Wednesday, February 4, 2015

CARI PUNCA SEBENAR - TUN M

TUN M: Mengaitkan isu itu dengan perkauman bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.



KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga barang ekoran penurunan harga minyak pada 1 Februari lalu tidak ada kaitan dengan soal bangsa.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mengaitkan isu itu dengan perkauman bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut, sebaliknya perlu dijalankan kajian bagi mencari punca sebenar ia berlaku.

“Ini bukan soal Melayu, Cina atau India, tapi soal barangan. Kalau harga barang yang naik itu dijual oleh orang Cina, begitu juga dengan peniaga bangsa lain. Kalau harga barangan tidak naik pun, ia tidak diturunkan.

“Ini soal harga minyak turun, tapi kenapa harga barangan tidak turun. Ia tiada kaitan dengan soal bangsa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan peletakan plak Warisan Kebangsaan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina untuk menurunkan harga barang.

Ismail melalui laman Facebook baru-baru ini menasihatkan pengguna Melayu memboikot perniagaan kaum Cina supaya memberi tekanan agar harga barang di pasaran jatuh.

Kata Tun Mahathir, peniaga di Malaysia ini kebanyakannya dari kalangan bangsa Cina dan realiti itu diakui semua sejak sekian lama.

Pada majlis tersebut, Tun Mahathir merasmikan plak status Warisan Nasional dan menanam sepohon anak pokok Rhu Bukit sebagai tanda kenangan.

Lawatan Tun Mahathir ini merupakan yang kedua setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-empat pada 11 Jun 1984.

Hasil lawatan tersebut, beliau telah menyokong penubuhan FRIM sebagai sebuah badan berkanun selain dibangunkan sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Sejak itu, FRIM terus membangun dan melakar sejarah dengan menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara hasil aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan termasuk pencapaian status Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan Warisan Kebangsaan pada 2012.





No comments:

Post a Comment