KUALA LUMPUR 16 April - Pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik menegaskan kedatangannya ke Malaysia bukan untuk mencipta fitnah tetapi bagi menyampaikan kebenaran mengenai ajaran Islam sebagaimana digariskan dalam al-Quran dan hadis.
Sehubungan itu katanya, walaupun menyedari ada pihak tertentu tidak senang dengan ceramahnya, beliau tidak akan berganjak daripada menyatakan soal kebenaran mengenai Islam kerana itulah tuntutan agama ke atas setiap penganutnya.
Berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke Malaysia pada 2012, Zakir berkata, beliau kecewa apabila ada individu muslim di negara ini menegurnya agar jangan menegaskan tiada tuhan melainkan Allah hanya kerana pertimbangan politik.
“Macam mana saya nak berhenti mengatakan kebenaran ini kerana ia jelas dalam al-Quran. Kalau mereka fikir saya salah, mereka perlu failkan kes di mahkamah,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Is The Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.
Ceramah tersebut berjaya menarik minat lebih 30,000 orang ramai yang telah mula memenuhi stadium sejak pukul 5 petang meskipun hujan lebat melanda Lembah Klang.
Dalam pada itu, Zakir yang kali keenam melawat Malaysia dalam ceramahnya berkata, al-Quran bukan hasil karangan atau khayalan Nabi Muhammad SAW seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam.
Beliau berkata, sebagai contoh, ayat al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh AS yang ribuan tahun sebelum Rasulullah SAW diutuskan.
“Secara logiknya adalah tidak masuk akal seorang bernama Muhammad SAW mampu menceritakan kisah Nabi Nuh AS sedangkan kisah nabi ketiga selepas Nabi Adam AS itu turut diceritakan dalam kitab-kitab lain yang turut diakui oleh agama samawi lain,” katanya.
Katanya lagi, banyak bukti dengan dalil naqli dan aqli yang membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW bukan pengarang al-Quran.
No comments:
Post a Comment