Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berikrar akan terus memberi cadangan untuk membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup walaupun berdepan kritikan dalam media sosial.
Katanya, sebagai pemimpin, beliau harus mengemukakan pandangan dan cadangan tentang menambah pendapatan untuk difikir dan diambil tindakan oleh rakyat.
"Saya akan terus menghadapi cabaran media sosial pada 2016. Saya sebagai pemimpin, kalau tidak beri cadangan, lebih baik jadi pengikut... pemimpin hendaklah beri cadangan," katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad berkata, beliau tidak terkesan dengan kritikan itu dan menerimanya dengan positif.
"Saya sudah menjadi sasaran media sosial sejak (isu) GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan)," katanya.
Menurutnya beliau akan memberi tumpuan kepada menambah pendapatan rakyat melalui program-program di bawah agensi MITI seperti 'Satu Daerah Satu Industri' dan 'Satu Keluarga Satu Usahawan'.
No comments:
Post a Comment