Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lebih memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbanding Pengerusi partinya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan diketuai DAP.
Beliau berkata, pelantikan Dr. Mahathir untuk memegang jawatan itu sekali lagi boleh dibuat jika hanya benar-benar perlu dan harus ada garis panduan.
“Jika ia benar-benar perlu (pelantikan semula Dr. Mahathir), maka ya. Tetapi perlu ada garis panduan yang ditetapkan, seperti hanya untuk setahun bagi membantu pembaharuan negara,” katanya seperti dipetik menerusi portal berita, malaysianreview.com, hari ini.
Pakatan Harapan diketuai DAP dilanda krisis keyakinan yang kronik apabila kepemimpinan DAP dan PKR menolak cadangan untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan dating.
Bekas Perdana Menteri itu dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook miliknya baru-baru ini mengakui mungkin terpaksa mempertimbangkan menjadi Perdana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepemimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Syed Saddiq berkata, Menteri Besar Selangor itu paling layak menerajui jawatan berkenaan berdasarkan rekod beliau mentadbir Kerajaan Negeri Selangor selain mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang tidak dimiliki kebanyakan pemimpin lain.
“(Kalau calon) daripada PPBM sama ada Dr. Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi jika tidak daripada PPBM, ia adalah Timbalan Presiden PKR itu.
“Dia (Mohamed Azmin) naik dengan usaha sendiri, tanpa hubungan yang kuat, apa yang penting adalah bahawa dia mempunyai rekod di Selangor dan dia masih muda,” katanya.
No comments:
Post a Comment