Selepas mengguris perasaan orang Melayu dengan ucapan yang mengandungi sentimen perkauman tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia, hari ini, Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran memohon maaf di atas ketelanjurannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.
Bagaimanapun, permohonan maaf Kula Segaran itu tidak mencukupi untuk meredakan perasaan marah dan tidak puas hati netizen. Bahkan netizen mendesak Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat itu melepaskan jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia di kementerian berkenaan.
Dalam satu kenyataan permohonan maafnya, Kula Segaran menjelaskan, permohonan itu (maaf) dibuat bagi mengelakkan ucapannya di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu lepas, daripada berlarutan dan menjadi semakin teruk selain daripada mengatakan, ucapannya itu adalah atau salah faham.
Antara catatan komen netizen berhubung kenyataan Kula, Melayu pendatang, beliau disifatkan sebagai seorang yang buta sejarah selain daripada diragui kredibilitinya sebagai seorang menteri.
Rata-rata, komen dan reaksi yang diterima daripada netizen terhadap Kula ialah peringatan agar beliau tidak menjadi seperti “Kaduk naik junjung”.
Memetik komen netizen di laman sosial Facebook, Diandra Den, “letak jawatan. Tidak layak menjadi menteri supaya dijadikan pengajaran kepada pemimpin lain. Entah selepas ini, siapa pula yang mainkan isu kaum, senang-senang, minta maaf.”
Seorang lagi pemegang akaun Facebook, Shah Shakespear meletakkan tanda pagar #letakjawatan.
Begitu juga pemegang akuan Facebook, Rahmat Md Nor dengan komen, NO maaf-maaf. Anda tidak layak jadi menteri. Sila letak jawatan.
Alinah Anilas, juga netizen yang memberi catatan komen, mahukan Kula letak jawatan sebagai menteri kerana permohonan maaf, lain kali, dikhuatiri berulang.
Minggu lepas, ucapan Kula Segaran di dalam bahasa Tamil pada satu program di Nilai, Negeri Sembilan menjadi tular di media sosial Youtube.
Kula Segaran dalam ucapannya itu mendakwa, Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu berdasarkan semua bukti yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah di mana banyak kuil ditemukan di sana.
“Kebanyakan orang telah lupa, orang Hindu mula jejak negara ini 2,500 tahun dulu. Apa buktinya? Sekiranya anda pergi ke Lembah Bujang, kesemua bukti terdapat di sana. Terdapat banyak kuil lama yang ditemui di sana.
“Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang. Kita dan Melayu adalah setaraf. Ini tanah air kita,” dakwa Kula Segaran menerusi satu rakaman video yang dimuat naik dalam Youtube. - UTUSAN ONLINE