MIRI 9 April – Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dijumpai ditinggalkan di bawah pokok kelapa sawit di Jalan Curtin di sini hari ini.
Bayi itu dipercayai baru dilahirkan ditemukan oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira pukul 1.30 petang.
Lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali Jerry, 32, berkata, ketika itu dia bersama isterinya mahu pergi memancing ikan di kawasan berhampiran sebelum dia memberhentikan kenderaan dipandunya di tepi jalan untuk membuang air kecil.
“Semasa membuang air kecil, saya terdengar bunyi bayi menangis lalu mencari dan menemukannya berbungkus dengan kain tuala dan diletakkan di dalam kotak.
“Saya bersama isteri kemudian membawa bayi terbabit ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Junaidi Bujang ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi berkenaan.
“Bayi itu ditemukan dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Dia telah dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment