Timbalan Perdana Menteri, Warren Truss berkata, analisis terkini menunjukkan kawasan seluas 44,000 kilometer persegi di Lautan Hindi akan diberi tumpuan yang lebih selepas dikenal pasti sebagai lokasi penting pencarian.

“Kawasan ini terletak di hujung selatan zon carian seluas 120,000 kilometer persegi yang ditetapkan sebelum ini.

“Kami berharap, ca­rian akan menemukan pesawat itu,” katanya kepada pemberita, merujuk kepada analisis yang dikeluarkan menerusi laporan laman web Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Tiga kapal buah kini berada kira-kira 1,200 kilometer ke barat Perth bagi mencari petunjuk MH370 menggunakan sonar laut dalam, manakala kapal keempat yang disediakan oleh China akan menyertai misi pencarian bulan depan.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dari radar pada 8 Mac tahun lalu semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Analisis data satelit mendedahkan pesawat itu bertukar haluan ke barat dan kemudian selatan sebelum terbang selama enam jam di kawasan perairan terpencil di selatan Lautan Hindi sebelum dilaporkan hilang.

Satu-satunya bahagian pesawat yang telah dijumpai adalah fla­peron yang terdampar di Pulau Reunion di Lautan Hindi pada bulan Julai lalu.

Menurut Truss, pencarian tersebut dijadual berterusan sehingga pertengahan tahun depan apabila seluruh zon seluas 120,000 kilometer persegi itu diperiksa sepenuhnya. – DPA