al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra.Kedua-dua  mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah ,Akhirnya bertemu juga dengan Uwais Al-Qarni.Pada pandangan mata kasar mereka,tidak mungkin dia adalah orang yang Rasullulah s.a.w sebut -sebutkan ini kerana ,Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badanya ,yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai.Walaupun begitu,beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh.Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya.Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji,di Mekah.Ibunya menyuruh Uwais Al-Qarni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji .Sebagai seorang yang miskin ,Uwais Al-qarni tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibuya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan unta dipasang atsnaya "Haudat".
Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.

Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.
Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi,Uwais Al-Qarni mendapat satu ilham.
Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu.Beliau membuat sebuah rumah si atas 'Tilal'(Tanah Tinggi).Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit,apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal .Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan .Perbuatan yang dilakukannya menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik,membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit,kemudian setiap hari mengusung lembu ,petang dibawa naik ,pagi dibawa turun.
Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya ,Uwais Al-Qarni seorang yang bijak.Lembu yang asalnya hanya 20kg,selepas 6bulan lembu itu sudah menjadi 100kg.Otot-Otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas 8bulan ,apabila sampai musim haji.Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji.Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya.Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air,roti dan sebagainya .Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan.Beliau membawa (Mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah,mengerjakan Tawaf ,saie ,dan di padang arafah dengan senang sahaja.Uwais juga memangku ibuya denagn kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah ibunya pulang ke Yaman,ibunya bertanya:
"Uwais,apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?"

Uwais Al-Qarni menjawab:
"Saya berdoa meminta supaya Allah mengampunkan dosa-dosa ibu"

Ibunya bertanya lagi:
"Bagaimana pula dengan dosa kamu"

Uwais al-Qarni menjawab:
"Dengan terampun dosa ibu,ibu akan masuk syurga .Cukuplah ibu redha dengan saya,maka saya juga akan masuk syurga".

ibunya bertanya lagi:
"Ibu inginkan engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih(sopak) kamu ini."

Uwais Al-Qarni berkata:
"Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan.Kalau tidak redha dengan kejadian Allah,macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta'ala.

Ibunya menambah:
"Kalau ingin masuk ke Syuga ,mesti taat kepada perintah ibu.Ibu perintahkan engkau berdoa."
Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa.Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa(sopak) yang dihadapinya itu.

Allah s.w.t lalu menyembuhkan serta merta ,hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya.Tanda tompok putih itu kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaanya,kerana sopak ini adalah tanda pengenalan yang disebut Rasullulah s.a.w kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra.

Tidak lama kemudian,ibunya meninggal dunia.Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya.Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah.Saidina umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarnidan seperti yag diperintahkan oleh Rasullulah s.a.w,mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah s.w.t berkenan mengampuni dosa-dosa mereka berdua.

Diriwayatkan semasa kewafatan beliau,terlalu ramai "orang" yang menyempurnakan jenazah beliau.Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad.Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau yang miskin,malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila.Siapakah "orang-orang tersebut".Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.

Tamat sudah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya.Seorang wali Allah yang tidak terkenal di bumi,tetapi amat terkenal di langit .
Sekian.Wallahua'lam.


PEMBELA PENGGANAS KOMUNIS DAN RAKAN BAIK PASMA DITAHAN POLIS

PULAU PINANG 29 Mac - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu ditahan polis sekitar pukul 12.20 tengah malam tadi setelah keluar dari kereta Timbalan Pesuruhjaya Pas, Ustaz Saleh Man untuk minum di sebuah restoran berdekatan pekan Sungai Dua di sini.

Sebelum itu, beliau baru sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Pas negeri di Markaz Tarbiyah Pas, Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Pagi semalam, beliau hadir ke Mahkamah Seksyen Butterworth untuk pembicaraan kes Mat Indera.

Pembicaraan bersambung hari ini dengan saksi pendakwa ke-10 membabitkan pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Menurut Penolong Setiausaha Pas negeri, Zahar Zainul, Mohamad belum sempat minum bersama-sama kami, pihak polis terus membawanya ke Balai Polis Seberang Jaya dan selepas itu ke mana tidak diketahui.

“Saya agak polis mengekori beliau dari Markaz Pas Negeri di Pongsu Seribu lagi. Turun saja kereta Ustaz Saleh, polis terus bertindak menahannya,“ jelasnya.

Penahanan terbabit berkemungkinan melibatkan kes demonstrasi haram yang akan di Dataran Merdeka hari ini. - SUMBER

Friday, March 27, 2015

MENEGUR


Aug 18th, 2014 @ 10:54 am › chedet
1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.
2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.
3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.
4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.
5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.
6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.
7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”
8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.
9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.
10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.
11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.
12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”
13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.
14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.
15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:
“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”
Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”
16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.
17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.
18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.
19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.
20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.
21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.
22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.
23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.
24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.
25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.
26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.
27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.
28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.
29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.
30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.
31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.
33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.

SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT

VIDEO ragut yang tersebar secara viral di laman sosial membawa
VIDEO ragut yang tersebar secara viral di laman sosial membawa kepada penangkapan dua peragut di Taman Paramount, Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR 26 Mac – Dua peragut diberkas selepas sebuah video rakaman amatur yang menyaksikan mereka melakukan jenayah terhadap seorang wanita warga emas di Taman Paramount, Petaling Jaya, dekat sini, tersebar menjadi viral sejak semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dan 21 tahun itu ditangkap selepas orang ramai memberi maklumat yang akhirnya membantu polis dalam penangkapan itu.

Semalam, sebuah video amatur kejadian ragut yang tidak sengaja dirakam sebuah alat perakam video yang dipasang di sebuah kenderaan menjadi viral apabila mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Dalam rakaman itu, beg ta­ngan yang disandang seorang warga emas diragut suspek dan mangsa kemudiannya diseret beberapa meter selepas tidak berjaya melepaskan beg terbabit.

Ekoran itu, mangsa mengalami kecederaan di dahi, tangan dan ibu jari serta calar di seluruh badan.

Utusan Malaysia difahamkan, mangsa yang juga pesara kerajaan itu membuat laporan polis dan memberi butiran penunggang motosikal terbabit.

Malah, pemilik alat rakaman itu turut membuat laporan polis sebelum menyerahkan video berkenaan untuk tindakan lanjut.

Video itu merakam jenis motosikal dan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ber­kenaan.

BARANG YANG DIKECUALIKAN DARI GST

gst

KUALA LUMPUR 26 Mac - Menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhid­matan (GST) 1 April ini, Kementerian Kewangan hari ini memperluaskan lagi senarai barang dan perkhidmatan yang dikecuali­kan daripada cukai tersebut bagi memanfaatkan rakyat dan industri.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, senarai tersebut meliputi empat perkara iaitu bahan bacaan, ubat, yuran penyelenggaraan terma­suk sinking fund kediaman dan perkhid­matan pendidikan.

Menurut Kementerian Kewa­ngan, pengecualian GST kini diperluaskan kepada semua jenis bahan bacaan termasuk surat khabar manakala majalah dan buku-buku lain yang bukan merupakan bahan bacaan dikenakan GST.

Kata kenyataan itu, langkah ini diharap dapat memastikan bahan bacaan yang dikecualikan GST tidak akan mengalami sebarang kenaikan dan seterusnya dapat me­ningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Selain itu, bilangan ubat yang dikecualikan GST di bawah Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama ubat untuk memastikan ubat-ubatan di bawah senarai ini dapat meliputi semua dos dan kaedah pengambilan.
“Malah Kementerian Kewangan juga akan mengkaji cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan lagi jenis ubat bagi penyakit tertentu untuk dikecualikan GST,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, yuran penyelenggaraan dan sinking fund yang sebelum ini hanya dikecuali­kan GST ke atas rumah kos rendah dan kos sederhana rendah kini turut diperluaskan meliputi semua jenis bangunan kediaman yang dipegang di bawah hak milik strata.

Perkhidmatan pendidikan yang dikecualikan daripada GST turut diperluaskan meliputi pendidikan kemahiran yang disediakan oleh penyedia latihan kemahiran yang menjalankan program yang diluluskan dan ditauliahkan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan itu turut memberi penjelasan berhubung empat perkara iaitu GST ke atas perkhidmatan kesihatan, pertubuh­an bukan kerajaan (NGO) terma­suk institusi keagamaan, GST di zon perdagangan bebas dan gudang, serta barang yang dikecualikan cukai tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan, perkhidmatan jagaan kesihatan oleh hospital, klinik, pusat rawatan dialisis dan seumpanya tidak dikenakan GST namun GST akan dikenakan ke atas caj rawatan atau perkhidmatan rundingan yang diberikan oleh doktor bebas (independent doctor) yang tidak berdaftar sebagai kemudahan jagaan kesihatan.

“Di dalam membantu kemudah­an jagaan kesihatan swasta untuk mengurangkan kos untuk menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan, sebanyak 120 jenis peralatan perubatan yang dibeli oleh hospital, klinik atau mana-mana kemudahaan jagaan kesihatan swasta diberi pelepasan GST,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Kementerian Kewangan turut menjelaskan barang yang dikecualikan GST termasuk susu formula bayi di bawah umur 36 bulan, semua jenis beras dan gula.
Sementara itu, tambah Kementerian Kewangan, bagi aktiviti NGO dan institusi keagamaan yang terlibat sepenuhnya di dalam aktiviti kebajikan atau keagamaan juga tidak dikenakan GST.
“Mengenai layanan GST di zon perdagangan bebas dan gudang, secara prinsipnya, pengenaan GST ke atas perkhidmatan yang dibekalkan tidak akan menambahkan kos perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar boleh dituntut semula sebagai kredit oleh syarikat yang berdaftar.

“Penelitian semula sedang dijalankan dan secara prinsipnya beberapa jenis perkhidmatan yang digunakan di dalam kawasan berikut akan diberi layanan khas. Langkah ini bagi memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan di dalam kawasan tersebut adalah kompetetif dan selaras dengan amalan di pe­ringkat antarabangsa.

“Keputusan mengenai jenis perkhidmatan yang akan diberi pelepasan GST akan dimaklumkan kepada pihak industri,” ujar kenya­taan itu.

Thursday, March 26, 2015

FELDA UNITED BAKAL BERAKSI DI STADIUM SENDIRI


FELDA sekali lagi bakal menempa satulagi sejarah baru apabila stadium bola sepaknya sudah 80% siap. Mini Staduim FELDA United yang bertempat di Jengka Pahang bakal memberi mercu tanda baru kepada warga Jengka Pahang. Stadium yang mula dibina pada april 2013  dijangkakan akan siap sepenuhnya pada awal bulan April ini. 

Sudah tentulah Felda United FC (FUFC) yang baru-baru ini memintas kedudukan Kelantan di persada Liga Super selepas menang tipis 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu lepas bakal beraksi di Stadium sendiri selewatnya bulan april ini. Ia sudah pasti akan memberi semangat baru kepada pasukan bolasepak Felda United FC.

Stadium yang telah menelan belanja lebiih dari RM80 juta ini mampu manampung 20 ribu hingga ke 30 ribu penonton pada satu-satu masa dengan dibekalkan  kapasiti 20,000 tempat duduk. Stadium ini dilengkapi dengan padang rumput sintetik  bertaraf "2 star", berkonsepkan moden dan menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh FAM dan FIFA.

Pada awalnya Felda lebih menumpukan pembinaan stadium tersebut manakala kemudahan sukan yang lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua yang mana akhirnya akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai sebuah komleks sukan.

Tan Sri Isa Samad, Pengerusi Felda turut turun padang membuat tinjauan sambil melihat sendiri perkembangan pembinaan stadium tersebut, turut mengiringi beliau ialah Dato' Hanapi Suhada dan Pengarah Pembangunan Komuniti FELDA, Anuar Malek. 

Mengimbas kembali harapan Tan Sri semasa pembinaan stadium ini, "Kita mempunyai rancangan untuk menghantar lagi anak-anak Felda mendapat latihan di luar negara dalam usaha melahirkan pemain pelapis sebagai satu sumbangan Felda kepada pembangunan sukan negara.


PEMBINAAN STADIUM PADA BULAN FEBRUARI 2014 LEPAS

Dengan terbinanya Stadium Felda di Jengka, di samping Stadium Darul Makmur di Kuantan dan Stadium Temerloh mampu memberi sema­ngat baharu kepada orang Pahang terutama warga Felda untuk melonjakkan mutu sukan terutama bola sepak disamping dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Felda Jengka. 

DAP , PKR YANG RUGI, BUKAN PAS

KOTA BHARU 25 Mac - Pemimpin DAP diingatkan supaya tidak terus bersikap ang­kuh kerana parti berteraskan kaum Cina itu juga memerlukan sokongan Pas bagi mendapat undi orang Melayu dalam usaha mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Mohd. Amar Nik Abdullah
Mohd. Amar Nik Abdullah
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, oleh itu, DAP perlu berhenti menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tindakan yang disifatkan biadab itu hanya akan merugikan mereka sendiri selain boleh memecah belahkan pakatan pembangkang.

“Saya sudah tegaskan, sekiranya DAP tolak Presiden bermakna tolak parti. Kalau berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang, DAP akan rugi.

“Belum tentu dia (DAP) boleh mempertahankan Pulau Pinang sekiranya Pas tidak bersama dalam pakatan pembangkang. Jangan rasa Pas sahaja bergantung, orang lain (DAP) juga bergantung pada Pas dalam pakatan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini hari ini.

Semalam, DAP me­ngambil keputusan untuk memutuskan hubungan de­ngan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di negeri ini.

Pada masa sama, DAP turut me­nuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur, selain tidak menghormati persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang dalam isu itu sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana meng­anggap Abdul Hadi ‘pengkhianat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian berkenaan hudud ke Dewan Rakyat tanpa pengetahuan parti itu pada 18 Mac lalu.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut mengingatkan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar bertindak secara bijaksana dalam menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu hudud demi kepentingan bersama.
“Kita saling memerlukan. Sebab itu saya kata, DAP dan PKR perlu bertindak bijaksana. Kalau tindakan mereka silap, semua akan rugi,” katanya.