Showing posts with label Hati Malaya. Show all posts
Showing posts with label Hati Malaya. Show all posts

Sunday, December 28, 2014

MALAYAN UNION 5- Sultan Johor tandatangan


British amat menyedari peningkatan politik orang Melayu dan penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Namun British dengan angkuhnya tidak berhasrat berganjak kerana mereka percaya jika semua sultan bersetuju, rancangan mereka menyatukan semua negeri Melayu dan memerintahnya terus di bawah Malayan Union akan berjaya.
MacMichael tiba di Tanah Melayu pada Oktober 1945. Beliau pergi berjumpa Sultan Johor dahulu atas nasihat Willan.
Di istana Pasir Pelangi, MacMichael menerangkan yang Kerajaan British hanya mengambil berat kebajikan Tanah Melayu dan tugasnya sendiri terhad kepada mendapatkan kerjasama raja-raja.
Perjanjian yang bakal ditandatangani oleh sultan akan memberikan British kuasa penuh dalam melaksanakan dasar-dasarnya secara berkesan dan teratur.
Sultan mendesak untuk seorang pegawai British mengetuai setiap jabatan bagi menjamin supaya diurus dengan betul. Baginda berkata bahawa baginda sudah hilang kepercayaan kepada orang Melayu - kenyataan ini dirakam dengan teliti di dalam fail yang tersimpan di arkib British.
Sultan juga menyuarakan kebimbangannya megenai hal-hal seperti setem pos dan lencana polis selepas Malayan Union ditubuhkan. Ini mungkin kerana baginda bimbang kalau-kalau lambang negeri Johor tidak diguna pakai lagi dalam setem dan lencana berkenaan. Baginda mahu sedikit waktu bagi mengkaji semua dokumen dan menyediakan memorandum.
Oleh itu,mereka bersetuju untuk bertemu lagi dua hari kemudian iaitu pada 20 September, Penolong Setiausaha Pejabat Jajahan British, H.T Bourdillon mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk ditandatangani.
MacMichael dan sultan pun menurunkan tandatangan masing-masing tanpa acara rasmi dan perbincangan.
MacMichael yang pernah bertugas di Palestin, menyambut kejayaan itu dengan mengucapkan Alhamdulillah dalam bahasa Arab. Begitu juga Sultan Johor, yang kemudian menyerahkan memorandum baginda (mengandungi pandangannya mengenai hubungan Johor-British).
Baginda berkata, MacMichael boleh menilai kandungannya dan jika didapati tidak sesuai boleh mencampakkannya ke dalam bakul sampah.
MacMichael menyatakan harapan untuk berjumpa dengan baginda di England. Beliau juga memberitahu bahawa Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam, Jeneral R.Hone sudah mengutus telegraf membuat permohonan segera untuk perjalanan baginda ke England.
MacMichael tersenyum puas dan gembira dengan kejayaannya, MacMichael tahu selepas ini beliau tidak akan menghadapi banyak masalah dengan raja-raja yang lain. Seperti jangkaan, mereka menandatangani perjanjian tanpa bantahan, KECUALI SULTAN KEDAH, TUNKU BADLISHAH.
Bersambung...............

