Sunday, November 10, 2013

UFB komen Tun M: “better the devil you know than the angel you don’t”



Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Bismillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ‘ala aalihi wa shahbihi wa man waalaah, amma ba’d.
Merujuk kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir yang agak kontroversi baru-baru ini di mana beliau menggunakan kenyataan “better the devil you know than the angel you don’t” yang bermaksud (secara literal) lebih baik syaitan yang kamu kenal berbanding malaikat yang kamu tidak kenal.
Kenyataan beliau ini menjadi satu kenyataan yang kontroversi kerana disalahtafsirkan, ditafsir dengan pelbagai kefahaman sama ada positif dan negatif, maka saya saya secara prinsipnya mengambil langkah merujuk sendiri kepada beliau melalui orang yang paling hampir kepada beliau iaitu Dato’ Mukhriz Tun Mahathir (anak beliau sendiri).
Saya menghubungi beliau dan beliau membalas dengan SMS berbunyi:
“Salam, kenyataan Tun itu hanyalah peribahasa bahasa inggeris, dan tidak bermaksud literal kononnya BN itu syaitan manakala PR itu malaikat. Mesej yang hendak disampaikan adalah jangan kita berubah tanpa menentukan dulu perubahan itu membawa kebaikan atau sebaliknya. Memang tabiat PR perbesar kenyataan pemimpin BN di luar konteks walhal mereka juga tahu apa maksud sebenar komen-komen seperti itu. Wallaahua’lam.” – Mukhriz Mahathir
Jadi saya kira, pertama sekali, prinsip kita sebagai seorang muslim adalah untuk mendapatkan penjelasan yang tepat terhadap kenyataan saudara-saudara kita tidak kira sama ada Tun Mahathir atau TG Nik Abdul Aziz atau sesiapa sahaja, lebih baik kita berusaha merujuk kepada mereka ataupun orang yang terhampir dengan mereka. Sebagaimana apa yang dikatakan oleh Allah di dalam Al Quran,
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولً
Ertinya: “Dan janganlah kamu berpendirian dengan apa yang kamu tidak mempunyai ilmu tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, kesemuanya akan diminta pertanggungjawaban.” (surah Al-Israa’, 17: 36)
Jadi atas langkah itu kami menghubungi sendiri Dato’ Mukhriz untuk mendapatkan penjelasan dan Alhamdulillah beliau telah memberikan penjelasan tersebut.
Saya menasihatkan juga kepada teman-teman yang lain agar langsung menghubungi Tun Dr. Mahathir sendiri dan saya kira beliau sangat aktif membalas email-email dan surat-surat yang diutuskan kepada beliau.
Kedua, jika kita melihat peribahasa tersebut dari perspektif Islam itu sendiri, saya suka membawa satu kenyataan tokoh ulama hadis, kata beliau,
لأن أزني أحب إليَّ من أن أدلس
Maksudnya: “Berzina itu lebih aku sukai daripada aku melakukan tadlis.”
Tadlis adalah satu kaedah periwayatan hadis iaitu dengan cara menimbulkan keraguan pada perawi-perawi hadis. Jadi dia mengatakan lebih baik aku berzina daripada aku meriwayatkan hadis dengan cara sedemikian rupa.
Adakah kenyataan tersebut bermaksud beliau mempromosikan zina? Maka adakah kenyataan Tun Mahathir lebih baik berkawan dengan syaitan itu bererti mempromosi untuk berkawan dengan syaitan?
Tidak, ini hanyalah satu pemisalan, peribahasa, contoh. Mengapa beliau berkata sedemikian rupa? Kerana beza antara syaitan yang kita kenali bererti kita mengetahui latar belakangnya, gerak gerinya, tindak tanduknya (mengetahui kejahatannya), maka dengan itu kita boleh memanipulasinya dan lebih berhati-hati dengannya.
Seperti Nabi SAW dengan orang Yahudi, Nabi SAW mengetahui latar belakang mereka iaitu pembohong dan pendusta, tetapi Nabi SAW bersama-sama mereka ketika di Madinah Al Munawwarah dalam Piagam Madinah.
Berbeza dengan golongan Munafiqun, mereka dilihat baik, di hadapan kita mereka baik, penampilan mereka baik, mereka menampilkan keislaman mereka, tetapi hakikatnya mereka buruk. Akidah mereka rosak. Mereka membenci Islam dari dalam, kerana itu Allah meletakkan mereka di neraka yang terdalam sekali,
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada neraka yang terbawah. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (surah An Nisa’, 4: 145)
Jadi itu adalah permisalan yang biasa.
Poin ketiga, berkenaan dengan terjemahan syaitan. Syaitan di dalam Al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa ia datang daripada dua kelompok; sama ada jin dan manusia.
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Ertinya: “Daripada jin dan manusia.”
Jadi saya kira istilah syaitan yang digunakan oleh Tun M itu boleh diterjemahkan sebagai manusia. Manusia jahat yang kita kenal dan kita tahu dia jahat, kita tahu apa tindakan yang sewajarnya kita ambil. Berbeza dengan manusia yang tampil dengan perwatakan baik tetapi di dalamnya jahat adalah lebih bahaya kepada kita.
Poin keempat, boleh jadi ini juga adalah satu kiasan kepada isu janji. Kadangkala sebahagian manusia ini dilihat baik kerana mereka memberikan janji-janji yang baik, sepertimana syaitan menipu Adam ‘alaihissalam dengan menawarkan janji kepada Adam ‘alaihissalam.
وقاسمهما إني لكما لمن الناصحين فَدَلاَّهُمَا بِغُرُورٍ
Maksudnya: “Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya; ‘Sesungguhnya aku hanyalah memberi nasihat kepada kamu berdua.’ Maka syaitan memujuk keduanya dengan jalan yang salah (tipu daya).” (surah Al-A’raf, 7: 21-22)
Saya kira hal ini cukup jelas, yang digambarkan sebagai ‘malaikat’ itu menawarkan pelbagai janji-janji tetapi janji-janji tersebut tidak ditunaikan. Jadi lebih baik bekerja dengan pihak yang dilihat seolah-olah ‘syaitan’, dalam ertikata (pihak tersebut) berhati-hati menabur janji agar janji-janji tersebut ditepati.
Saya tekankan sekali lagi, bukan bermaksud kenyataan tersebut bererti menyuruh kita menyokong atau bersama-sama dengan syaitan sebenar. Tidak sama sekali. Seperti mana TG Nik Abdul Aziz juga pernah menyebut suatu ketika dahulu: “Kalau syaitan hendak bantu pun kita terima”, bukan bererti kita boleh mencari syaitan, berguru dengannya atau meminta tolong daripadanya.
Itu hanyalah sebagai satu kiasan. Kita ada lebih ramai orang Islam yang perlu kita dekati dan bersama-sama dengan mereka, maka itu yang seharusnya kita dahulukan.
Oleh itu sibukkanlah diri kita mempraktikkan puluhan malah ratusan dalil daripada Al Quran dan As Sunnah yang menyeru kepada perpaduan umat Islam daripada sibuk mencari beberapa dalil dan hujjah untuk menyatupadukan umat Islam dengan golongan yang benci dan anti kepada Islam.
Sama-samalah kita bermuhasabah. Wallaahu A’lam, wass

No comments:

Post a Comment