Tindakan UMNO menarik balik saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bukan sahaja meremukkan hati seluruh ahli UMNO dan orang Melayu tetapi penjelasan diberikan barisan peguam juga sangat tidak meyakinkan.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, beliau bimbang tindakan itu akan mendedahkan UMNO kepada fitnah yang lebih teruk pada masa hadapan kerana pembangkang menyedari, mereka hanya perlu membuat permohonan maaf untuk mengelak disaman.
Katanya, penjelasan Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun sukar diterima kerana jika benar mahu membuktikan keterbukaan parti, sepatutnya UMNO jangan bertindak mengambil tindakan undang-undang dari awal lagi ke atas Tian Chua dan Mustafa serta membiarkan sahaja apa juga fitnah selepas ini.
"Saya percaya inilah antara detik paling menghancurkan hati seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Tragedi pencerobohan Lahad Datu memakan korban 10 anggota keselamatan negara dan UMNO difitnah sebegitu rupa oleh Tian Chua tetapi parti ini boleh bertindak menarik balik saman dan berkata, ini lambang keterbukaan?
"Apakah harga darah dan nyawa anggota keselamatan boleh dibayar dengan hanya satu permohonan maaf? Apakah selepas ini pelbagai pihak boleh memfitnah UMNO semahunya dan kemudian cukup dengan membuat permohonan maaf? Apakah itu erti keterbukaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, kes saman fitnah yang difailkan UMNO terhadap Tian Chua dan dua individu lain berhubung penyiaran artikel pencerobohan di Lahad Datu, Sabah kononnya sandiwara UMNO diselesaikan di luar mahkamah selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman berdasarkan terma yang dipersetujui.
Dalam kes berlainan, saman fitnah UMNO terhadap Mustafa, peguamnya dan laman web lidah rasmi Pas, HarakahDaily, juga diselesaikan dengan cara yang serupa selepas Setiausaha Agung Pas itu bersetuju menarik balik kenyataan fitnah mengaitkan UMNO dengan penyebaran video lucah dikatakan mirip beliau.
Mohd. Hafarizam dalam penjelasannya selepas banyak pihak menyuarakan kekesalan memberitahu, penarikan balik kedua-dua saman itu bukan bermaksud UMNO tidak serius terhadap pandangan rakyat selain turut menolak dakwaan kononnya parti itu tidak bertegas dalam isu fitnah yang dibuat oleh pihak lawan.
Sementara itu Muhammad Zahid meminta pucuk pimpinan UMNO mengambil iktibar dan melihat dengan mendalam kelemahan tertentu yang wujud di ibu pejabat parti, sehingga memungkinkan keputusan penarikan balik saman dipersetujui meskipun sedar tindakan tersebut memberi mesej yang salah kepada rakyat.
"Mungkin ada baiknya jika pembaharuan dapat dilakukan di ibu pejabat parti termasuk melihat semula barisan peguam sedia ada kerana sudah tentu ahli UMNO tidak mahu hati mereka remuk sekali lagi kerana saya percaya selepas ini akan lebih banyak fitnah dilemparkan dan tidak mustahil keputusan serupa dibuat parti," katanya.
SUMBER
No comments:
Post a Comment