Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan bekas rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat sebelum ini tidak setia dalam persefahaman tahaluf siyasi apabila melanggar dasar dan matlamat parti yang memperjuangkan Islam.
Menurutnya, Pas sudah lama menjadi mangsa penindasan hinggakan dicabar dari dalam dan luar parti sejak wujud dalam dunia politik tanahair.
Katanya, asas perjuangan yang meletakkan Islam sebagai teras utama terus berkembang dengan kekuatan sendiri sekalipun pernah kalah dalam beberapa Pilihan Raya Umum dan sama sekali tidak terkubur.
“Selepas tahaluf siyasi atau perjanjian persefahaman politik dengan beberapa parti seperti Semangat 46 serta DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak berjaya kerana rakan-rakan yang tidak setia apabila melanggar dasar dan matlamat Pas iaitu Islam.
“Kita mewujudkan Gagasan Sejahtera yang disertai beberapa parti politik dan beberapa tokoh pemimpin lama yang membawa konsep baharu malah boleh menunjukkan cara sebenar memerintah sebuah negara yang mempunyai hasil bumi yang cukup banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Gagasan Sejahtera Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment