Sunday, April 2, 2017

KIT SIANG CARI SARANG BARU SELEPAS GELANG PATAH



Dominasi DAP yang me­ngetuai Pakatan Harapan terserlah dengan kenyataan penasihatnya, Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa beliau bersedia untuk bertanding di kawasan lain selain kawasan disandangnya kini, Gelang Patah, Johor.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Kit Siang dan DAP jelas terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan yang turut dianggotai PAN, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga dia boleh membuat pengumuman untuk bertanding di mana saja termasuk kemungkinan menerima pelawaan DAP Kedah bertanding di Parlimen Alor Setar.

“Yang mendominasi Pakatan Harapan ini adalah DAP di mana parti-parti lain perlu ikut kata parti itu. Sebagai contoh, apabila Presiden PPBM, Tan Sri Muh­yiddin Yassin cadangkan nama Barisan Rakyat dan DAP tak bersetuju, semuanya kembali senyap dan nama Pakatan Harapan terus dikekalkan.

“Begitu juga dalam isu ini di mana Kit Siang menunjukkan kuasa DAP dengan beliau boleh mengumumkan untuk bertan­ding di mana saja. Beliau tidak pedulikan rakyat kerana baginya kerja pembangunan akan dilakukan kerajaan sementara kerjanya hanya membangkang sahaja dan disebabkan itu, beliau bebas menjadi nomad dan berpindah randah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan ke tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran Taman Belimbing di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim serta Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, Fathullah Suhaimi.

Selama lebih 50 tahun bergiat dalam arena politik tanah air, Kit Siang yang sudah pun berusia 76 tahun bertanding di lima negeri, tujuh kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Petaling Jaya, Ipoh Timur, Kota Melaka serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sementara itu Mahdzir berkata, PPR tersebut yang dibina dengan kos RM46 juta dan terletak tidak jauh dari pekan Kuala Nerang kini sudah 40 peratus siap dan dijangka boleh dima­suki penduduk pada awal tahun depan.

“Ini merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya anak-anak muda untuk memiliki rumah.

“Terdapat 286 unit rumah disediakan dengan harga setiap unit mencecah RM150,000 hingga RM160,000. Namun kerajaan memberi subsisdi sebanyak 75 peratus daripada harga sebenar dan rumah itu layak dimohon oleh mereka yang pendapatan bulanan seisi keluarganya tidak melebihi RM3,000,” katanya.



No comments:

Post a Comment