Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Sunday, April 7, 2013

MUHYIDDIN PUJI NIK AZIZ MELANGIT




Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersikap seperti 'Tuhan' ekoran dakwaan Mursyidul Am Pas itu bahawa solat orang UMNO tidak mendapat pahala kerana kononnya parti itu menolak Islam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, fatwa songsang Nik Abdul Aziz yang menggelarkan dirinya sebagai tokoh agama di dalam Pas itu amat mengecewakan umat Islam di negara ini.
Menurut beliau, kenyataan tersebut telah disanggah oleh ramai tokoh agama termasuk mufti-mufti, malah ramai umat Islam tahu hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan amalan seseorang itu diberi balasan pahala atau dosa.
''Kalau solat yang dianggap sebagai tuntutan agama dikerjakan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik dikatakan oleh Pas tak dapat pahala, ini semacam mengatasi Tuhan.
''Yang nak beri pahala dan dosa itu bukan dia tetapi dia dah hukum macam tu,'' katanya dalam sidang akhbar selepas program turun padang di sekitar Kondo Rakyat Desa Pantai, Lembah Pantai di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar merangkap Pengerusi BN Parlimen Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Muhyiddin dan Noorainee yang tiba pada pukul 9 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan penduduk dan peniaga di sekitar kawasan Kondo Rakyat Desa Pantai sebelum bersarapan pagi bersama orang ramai
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan membuat kenyataan itu ketika menyampaikan ceramah di Kampung Jambu, Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mac lalu.
Tambah Muhyiddin, kenyataan terbaharu oleh Nik Abdul Aziz itu membuktikan Pas layak digelar sebagai 'parti ajaran sesat' dan bukannya Parti Islam Se-Malaysia.
Beliau memberitahu, ramai orang akan sesat sekiranya mengikut Pas yang mempergunakan agama untuk tujuan politik, justeru hakikat itu menjadi peringatan kepada rakyat agar tidak mempercayai parti berkenaan.
''UMNO merupakan sebuah parti yang telah lama berjuang untuk Islam. Kita berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, membela umat Islam, membangunkan bidang iktisad dan menyebarkan syiar Islam,'' ujarnya.
Muhyiddin juga meminta Nik Abdul Aziz agar tidak menyalahkan media kononnya tersalah lapor tentang kenyataan tersebut seperti yang pernah dilakukannya dalam banyak isu, melibatkan beliau sebelum ini.
Berhubung hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu malu setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggelarkannya sebagai penakut jika tidak berbuat demikian.
''Dia kata tak takut tetapi saya fikir hati dia gementar sebab dia dengar kita akan meletakkan calon yang hebat, jadi dia berkira-kira, kalau duduk lama tak boleh bertahan.
''Tetapi bila Perdana Menteri cabar, dia malu. Jadi, dia berkira-kira hendak balik semula ke Permatang Pauh,'' jelasnya.
Bagaimanapun, Muhyiddin memberitahu, pengundi di Permatang Pauh boleh menilai dengan bijak siapa sebenarnya Anwar dan pencapaiannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka.
Anwar sebelum ini dikhabarkan mungkin bertanding di Perak atau Selangor, namun beliau akhirnya memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Friday, April 5, 2013

PAHALA SOLAT HAK MUTLAK ALLAH SWT


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak berhak menghakimi amalan solat umat Islam negara ini kerana ketentuan pahala amalan itu kekal menjadi hak mutlak Yang Maha Esa, Allah SWT.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, hal ini kerana kesempurnaan pahala solat merupakan kuasa dan rahsia Allah, justeru manusia yang tidak sempurna sifatnya tidak boleh sesekali mencuba untuk menilai amalan itu.


"Haram hukumnya jika seseorang menuduh sebuah pemerintahan Islam yang selama ini telah memartabatkan kedudukan agama di tempat yang tertinggi sebagai mungkar dan menolak dasar Islam.

