Setelah setahun Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyepikan diri, hari ini ia kembali dengan wajah baru yang lebih menarik. Program PLKN kali ini telah menarik lebih ramai lepasan SPM secara sukarela menampilkan diri mendaftar untuk program ini. Cara pengambilan baru sukarelawan ini telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM1 juta. Program ini juga dikatakan telah mencapai kumpulan sasaran yang dimaksudkan.
Kali ini program PLKN berjaya mengumpul seramai 20,000 pelatih PLKN 2.0 yang diadakan selama dua bulan di 81 buah kem PLKN diseluruh negara.
Dalam program PLKN kali ini ada keistimewaan sikit dari yang dulu, pelatih tidak hanya menjalani latihan dalam kem selama lapan minggu, tetapi mereka juga diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam latihan amali kemahiran di 400 institusi latihan vokasional yang diiktiraf oleh kerajaan di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun, selain memberi fokus kepada kepada tiga elemen iaitu sukarelawan, patriotik dan perpaduan, PLKN 2.0 juga mendedahkan kepada pelatih latihan kemahiran, kecergasan dan nilai-nilai moral. Elemen ini bertujuan untuk memberi motivasi dan meningkatkan keyakinan diri pelatih selain membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi yang sesuai dengan kehendak mereka.
Apa yang menarik pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain dapat disatukan yang mana akan mendedahkan kepada mereka akan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia agar dapat mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara kaum dimasa akan datang. Inilah yang dicemburui sesetengah kumpulan yang suka mencetuskan pergaduhan antara kaum.
Jika sebelum ini pelatih berada dalam kem selama 12 minggu, kali ini dengan masa yang telah disingkatkan kepada 8 minggu dengan program kemahiran dan kebolehpasaran pelatih dalam tenaga kerja ditingkatkan. Usaha kerajaan ini amat bertepatan dengan kehendak semasa yang memerlukan tenaga kerja yang mahir, cekap dan berintegriti tinggi. Ia juga mampu mengikiskan pergantungan pekerja asing dalam negara.
Menurut Datuk Ehsan lagi, selepas menamatkan program latihan dan kemahiran, setiap pelatih akan menerima sijil dan diploma yang akan menjadikan mereka sesuai dan mudah memasuki mana-mana bidang pekerjaan disektor awam dan swasta.
Semoga para peserta dapat memanfaatkan peluang yang berada didepan mata. Jangan sia-siakan harapan ibubapa dan impian anda sendiri demi masa hadapan yang lebih gemilang.
No comments:
Post a Comment