Hari Malaysia pada 16 September, yang mana disambut sebagai cuti umum semenjak 2010, menampilkan satu kelainan setiap tahun. Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi meraikan dan memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Hari Malaysia merupakan hari penyertaan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pada kaca mata Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato' Sri Liow Tiong Lai, Hari Malaysia bukan sahaja hari kelahiran negara kita tetapi juga merupakan hari untuk kita meraikan semua kejayaan yang kita kecapi hari ini tanpa melupakan jasa dan usaha gigih bapa-bapa pengasas Persekutuan Malaysia dengan nilai-nilai yang telah mereka pamerkan iaitu berganding bahu, persefahaman dan hormat menghormati.
Tanpa nilai-nilai penting yang telah mereka asaskan sebelum ini mungkin hari ini kita tidak merasai nikmat perpaduan dan keamanan . Justeru itu adalah penting untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama meneruskan legasi perjuangan bapa-bapa pengasas kita.
Generasi muda hari ini perlu menghargai keamanan dan kemakmuran negara. Mereka cukup bertuah kerana lahir-lahir sahaja mereka terus dapat menghirup udara kemerdekaan negara. Tidak seperti generasi terdahulu yang terpaksa berjuangan dan berkorban nyawa dan harta.
Oleh itu Liow mahu generasi muda hari ini menghayati makna sehati sejiwa.
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
Liow: Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Teguh
Sambutan peristiwa penting dalam sejarah negara kita pada hari ini memberi peluang untuk kita menghayati dan mendalami semangat Negaraku Sehati Sejiwa.
Tema ini adalah pengiktirafan usaha gigih Bapa-bapa Pengasas kita dan visi mereka untuk mewujudkan sebuah negara yang berjaya. Nilai-nilai yang mereka pamerkan iaitu berganding bahu dalam persefahaman dan penghormatan merupakan suatu perkara yang harus dijadikan sebagan pegangan dan amalan, sebagai rakyat yang benar-benar menghayati makna sehati sejiwa.
Sesungguhnya, Hari Malaysia bukan sahaja menandakan kelahiran negara kita, malah juga meraikan semua kejayaan yang telah kita kecapi selama ini. Dari mengorak langkah sebagai peneraju sektor pertanian sehinggalah transformasi kita menjadi sebuah negara yang berasaskan pengeluaran dan ekonomi berteraskan eksport, kita telah menyesuaikan diri, berkembang, dan membangun sejak tahun 1963.
Inilah asas yang perlu diperkukuhkan dalam pembangunan negara, bagi diwarisi generasi masa depan. Meskipun akan tetap ada pihak yang ingin memecah-belahkan kita, saya pasti bahawa rakyat Malaysia mampu memacu ke hadapan dan menangani segala cabaran.
Setiap antara kita mempunyai peranan yang tersendiri, bukan sahaja dalam merancakkan pembangunan negara, malah juga dalam memelihara kepelbagaian budaya, tradisi dan warisan di Malaysia. Dengan pendirian teguh dan menyokong satu sama lain, kita pastinya akan terus berkembang sebagai sebuah Malaysia yang progresif dan bersatu padu.
Kepada semua warganegara Malaysia, Selamat Hari Malaysia!
No comments:
Post a Comment