"Hati Nik Abdul Aziz terlampau hitam dengan dendam terhadap UMNO. Sekejap parti itu murtad, sekejap mungkar dan terbaru orang UMNO tidak dapat pahala sembahyang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Nik Abdul Aziz sekali lagi mencetuskan kontroversi melalui fatwa beliau terhadap keislaman orang UMNO apabila mendakwa sembahyang ahli parti itu tidak memberikan sebarang pahala kerana UMNO telah menolak dasar Islam.

Nik Abdul Aziz turut mendakwa UMNO telah menolak Allah SWT kerana mengamalkan dasar kebangsaan dengan menolak dasar Islam dalam pemerintahan.
Pada 17 November tahun lalu dalam sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, Nik Abdul Aziz mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekeh Islam dalam dasar parti itu.

Nik Abdul Aziz dalam nada tegas kemudian turut melontarkan persoalan sama ada UMNO kini menganut agama Kristian, Buddha ataupun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.
Pas sebelum itu, menerusi adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi Nik Mat turut berdoa kepada Allah SWT supaya menjahanamkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semasa mengadakan solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas itu.

Sehubungan itu, Harussani meminta rakyat tidak terpengaruh dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz yang jelas mengelirukan dan menyimpang daripada ajaran Islam.
Sambil menyelar tindakan itu, beliau berkata, hanya Nik Abdul Aziz yang masih tidak nampak dasar Islam yang dibawa UMNO dalam mentadbir negara ini.

"Berkemungkinan kerana UMNO tidak amalkan hukum hudud seperti yang diperjuangkan Pas itu, maka dengan mudah dia menuduh parti itu menolak dasar Islam sedangkan Malaysia begitu disanjungi negara luar sebagai peneraju kewangan dan perbankan Islam serta lain-lain lagi," katanya.


Thursday, April 4, 2013

SOLAT ORANG UMNO TIDAK SAH

KOTA BHARU 4 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus-menerus mencetuskan kontroversi melalui fatwa-fatwa beliau terhadap keislaman orang UMNO termasuk sebelum ini mendakwa UMNO murtad kerana menolak Islam.

Malam tadi, Nik Aziz mendakwa sembahyang orang UMNO tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.

Dalam masa sama, Nik Aziz turut mendakwa UMNO telah menolak Allah SWT kerana selama ini mengamalkan dasar kebangsaan dengan menolak dasar Islam dalam pemerintahan.

"UMNO tolak Islam, tolak Islam maknanya tolak Allah dan kalau sembahyang tokleh (tidak boleh) pahala, boleh pahala gapo (apa) kalau tolak Islam.

"Kalau orang Pas tolak Islam pun tokleh pahala, orang Pas kalau riak tokleh pahala dan kalau kedekut pun tidak boleh pahala.

"Kalau nak boleh pahala ikhlas ini bukan senang, hendak boleh pahala ikhlas lagu mano (bagaimana) kalau tolak Islam, Allah yang bawak turun Islam kepada Nabi Muhammad SWT tiba-tiba UMNO tolak ambil kebangsaan, nak boleh gena (macam mana) pahala kat orang tolak Islam," katanya ketika berceramah di Kampung Jambu di sini malam tadi.

Kira-kira 500 orang yang rata-ratanya terdiri daripada penyokong tegar Pas menghadiri ceramah berkenaan.

Pada 17 November tahun lalu pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu Nik Aziz mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu.

Nik Aziz dalam nada tegas kemudian turut melontarkan persoalan sama ada parti itu kini menganut agama Kristian, Buddha atau pun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.

Pas sebelum itu menerusi adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi Nik Mat turut mendoakan supaya Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN dalam majlis solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz semasa ceramahnya itu kemudian menyeru agar rakyat di Kelantan supaya memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

"Hambo (saya) pesan pada suma rakyat baik Pas lebih-lebih lagi UMNO, tolong undi Pas... demo (kamu) hendak UMNO, UMNO lah, tapi beri kertas undi, undi Pas.

"UMNO bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai,bagi lembu sembelih tetapi apabila bagi kertas undi, pangkah Pas, kita nak ajar dia (UMNO)," katanya.