DANIEL HOLTZCLAW mendengar keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 263 tahun kerana merogol empat wanita dan melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita lain semasa berkhidmat sebagai pegawai polis di Oklahoma City. - AP
SEORANG bekas anggota polis Oklahoma City yang disabitkan bersalah merogol dan melakukan serangan seksual terhadap wanita berkulit hitam yang dijadikan mangsa ketika dia melakukan rondaan, dihukum penjara 263 tahun dalam satu prosiding mahkamah yang meruntun emosi.
Daniel Holtzclaw menerima hukuman maksimum bagi 18 pertuduhan rogol dan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya lapan wanita Afrika-Amerika dalam kejadian yang berlaku pada 2013 dan 2014.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Timothy Henderson setelah mangsa-mangsa wanita itu memberitahu mahkamah bahawa bekas pegawai polis terbabit telah memusnahkan kehidupan mereka.
Tiga daripada mangsa memberikan kenyataan menyayat hati semasa prosiding tersebut, termasuk mangsa yang paling tua berusia 58 tahun, Jannie Ligons, dan yang paling muda berusia 17 tahun.
“Kejadian itu amat sukar diterima oleh keluarga saya. Ia juga amat sukar bagi saya,” ujar remaja terbabit kepada mahkamah.
“Setiap kali saya ternampak polis, saya tidak tahu apa hendak buat. Saya tidak pergi ke luar, dan bila saya keluar, saya berasa gementar,” katanya lagi.
Holtzclaw, 29, ternyata kelihatan marah dan cuba merenung mata (eye contact) dengan wanita-wanita tersebut, menurut seorang wartawan KOCO.
Sehari sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, peguam Scott Adams yang mewakili Holtzclaw telah memfailkan petisyen untuk memohon perbicaraan baharu berdasarkan dakwaan bahawa bahan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) telah dikeluarkan daripada siasatan.
Walau bagaimanapun hakim menolak usul tersebut atas alasan tidak terdapat cukup keterangan.
Anggota polis terbabit dijatuhi hukuman tersebut setelah disabitkan bersalah pada hujung tahun lalu terhadap 18 daripada 36 pertuduhan termasuk meliwat dan merogol.
“Saya berpendapat orang ramai perlu menyedari bahawa dia bukanlah seorang pegawai penguat kuasa undang-undang yang melakukan jenayah-jenayah sebegini. Dia adalah perogol yang bertopengkan pegawai penguat kuasa undang-undang,” kata Pendakwa Raya Oklahoma City, Scott Prate.
Bapa tertuduh, Eric Hiltzclaw berada di mahkamah ketika anaknya dijatuhkan hukuman tersebut di Oklahoma City pada hujung Januari lalu.
“Jika dia benar-benar pegawai penguat kuasa undang-undang, dia sepatutnya melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi warga tempatan, bukannya menjadikan mereka sebagai mangsa,” kata Prate.
Meskipun pertuduhan yang dihadapinya melibatkan lapan orang mangsa, namun 13 wanita telah tampil memberi keterangan di mahkamah dan semuanya memberitahu cerita yang sama dan menakutkan iaitu Holtzclaw mensasarkan wanita-wanita di kawasan kejiranan berpendapatan rendah di Oklahoma City, tempatnya meronda, memeriksa mereka kononnya untuk mencari dadah sebelum bertindak merogol mereka.
Semua mangsa adalah wanita berkulit hitam. Holtzclaw pula merupakan anak kacukan Inggeris dan Jepun selain merupakan anak bekas pegawai polis Oklahoma.
Dia disabitkan bersalah oleh barisan juri yang kesemuanya terdiri daripada orang berkulit putih.
Pada peringkat pembelaan, peguam bela Holtzclaw cuba membuatkan kes terhadap bekas pegawai polis dan bekas pemain bola sepak Eastern Michigan University itu sebagai pegawai contoh yang berusaha membantu wanita-wanita berkenaan tetapi telah disalahtafsirkan oleh mangsa-mangsa terbabit.
Holtzclaw, yang tidak memberi keterangan pada perbicaraan kes terhadapnya, dipecat pada Januari 2015 ekoran pertuduhan tersebut selepas kira-kira tiga tahun berkhidmat dalam pasukan keselamatan.
Sewaktu didapati bersalah oleh mahkamah pada hujung tahun lalu, Holtzclaw membuang sifat malunya dengan berjurai-jurai menitiskan air mata. Semasa dia dibawa keluar dari mahkamah dia dilaporkan berkata “Saya tidak melakukannya”.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment