Thursday, July 3, 2014

DILEMA HUKUM ISTERI SOLEHAH BERSUAMIKAN FIR’AUN


Saban hari inbox Warga Prihatin semakin dipenuhi dengan pelbagai keluh kesah Sang Isteri yang mengutarakan masalah suaminya. Biasa memang kami rajin memberikan highlight terhadap isu yang mengajak isteri membanyakkan sabar dan meningkatkan ketaatan kepada suami sehingga RPWP seringkali dinampakkan agak berat sebelah.
Memanglah dalam sejarah, isteri yang terbaik yang Allah pernah nukilkan ialah isteri Firaun sendiri iaitu Asiah Binti Mahazim. Sekalipun suaminya seorang yang togho (melampaui batas) beliau tetap bersabar dan menyembunyikan keimanannya kepada Allah.
"Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata:" Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. " (QS: At-Tahrim [66]: 11)
Perkahwinan Asiah yang amat jelita juga tidak atas kerelaan diri. Ia semata-mata kerana ingin menyelamatkan ibubapanya yang disiksa oleh Firaun agar Asiah menerimanya sebagai suami. Salah satu perjanjian Asiah ialah beliau sanggup menjadi isteri termasuk menemani Firaun ke majlis rasmi, namun beliau tidak mahu ditiduri Firaun.
Pelbagai kekejaman Firaun diperhatikan oleh Asiah di istana itu namun beliau tetap sabar. Akhirnya beliau dihadiahkan anak angkat lelaki bernama Musa a.s. lalu menjaganya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Kesabaran Asiah dan Musa a.s. itu jugalah yang berjaya mendidik anak angkatnya itu sehingga menjadi seorang rasul.
Sepertimana sejarah nabi nabi yang lain, rata-rata golongan anbiyak ini dibesarkan dalam persekitaran jahiliyah. Pengalaman hidup itu lalu dijadikan pelajaran untuk mereka membetulkan akhlak umat. Musa a.s. banyak mendapat jalan keluar hasil dari melihat kejahatan Firaun, Ibrahim a.s. pula banyak memerhatikan kebatilan amalan ayahnya. Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang memerhatikan kejahatan Abu Jahal dan Abu Lahab bapa saudara baginda.
KEGAGALAN LELAKI PUNCA RUKUN NIKAH TIDAK BERFUNGSI
Tegak runtuhnya sebuah rumahtangga itu bermula dari peranan LELAKI. Dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang selalu kami utarakan, peranan lelaki yang paling utama ialah qowwam terhadap nisa’ (ISTERI). Antara unsur qowwam yang penting ialah kemampuan suami untuk MENDIDIK serta MENASIHATI isteri, memberi nafkah, dan kemampuan MENGHUKUM ISTERI dengan wajar dan adil. Suami yang tidak mampu mendidik dan menasihati isteri biasanya memiliki isteri yang nusyuz dan tidak mampu pula menegur atau menghukum dengan adil. Maka jadilah ia suami yang dayus.
Hari ini semuanya sudah tunggang terbalik. Ramai isteri-isteri yang mengadu tentang kerja buat suami mereka yang melepaskan tanggungjawab sebagai seorang suami. Ramai yang mengadu sampai teresak-esak menangis. Dari tangisan itu dapat kami rasakan sejauh mana tekanan dan penderitaan yang dialami. Ada yang suaminya dari kalangan ustaz, atau tok lebai yang sentiasa solat berjemaah 5 waktu di masjid, namun sarana kehidupan serba kekurangan, keselamatan dan kesejahteraan anak isteri tidak diambil berat.
Bukan mereka perlukan kemewahan sangat. Tapi kalau sampai tombol pintu utama rumah sendiri pun sampai tidak boleh guna sampai rumah tidak berkunci, di manakah fungsi seorang suami? itu tidak termasuk anak-anak yang ramai dan besar-besar belaka. Bilik hanya dua. Lelaki perempuan tidur bersama dalam satu bilik. Amat menyedihkan apabila ada yang mengadu anak-anak mereka mengakui pernah melakukan sumbang mahram sesama mereka. Itulah keadaan hidup masyarakat kita hari ini.
Rukun nikah itu ada 5 dan setiap rukun itu perlu ditegakkan di sepanjang hayat perkahwinan. Pernikahan bukan hanya pada saat tok kadi bersalam dan mengakadkan kita sahaja tetapi ia harus berlaku di sepanjang hidup berumahtangga itu sendiri.
Rukun-rukun seperti Lelaki, Wanita, Wali, Saksi dan Lafaz Ijab & Kabul kini hanya menjadi hafalan untuk melayakkan lelaki itu menikahi gadis pilihannya. Tetapi selepas itu, terlalu banyak pengabaian RUKUN nikah itu sendiri. Jika rukun itu menjadi tiang rumah tangga, wajarlah rumah tangga runtuh kerana semua tiangnya tidak berdiri tegak.
Rukun PERTAMA iaitu fungsi LELAKI itu sendiri sebagai abal-hakam adalah yang awal awal dilupakan. Suami yang perlu qowwan memimpin isteri tidak berlaku. Bila lelaki gagal memimpin, maka fungsi isteri (WANITA) untuk taat kepada suaminya pula tidak berlaku. SAKSI dan WALI nikah juga tidak membantu dalam perjalanan rumahtangga itu. IJAB & KABUL juga terhenti di situ. Selepas nikah tiada lagi isteri salam, cium tangan dan meminta izin dari suami. Kehidupan harian berjalan tanpa amalan akad, doa, izin dan salam lagi.
Selama ini, semua kegagalan itu banyak dibaca sebagai kelemahan wanita. Kita lupa bahawa wanita itu memang fitrahnya bengkok dan memerlukan lelaki yang qowwam untuk meluruskannya. Fenomena semasa pula peranan LELAKI tidak berlaku. Ia seperti seorang lelaki yang kelihatan fiziknya seperti lelaki tetapi rohani / fungsinya tidak seperti seorang lelaki. Rukun nikah telah gagal diteruskan jika lelaki tidak berfungsi seperti sepatutnya sehingga ISTERI tidak mampu dibentuk olehnya. Lambat laun, bercerai juga akhirnya.
Apabila disebut tentang tanggungjawab isteri, pandai pula si suami menggunakan klausa peruntukan untuk memukul isteri yang nusyuz (QS:4/34) tetapi tidak pula dia qowwam untuk menjadi pengatur rumahtangga yang baik. Hidup suami hanya menghadap telefon bimbit berwhatsap dan berwechat dengan ‘kekasih gelap’ sepanjang hari. Ada pula yang leka di hadapan komputer dengan laman sosial mereka dan tidak kurang juga hantu-hantu game komputer yang lagho tidak kira siang atau malam.
Bila cerita tentang kahwin 4, laju sahaja LELAKI menyokong sunnah, namun apabila bercerita tentang tanggungjawab ramai pula yang buat-buat tak dengar. Terlalu banyak juga kes suami kawin 4 kerana nak mengumpul harta yang dijana oleh isteri. Dia jadi taukeh atau jantan sewaan sahaja. Bila cerita tentang adil contohnya, pandai pula kata, “Nabi lain lah...nabi memang adil...kita ni orang biasa sahaja”.
Sudahnya, tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak terabai. Suami asyik guna masa senggang untuk menghibur diri sendiri dan bukan ke arah pembangunan ekonomi dan sahsiah isi rumah. Sebab itu pendapatan tidak kecukupan lantas isteri-isteri yang NABI SUDAH ARAHKAN untuk berada di belakang hijab (di rumah) dipalau keluar untuk mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walhal itu semua ialah tanggungjawab sang suami.
Semasa menulis artikel ini, kami baru sahaja selesai membincangkan dalam syuro kami tentang kes-kes aduan rumahtangga terkini. Satu daripadanya ialah tentang pasangan yang bijak pandai lulusan universiti dan sedang dalam proses bercerai. Mengapa? Kerana macam biasa, suaminya tidak berfungsi sebagai suami.
Antara kes yang biasa ialah rungutan isteri yang kena buat kerja suami cari nafkah di luar. Hasilnya habis dibayar bil-bil, sewa rumah, susu anak, pengasuh dan macam-macam lagi. Wang suami habis buat bayar motorsikal superbike, kereta sporty, ikut konvoi sana sini, beli gadget komputer, aksesori kereta dan macam-macam lagi. Kasih sayang kepada isteri dan anak juga tidak dapat ditumpahkan kerana mata terlalu fokus kepada telefon bimbit dan komputer ribanya.
