Thursday, June 28, 2018

TIDAK ADA SEBAB GRAB DIMANSUHKAN



Kerajaan tidak hentikan perkhidmatan e-hailing

Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menghentikan perkhidmatan e-hailing sebaliknya akan mewujudkan peraturan baharu bagi perkhidmatan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan tersebut telah dipinda oleh kerajaan sebelum ini dan kini kementerian akan melihat se­mula perkara itu untuk dilaksa­nakan dengan adil seiring dengan perkhidmatan teksi di negara ini.


Menurutnya, e-hailing tidak dapat diharamkan perkhidmatannya kerana ia telah menjadi trend perkhidmatan di negara-negara antarabangsa.

“Jadi dengan pengumuman ini diharap pemandu teksi dapat bersabar kerana awal Julai ini kementerian akan mengumumkan peraturan-peraturan untuk pemandu e-hailing dan juga pemandu teksi.

“Sekarang kita memerlukan sedikit masa untuk meneliti beberapa perkara bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan diharap pengumuman itu akan memuaskan hati semua pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Shaharuddin Khalid.

Dalam perkembangan lain, menurut Anthony, sistem bidaan tender atas talian (e-bidding) untuk nombor pendaftaran kenderaan Malaysia akan ditangguhkan ke 1 Ogos hingga 16 Ogos daripada peranca­ngan asal 2 Julai hingga 16 Julai.

Beliau berkata, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguji sistem tersebut selain memastikan tiada isu teknikal apabila ia dilaksanakan.

Menurutnya, sistem yang julung kali diperkenalkan itu dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan yang menawarkan secara percuma kepada kerajaan dan ia dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Menerusi pengenalan sistem e-bidding itu, ia secara langsung akan menggalakkan mereka yang berkemampuan untuk menyumbang kepada hasil negara dan jika memperlihatkan impak memberangsangkan kita akan teruskan pada masa depan.

“Lebih penting ia lebih praktik untuk orang ramai membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anthony memberitahu beliau telah mengarahkan JPJ mengkaji ke­perluan sijil nyah pendaftaran untuk kenderaan-kenderaan lama atau yang tidak terpakai khusus­nya di kawasan perumahan.

Beliau berkata, pada masa ini tiada lagi undang-undang atau peraturan berkaitan kenderaan terbiar walaupun ia banyak mendatangkan keburukan kepada penduduk, justeru satu kajian perlu dilakukan.

“Peraturan ini akan terletak dibawah pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama di kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.



No comments:

Post a Comment