Wednesday, May 3, 2017

KEWUJUDAN ISRAEL TIDAK DI IKTIRAF




Sehari sebelum Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas me­ngadakan pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washing­ton esok, pergerakan Hamas mengeluarkan satu mesej tegas mengenai kedaulatan Palestin dengan menolak pengiktirafan terhadap kewujudan Israel.

Pendirian tersebut disuarakan oleh Ketua Pergerakannya, Khaled Meshaal yang hanya me­nerima penubuhan negara Pa­lestin berdasarkan sempadan wilayah itu pada 1967 sambil menyifatkan konflik antara kedua-dua pihak bukannya krisis agama.

Melalui satu dokumen dasar baharu pertubuhan terbabit yang didedahkan dekat sini semalam, Khaled seperti dipetik oleh portal Al-Jazeera membuat penegasan berikut: “Kami (Hamas) tidak akan melepaskan satu inci pun tanah Palestin tanpa mengira sebarang tekanan dan tempoh penjajahan itu berlangsung. Hamas turut menolak sebarang idea melainkan usaha memerdekakan tanah air ini sepenuhnya.”

Ketika piagam penubuhan Hamas pada 1988, pergerakan itu menggesa pengambil­alihan semula ta­nah Palestin termasuk kawasan yang diduduki Israel ketika ini, namun dasar terbaharu itu menegaskan mereka akan hanya me­nerima sempadan 1967 sebagai asas penubuhan negara Palestin.

Malah, Hamas mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin manakala pela­rian pula dibenarkan kembali ke kediaman asal masing-masing.

Persempadanan 1967 merujuk kepada garisan sempadan yang ditetapkan pada 1949, iaitu sebelum berlakunya Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dari Jordan dan Semenanjung Gaza dari Mesir.

Dalam pada itu, dokumen dasar baharu Hamas terbabit juga me­ne­rima penyelesai­an dua negara yang dianggap sebagai produk akhir Perjanjian Oslo antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Malah, dokumen itu turut menjelaskan Hamas berjuang menentang ‘projek Zionis’ bukannya aga­ma Yahudi de­ngan membuat perbandingan antara Yahudi yang percaya de­ngan fahaman Yahudi dan penduduk Israel Zionis yang menjajah tanah Palestin.

Selain itu, dasar baharu Hamas ter­babit menolak kaitan antara pergerakan ber­kenaan dan Ikhwanul Muslimin.

Menurut penganalisis politik, pendedahan dokumen itu merupakan satu usaha Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza untuk kelihatan lebih pragmatik dan membantu pergerakan tersebut daripada berdepan pe­ngasingan antarabangsa.

Seorang pensyarah Universiti al-Azhar di Gaza, Mohammad Abu Saada menyifatkan dokumen baharu itu merupakan usaha Hamas menyesuaikan kehendak Mesir dan menenangkan negara terbabit berhubung kaitannya dengan Ikhwanul Muslimin yang dianggap Kaherah sebagai pertubuhan pengganas.

“Hamas sedang cuba bergerak seiring antara kumpulan pendesak dan golongan sederhana dalam satu cara, golongan sederhana boleh menerima negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 manakala kumpulan pendesak masih bo­leh mengatakan mereka tidak mengiktiraf Israel,” jelasnya.



No comments:

Post a Comment