Fungsi WANITA itu juga salah satu klaus dalam rukun nikah. Hari ini banyak fungsi wanita telah hilang selepas akad nikah. Seterusnya ia mematikan pula fungsi AKAD, sehingga ikatan pernikahan (aqad) itu jadi longgar dan terputus. AKTUAL AKAD di mana amalan isteri agar meminta izin ke sana dan ke mari sudah tidak diperduli. Mereka bebas keluar rumah atas dasar kerja, berniaga atau urusan rumahtangga yang telah diabaikan suami. Bila pendapatan isteri lebih besar dari suami nanti, ada pula yang jadi queen control.
DILEMA KESAHIHAN NUSYUZ DAN ISTERI YANG MINTA CERAI
“Para isteri yang meminta cerai ialah wanita-wanita yang munafiq”. [HR: al-Tirmizi, Shahih Sunan no: 1186]
“Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah, maka haram baginya bau syurga.” [HR: Abu Daud, Shahih Sunan No: 2226]
Sesungguhnya ini persoalan yang paling berat sekali. Analisa kami menunjukkan bahawa majoriti yang berusaha mencari penyelesaian, samada yang datang sendiri, ajuan melalui inbox atau komen munakahat dan parenting ialah golongan isteri. Kadangkala sudah datang bersama suami berkali-kali pun, namun hanya isteri yang berbicara dan bertanya itu ini sedangkan suami tidur dalam kereta. Urusan anak sekolah, pendaftaran universiti, malah anak-anak yang ditahan di lokup polis juga isteri yang uruskan.
Dalam hal ini, ramai ustaz yang mengulangi nasihat untuk isteri terus bersabar dan mentaati kehendak suami sekalipun perangainya macam Fira’un. Soalan mereka dalam kes begini: wajarkah isteri memisah diri dari bilik tidur, atau menolak ajakan suami sedangkan Allah dan rasul telah tegas menyatakan bahawa itu menjadi punca murka suami dan Allah?
Wajarkah isteri menuntut cerai jika suami bukan sahaja sudah tidak menyediakan nafkah asas, malah berpoya-poya dengan perempuan lain, gila menambah isteri, bahkan menggunakan pendapatan isteri tua yang dipalau bekerja menyara keluarga. Tugas mendidik anak isteri dengan ilmu agama jauh sekali. Ini memang amat menepati dengan statistik yang merujuk kepada kami.
Pendirian kami dalam hal isteri menolak ajakan suami yang macam Fir'aun ini adalah 'harus' dari hukum syarak. Ini merujuk kepada sunnah Asiah isteri Firaun yang Allah nukilkan sebagai contoh terbaik seorang isteri beriman. Asiah telah membuat perjanjian untuk tidak mahu ditiduri Firaun kerana kekafirannya. Syarat itu kekal sehingga beliau mati akibat disiksa oleh Fir’aun. Salah satu ciri kekafiran Fir'aun ialah menindas dan berbuat sewenang-wenang.
Segala hadis dan firman yang menuntut isteri tidak sekali-kali menolak ajakan suami yang kami utarakan di rencana sebelum ini adalah khusus untuk suami yang beriman dan adil sahaja. Jadi bagi isteri yang tertindas dan tidak redha dengan suami Fir'aun begini, wajar sekali menolak ajakan suami kerana situasi tegang ini akan menggalakkan pelbagai kesan keganasan 'sewaktu bersama'.
Langkah seterusnya terpaksalah siisteri menuntut cerai. Ada banyak riwayat hadis yang mengatakan ‘jatuhnya talak dengan sendiri’ bagi seorang isteri yang beriman sedangkan suaminya masih ingin kekal kafir. Huraian kafir yang ingin diperluaskan ialah situasi bagaimana jika suami masih terus mengingkari hukum dan perintah syarak, sedangkan isteri sudah mendapat hidayah dan mahu memulakan hidup di jalan Allah.
