VIDEO ragut yang tersebar secara viral di laman sosial membawa kepada penangkapan dua peragut di Taman Paramount, Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR 26 Mac – Dua peragut diberkas selepas sebuah video rakaman amatur yang menyaksikan mereka melakukan jenayah terhadap seorang wanita warga emas di Taman Paramount, Petaling Jaya, dekat sini, tersebar menjadi viral sejak semalam.
Lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dan 21 tahun itu ditangkap selepas orang ramai memberi maklumat yang akhirnya membantu polis dalam penangkapan itu.
Semalam, sebuah video amatur kejadian ragut yang tidak sengaja dirakam sebuah alat perakam video yang dipasang di sebuah kenderaan menjadi viral apabila mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Dalam rakaman itu, beg tangan yang disandang seorang warga emas diragut suspek dan mangsa kemudiannya diseret beberapa meter selepas tidak berjaya melepaskan beg terbabit.
Ekoran itu, mangsa mengalami kecederaan di dahi, tangan dan ibu jari serta calar di seluruh badan.
Utusan Malaysia difahamkan, mangsa yang juga pesara kerajaan itu membuat laporan polis dan memberi butiran penunggang motosikal terbabit.
Malah, pemilik alat rakaman itu turut membuat laporan polis sebelum menyerahkan video berkenaan untuk tindakan lanjut.
Video itu merakam jenis motosikal dan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
No comments:
Post a Comment