SHAH ALAM - Amerika Syarikat (AS) diminta tidak campur tangan dalam urusan negara ini termasuk cuba mempertikaikan institusi kehakiman negara selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dan dihukum lima tahun penjara atas tuduhan meliwat, kelmarin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sistem kehakiman di negara ini diperakui dan mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

Menurutnya, Malaysia mempunyai sistem tiga cabang iaitu badan kehakiman, badan legislatif dan badan eksekutif yang merupakan badan yang berbeza dan bebas.

“Sistem ini sudah diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan lebih daripada 50 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, kes Anwar melibatkan dua individu dan tiada kaitan dengan kerajaan.

Malah, menurutnya, mahkamah telah memberikan pendengaran seadil-adilnya terhadap kes tersebut.

“Mahkamah sendiri mendengar pendengaran kes tersebut tanpa campur tangan politik selama lebih enam tahun.

“Setiap permintaan daripada peguam bela dilayani oleh pihak mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun juga menyelar tindakan kerajaan AS yang ibarat ‘menjaga tepi kain’ negara lain.

Menurutnya, sepatutnya, sistem kehakiman negara itu yang perlu dipertikaikan.

“Lihat sahaja sistem yang mereka guna ke atas banduan di penjara di Teluk Guantanamo (di mana suspek pengganas ditahan tanpa dibicarakan sejak 2002),” katanya.

AS kelmarin berkata negara itu ‘amat kecewa dan bimbang’ dengan penolakan rayuan terakhir Anwar serta sabitan bersalah yang dikenakan ke atasnya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Kedutaan AS di Kuala Lumpur kelmarin, Washington berkata negara itu telah mengikuti perbicaraan Anwar secara dekat dan keputusan untuk mendakwa Anwar serta perbicaraannya telah membangkitkan kebimbangan serius mengenai peraturan undang-undang dan kebebasan mahkamah di Malaysia.

“AS dan Malaysia mempunyai hubungan kukuh, dan dalam konteks hubungan ini, kami selalu menyuarakan kebimbangan serius kami berhubung kes Anwar dengan pegawai Malaysia dan menekankan keadilan, ketelusan dan peraturan undang-undang adalah penting untuk menggalakkan keyakinan dalam sistem kehakiman dan demokrasi Malaysia,” menurut kenyataan itu.