Friday, December 26, 2014

MALAYAN UNION 4 - British menekan Raja-raja Melayu


Willan menulis mengenai semua temu ramahnya dan membuat cadangan bagaimana British perlu bertindak ke atas raja-raja yang degil.
Beliau mencadangkan sultan mana yang perlu dahulukan dalam mendapat tandatangan. Pertama dalam senarai ialah Sultan Johor, diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Keempat-empat sultan ini menandatanganinya, Willan yakin Sultan Perak tidak akan menolak.
Selepas memperoleh tandatangan Sultan Johor dan Raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu, barulah MacMichael ke Kedah dan negeri-negeri lain di utara Semenanjung. Kedah dijangka memberi sedikit tentangan kerana baginda terikat untuk berunding dengan majlis negeri. Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Sheriff Awang Osman yang rapat dengan baginda dan dianggap boleh menjadi batu penghalang, mesti dipujuk terlebih dahulu.
British percaya inilah sebaik-baik cara untuk mendapat persetujuan baginda. Tidak ada masalah dijangka berlaku di Perlis, Terengganu dan Kelantan kerana semua sultan menaiki tahta pada zaman pemerintahan Jepun dan terpaksa bergantung kepada pengiktirafan British untuk megekalkan kedudukan mereka.
Berikutan laporan Willan, MacMachael dihantar ke Tanah Melayu pada bulan berikutnya. Menjelang waktu itu, rakyat Tanah Melayu mendengar rancangan Malayan Union dan mereka marah walaupun tidak tahu kandungan cadangan itu.
Disebabkan kekurangan maklumat yang sahih, mereka mengagak British mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan dan memberikan kerakyatan kepada semua penduduk.
Orang Melayu sedar kedudukan mereka yang miskin, kurang pendidikan dan tidak banyak terbabit dalam kegiatan ekonomi negara yang meguntungkan. Mereka bimbang akan menjadi strata terkebawah dan serba kekurangan dalam mayarakat Tanah Melayu.
Apabila laporan dan berita keazaman British melaksanakan Malayan Union semakin merebak, keyakinan rakyat terhadap raja-raja mereka mula terhakis. Mereka tidak mahu dipisahkan datipada politik.
Walaupun sikap mereka boleh dianggap derhaka, mereka berpendapat raja-raja mereka tidak berdaya menangkis tekanan British.
Idea awal perpaduan Melayu mula tersebar ke semua negeri di Tanah Melayu, tetapi mereka tidak yakin dapat menghalang rancangan British.
Seruan agar Melayu berfikir sebagai rakyat Tanah Melayu dan bukan rakyat jelata raja pelbagai negeri menjadi semakin lantang dan keras.
Akhbar tempatan mula mempopularkan idea perpduan Melayu dan mengesyorkan penubuhan sebuah badan tunggal bagi newakili semua orang Melayu.
Mereka juga cemburu dengan Indonesia kerana mempunyai seorang pemimpin karismatik, iaitu Sukarno sehingga ada yang memikir akan gabungan kedua-dua negara. Namun mejoriti orang Melayu percaya jika mereka berjaya menubuhkan sebuah badan tunggal untuk orang Melayu, seorang pemimpin akan muncul.
Bersambung......

Thursday, December 25, 2014

MALAYAN UNION 3 - Memujuk Sultan Johor


Mula-mula Willan mengadap Sultan Johor, dengan keyakinan jika beliau berjaya memujuk baginda menandatanganinya, raja-raja lain akan mengikut langkahnya.
Pada 8 september 1945, beliau bertolak ke Johor Bahru untuk mengadap sultan di Istana Pasir Pelangi. Willan mengulas bahawa sultan "nampaknya amat gembira berjumpa kami dan sepanjang temu ramah itu, sekalipun tidak membayangkan yang pihak British telah menghampakan baginda walaupun tewas di negeri Johor".
Beliau nampak perubahan sikap sultan dan pendirian baginda yang memihak kepada British. Dalam pertemuan itu, baginda berkata elaun 20,000 dolar yang dibayar Jepun kepadanya sama dengan jumlah yang dibayar oleh kerajaan British. Bagi Willan, kenyataan ini penting. Sebelum pendudukan Jepun, elauan bulanan baginda datang dari dana negeri Johor.
Willan menjelaskan pentingnya wujud sebuah pentadbiran tentera. Beliau juga menerangkan mengapa baginda serta majlis negeri belum berfungsi.
Sultan Johor bersetuju sepenuhnya dan berkata, hasrat baginda cuma ingin menyaksikan perbarisan di Singapura bagi menandakan penyerahan kalah Jepun. Selepas itu baginda mahu terus ke England secepat mungkin.
Kemudian Willan pergi ke Selangor yang sudah bertukar sultan ketika pendudukan Jepun. Sebelum perang lagi, British menganggap sultan baru itu tidak sesuai mewarisi tahta. British secara terbuka memaklumkan yang mereka tidak akan megiktirafnya.
Disebabkan itu, Willan memilih untuk bercakap hanya dengan calon yang diiktiraf British. Bagaimanapun tidak ada perbincangan untuk menabalkan calon berkenaan sebagai sultan.
Sebaliknya British mengumpan calon itu dengan berkata bahawa mereka akan mengiktirafnya jika beliau menandatangani perjanjian. Tidak hairanlah beliau terus menerima Pentadbiran Tentera, mengantungkan majlis negeri dan menghadkan pergerakkannya.
Destinasi seterusnya dalam perjalanan Willan yang diatur begitu teliti adalah pertemuan dengan Sultan Kedah. Baginda juga ditabalkan sewaktu penjajahan Jepun.
Willan secara jelas merujuk Tunku Badlishah dengan panggilan Regent (wakil Raja) dan bukannya Sultan. Beliau mengulangi kenyataan yang sama kepada sultan Kedah.
Namun apabila beliau berkata bahawa wakil raja dan majlis mesyuarat kerajaan negeri tidak dibenarkan berfungsi, "Regent nampak sedikit tergejut".
Beliau memaklumkan kepada baginda bahawa Raja England tidak akan mengiktiraf baginda sebagai sultan kerana dasar sekarang tidak mengiktiraf sultan yang ditabalkan pada zaman pendudukan Jepun. Oleh itu baginda tidak boleh melaksanakan sebarang tugas seorang sultan yang sah.
Pertemuan dengan baginda bagaimanapun mengugat keyakinan Willan. Ini memberi petanda baginda mungkin menimbulkan masalah dalam runfmdingan dengan MacMichael.
Bersambung......

Tuesday, December 23, 2014

MALAYAN UNION 2 - ugutan lembut

.... MALAYAN UNION...
Sewaktu Jepun menyerah kalah, pasukan Tentera Bersekutu berada di lautan. Sedikit sebanyak menjejaskan rancangan Malayan Union.

Walaupun begitu British tidak gentar dengan perkembangan itu. Mereka menganggap raja-raja Melayu boleh dipujuk untuk menandatangani perjanjian baru yang akan memindahkan kuasa secara mutlak kepada British.

Pada peringkat awal, mereka tidak memberi sebarang pertimbangan terhadap kemungkinan reaksi rakyat jelata kerana British memang menjangkakan bahawa apa yang diperlukan hanyalah persetujuan raja-raja untuk membentuk Malayan Union.

Raja-raja Melayu tentu sudah tahu nasib yang menimpa Maharaja-maharaja India dan pemerintah beberapa negeri di Indonesia. Maharaja-maharaja India hilang kedudukan mereka apabila India merdeka, tetapi sultan di Indonesia dibunuh oleh rakyat sendiri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

British menganggap tidak mungkin orang Melayu yang lemah lembut akan memilih cara tindakkan rakyat India atau Indonesia.

Pada September 1945, sebelum ketibaan Sir Harold MacMichael yang bertanggungjawab untuk mendapatkan persetujuan Raja-raja Melayu, pentadbiran tentera British memutuskan untuk menguji cadangan Malayan Union.

Timbalan Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam, Brigedier H.C. Willan ditugaskan mengadap semua sultan yang diiktiraf British sebelum penaklukan Jepun. Beliau juga akan menemui raja-raja yang ditabalkan ketika pemerintahan Jepun.

British mengambil keputusan untuk mengunakan pengiktirafan setiap tahta sebagai "UGUTAN LEMBUT" ke atas sultan agar menyerahkan bidang kuasa negeri masing-masing.
Bersambung....