Kedah terlalu unggul untuk dicabar PKNP FC apabila mudah membenam cabaran kelab dari Perak itu 6-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam ini.
Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-19 apabila sepakan percuma Mohd. Fitri Omar gagal didakap kemas penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraaf Omar menyebabkan bola bergolek bergolek ke gawang.
Pada minit ke-29, Lang Merah mmemperoleh gol kedua menerusi situasi yang hampir sama. Cumanya kali ini sepakan lencong Mohd. Fitri juga tidak langsung mampu dijangkau Ahmad Asyraaf untuk menerjah ke kanan jaring pelawat.
Derita pelawat terus bertambah apabila Liridon Krasniqi menyempurnakan sepakan penalti setelah Mohd. Farhan Roslan dijatuhkan pada minit terakhir separuh masa pertama untuk gol ketiga Lang Merah.
Masuk babak kedua, Kedah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan dengan tonggak import, Ken Ilso Larsen merebahkan badan dan melunjurkan kakinya untuk menolak bola hantaran Mohd. Farhan ke gawang pelawat bagi gol keempat Lang Merah.
Di minit ke-83, penyokong tuan rumah dikejutkan seketika dengan jaringan cantik pemain PKNP, Mohamad Khairul Asyraf Ramli hasil rembatan deras dari jarak kira-kira 30 meter.
Lang Merah bagaimanapun tidak mengambil masa yang lama untuk membalas dengan pemain gantian, Muhammad Syafiq Ahmad menjaringkan gol kelima buat tuan rumah pada minit ke-86.
Seakan belum puas dengan lima gol, Ken Ilso mempamerkan kualiti yang ada padanya untuk menjaringkan gol keenam Lang Merah pada masa tambahan dengan terlebih dahulu melakukan gerakan menarik bagi memperdaya pemain pertahanan dan penjaga gol pelawat, sebelum mudah menolak bola ke gawang yang kosong. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment