Sesiapa sahaja digesa jangan bersikap terdesak dengan mengundang kuasa-kuasa asing untuk membantu menyelesaikan isu dalaman negara, lebih-lebih lagi pihak asing yang diundang itu amat dikenali atau sinonim dengan panggilan ‘polis dunia’.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, perkara itu telah diingatkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi surat terbuka kepada parti-parti politik Malaysia pada akhir Ramadan lalu yang menolak campur tangan asing dalam urusan negara, kerana terdapat bukti jatuhnya peradaban Islam akibat campur tangan tersebut.
Katanya, berdasarkan peringatan tegas oleh Abdul Hadi itu, rakyat janganlah sewenang-wenangnya mengundang atau membuka jalan kepada pihak asing khasnya Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dalam hal ehwal negara.
“Soal mereka nak siasat apa yang berlaku berkaitan dengan hal ehwal negara mereka, biarkan mereka. Tidak perlu pihak negara kita sendiri yang terhegeh-hegeh membuka jalan masuk kepada AS kerana negara itu juga bukan pihak yang boleh dipercayai dengan lagak mereka sebagai polis dunia,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web parti itu hari ini.
Beberapa mufti negeri juga bersependapat dengan Abdul Hadi Awang untuk menolak campur tangan pihak asing bagi menyelesaikan isu-isu dalaman negara dan menyatakan perkara itu ditegah dalam Islam.
Dalam surat terbukanya, Presiden Pas itu menyelar kesanggupan beberapa pihak mendapatkan bantuan asing demi memenuhi agenda masing-masing.
Beliau juga mengingatkan umat Islam perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini untuk memahami sikap pihak asing yang suka campur tangan dalam urusan negara lain dan paling dominan menyebarkan Islamofobia.
No comments:
Post a Comment