Hujah seterusnya kami petik dari riwayat 2 orang puteri Rasulullah SAW yang berkahwin dengan sepupu mereka, anak kepada saudara ibunya Khadijah r.a., yang juga merupakan cucu Abu Lahab bapa saudara Rasulullah SAW. Kesemua tuntutan cerai itu mesti atas dasar akidah dan dengan cara berhemah semata-mata, tanpa disertai hasad dan dendam. Setelah suami kembali kepada jalan Allah, maka wajar rujuk semula jika mahu.
Ruqayyah binti Muhammad SAW telah menikah dengan Utbah bin Abu Lahab, kemudian dituntut oleh baginda lalu dinikahkan dengan Utsman bin Affan ra. Demikian juga tuntutan membebaskan puteri baginda yang bernama Zainab daripada suaminya Abul 'Ash. Setelah dia masuk Islam maka Rasulullah SAW. pun mengembalikan Zainab kepadanya.
Rasulullah juga pernah membenarkan tuntutan cerai isteri kepada Tsabit bin Qais yang walaupun tidak memberitahu kemungkaran dan penganiayaan suami beliau terhadap dirinya (kerana menjaga aib suami). Syaratnya (tanpa alasan ciri Fir'aun yang dikemukakan) hanya dengan mengembalikan mahar berupa kebun yang dihadiahkan sewaktu nikah. [ringkasan riwayat dari Shahih al-Bukhari, no: 5273]
Kesimpulannya, jika hukum Allah tidak dipatuhi, maka seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki alasan yang sah dari sudut syarak yang kuat lagi munasabah. Namun nasihat kami jadikanlah ini jalan keluar yang terakhir, bukan sewenang-wenang. Justifikasi nusyuz dan suami bertaraf fir'aun harus diperhalusi sepenuhnya dengan akal dan iman.
KESIMPULAN
Analisa kami menunjukkan punca utama keruntuhan rumahtangga ialah ‘suami yang hilang fungsi’ sebagai abal hakam (pembuat/bapa hukum) selaku pemimpin bagi sebuah unit keluarga. Akhirnya isteri yang tidak terdidik pula jadi hilang fungsi kewanitaannya. Ini kerana salah satu fungsi utama suami itu sendiri ialah MENDIDIK ISTERI untuk memainkan peranan sebagai WANITA / ISTERI dengan betul.
Fenomena lelaki dayus ataupun 'cucuk hidung' juga semakin meluas hari ini. Berdasarkan kajian kami sendiri, isteri yang menjadi queen control berasal dari sebuah rumahtangga yang suaminya tidak mampu untuk qowwam dan menjadi abal hakam yang baik. Lalu si isteri yang asalnya bergantung kepada suaminya terpaksa bekerja dan mencari nafkah, terpaksa memandu untuk mengurus anak dan survival rumahtangga.
Lambat laun pendapatan isteri lebih tinggi dari suaminya. Di situ mulanya bagi Sang Isteri yang LUPA akan tanggungjawabnya dan menggunakan kelebihan itu untuk menjadi queen control mendominasi suaminya. Suamipun tak dapat nak buat apa-apa sangat kerana bekerja pun susah naik pangkat ataupun naik gaji kerana sikap pemalas dan lalainya. Akhirnya suami pula nak kena jadi pak turut oleh isterinya sendiri. Di situ juga fungsi seorang lelaki tidak berlaku. Adakah pernikahan masih sempurna? Atau telah dikhianati?
Kami seru kepada semua para suami untuk qowwan dan menjadi suami sehebat Ibrahim AS yang mampu mendapat dan mendidik isteri yang setaat Siti Hajar lalu menghasilkan anak sehebat Nabi Ismail. Rujukan berikut mungkin membantu:
Janganlah para suami ambil kesempatan dengan perintah Allah dan Rasul agar isteri sentiasa taat dan patuh kepadanya lalu berbuat sewenang-wenang. Hujjah di atas jelas menunjukkan bahawa jika suami gagal memainkan peranan, bermakna kita telah mengingkari (kufur) perintah Allah. Kerana itu, ketatapan isteri patuh kepada suaminya juga terbatal kerana Islam itu sangat adil.
Kudap munakahat
WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment