MH17: KEBENARAN AKHIRNYA TERUNGKAP, MEREKA TERBUKTI WIRA KITA!
Aku mengambil masa kira-kira dua jam membaca segala maklumat dan informasi mengenai laporan penyiasatan Lembaga Penyiasatan Belanda berhubung nahas pesawat MH17 yang akhirnya diumumkan secara rasmi sebentar tadi. Sah, pesawat malang itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine.
Namun ketika sedang kusyuk membaca laporan berkenaan, kelopak mataku tiba-tiba bergenang apabila Pengerusinya, Tjibbe Joustra menyebut yang peluru berpandu itu RUPANYA meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Aku kutip kata Joustra;
" Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek berkuasa tinggi daripada bahan peledak tersebut. Berikutan daripada impak dan letupan berikutnya, tiga anak kapal dalam kokpit terbunuh serta-merta dan pesawat itu berkecai di udara,"
Ia sekaligus memberitahu kita, tiga anak bangsa Malaysia yang berada di kokpit iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin, pembantunya Ahmad Hakimi Hanapi dan Muhammad Firdaus Rahim adalah TIGA MANGSA PERTAMA yang dijemput Allah SWT dalam insiden malang itu.
Bayangkan kecederaan dan luka parah di tubuh mereka akibat dihinggapi bahan dan serpihan peluru berpandu itu. Bayangkan kesakitan yang mereka tanggung, impak daripada tembakan yang dilepaskan mereka yang sungguh tiada perikemanusiaan itu!
Namun aku bersyukur, kerana laporan itu sekaligus menunjukkan ketiga-tiga mereka terbukti telah menjalankan amanah dengan begitu baik sekali. Siasatan langsung tidak menemui sebarang kecuaian di pihak juruterbang, termasuk tindakan 'luar jangka' daripada mereka sewaktu mengemudi pesawat itu. Siasatan juga secara jelas membuktikan mereka langsung tidak melanggar sebarang prosedur penerbangan antarabangsa, malah tuduhan sebelum ini yang mengatakan mereka mengikut 'route' atau laluan yang salah juga tidak benar kerana siasatan menunjukkan beratus pesawat juga menggunakan laluan yang sama sebelum insiden tersebut berlaku.
Allah maha adil. Kebenaran akhirnya tersingkap juga. Pada keluarga Allahyarham Wan Amran, Ahmad Hakimi, Muhammad Firdaus dan krew-krew yang terbunuh, berbanggalah kerana terbukti kesemua mereka telah menjalankan tanggungjawab yang terbaik seperti mana yang diamanahkan di bahu masing-masing. Kita rakyat Malaysia juga patut berbangga kerana kesemua mereka adalah WIRA sebab mengangkat nama baik negara dalam dunia penerbangan antarabangsa.
Marilah kita sedekahkah Al-Fatihah pada mereka dan kesemua penumpang beragama Islam yang terbunuh, pada mereka yang bukan Islam, semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada keluarga mereka dalam menghadapi hari-hari yang penuh kesukaran ini.
Pada Kapten Wan Amran, Ahmad Hakimi dan Muhammad Firdaus...kamulah wira kami yang sebenarnya. SALUTE!
No comments:
Post a Comment