Wednesday, February 28, 2018

TIDAK PEDULI KECAMAN, KRITIKAN TIDAK MEMBINA




Ketika sebilangan besar netizen mengecam tindakannya melancarkan koleksi hijab terbaharunya, Naelofar Hijab di sebuah kelab malam popular semalam, selebriti ternama, Neelofa lebih senang memilih untuk tidak menghiraukan pandangan-pandangan tersebut.

Sebaliknya, kata Neelofa, 29, dia sedia maklum tindakannya itu bakal mencetuskan kontroversi dan telah mengambil kira semua faktor serta risiko sebelum bersetuju untuk mengadakan pelancaran tersebut di pusat hiburan yang terletak di Jalan Tun Razak di sini.


Menurut Neelofa, tindakan melancarkan koleksi terbaharu Naelofar Hijab bukannya dibuat atas dasar hiburan, sebaliknya, dia dan pasukan pengurusannya mempunyai sebab berbuat demikian.

Selebriti yang mempunyai 5.5 juta pengikut di laman Instagram peribadinya itu berkata, keputusan memilih kelab malam popular di Jalan Tun Razak di sini dibuat selepas mengambil kira konsep dan kesesuaian kelab tersebut.

“Kita memastikan tidak ada satu pun imej minuman beralkohol dan semua tetamu yang hadir ke majlis itu tidak dibenarkan menghisap rokok. Kita sudah ambil kira semua aspek ini sebelum bersetuju.

“Orang yang ada di tempat kejadian tahu apa yang berlaku dan majlis tersebut bukan bertujuan berhibur. Kita ada objektif untuk melancarkan keluaran tudung baharu Naelofar Hijab.

“Sebelum ini banyak event dilakukan di lokasi sama dan ada juga mereka yang bertudung ha­dir ke majlis tersebut. Kenapa bila saya buat, orang mengecam dan mengkritik?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kontroversi terbaharu pelakon, pengacara dan usahawan muda itu mendapat perhatian meluas netizen hari ini gara-gara ‘keberanian’ Neelofa melancarkan koleksi hijabnya di kelab malam iaitu satu tindakan yang dianggap tidak selari dengan imej dan reputasinya.

Majlis sambutan kelahiran serta pelancaran hijab yang turut dihadiri oleh ahli keluarga dan teman-teman artis itu dikecam sehingga ada yang mendakwa pengacara MeleTop itu mempermainkan agama.

Ia menjadi semakin panas apabila terdapat video yang menunjukkan beberapa gadis bertudung menari semasa majlis tersebut yang ditular di media sosial.

Dalam nada tegas, Neelofa memberitahu, dia juga tidak mempedulikan kecaman dan kritikan tidak membina daripada netizen yang sentiasa mencari kesalahannya.

“Sudah tiba masanya untuk saya tidak menghiraukan sahaja kecaman dan kritikan. Saya ingin jalani hidup dengan cara sendiri. Saya tidak berhutang dengan sesiapa dan saya hanya hendak buat perkara yang menggembirakan saya.

“Kalau buat baik pun orang kecam, buat jahat pun sama. Saya cuma mahu jadi diri sendiri dan cukup selama ini saya pedulikan kata orang. Cukup!” tegas sele­briti kelahiran Kelantan itu lagi.

No comments:

Post a Comment