Wednesday, December 13, 2017

BETUL KE KIT SIANG TAK NAK JADI PM ?




Penasihat DAP, Lim Kit Siang dicabar mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan hasrat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Kit Siang yang terus bertahan selama 50 tahun sebagai ahli politik menunjukkan cita-cita besarnya untuk memegang jawatan berkenaan.

Malah kata beliau, dalam merea­lisasikan impiannya itu, Kit Siang bertindak memperalatkan pe­mimpin berpengaruh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapat sokongan pengundi Melayu. “Semua orang sudah cakap sekarang, kalau bukan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kit Siang sebenarnya mahu menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang.

“Kalau orang sudah kata dia hendak menjadi Perdana Menteri dan dia pula berdolak-dalik, buatlah satu kenyataan mengatakan dia tidak mahu jadi pemimpin nombor satu negara,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Guru Pembina Negara Bangsa dan Bicara Profesionalisme Kepimpinan Pendidikan Pahang 2017 di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, adalah mus­tahil bagi Kit Siang menolak jawatan berkenaan berdasarkan penglibatannya yang lama dalam politik dan bersandarkan jumlah kerusi DAP dalam Pakatan Harapan. Dalam pada itu beliau berkata, hasrat Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri dengan memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang tidak akan berhasil tanpa sokongan orang Melayu.

Justeru, beliau percaya Kit Siang akan terus berusaha mendapatkan sokongan orang Melayu dengan pelbagai cara termasuk memperkudakan pemimpin-pe­mimpin berpengaruh kaum itu. “Dia tahu tidak boleh jadi tanpa sokongan orang Melayu dan dia kena dapatkan undi untuk Pakatan Harapan dalam kalangan orang Melayu,” ujarnya.








RAFIZI MENGAKU SILAP TAPI ENGGAN MINTA MAAF




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sekali lagi kantoi apabila terbukti melakukan kesilapan dengan menuduh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melantik abangnya sebagai kontraktor pelaksana Ekspo NegaraKu.

Malah Rafizi sendiri meng­akui kesilapan tersebut dan te­lah memadamkan turun segala bahan di laman-laman media sosial di bawah kendaliannya yang mengaitkan Abdul Rahman mempunyai pertalian darah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibit Sdn. Bhd., Nor Raslan Mohd. Dahlan.

Ahli Parlimen Pandan itu pada masa sama memohon maaf kepada Nor Raslan tetapi sebaliknya enggan membuat perkara yang sama terhadap Abdul Rahman kerana mendakwa menteri itu mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Saya sedia meminta maaf terhadap Raslan, tetapi bukan Abdul Rahman,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, dengan video sidang akhbar itu turut dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Rafizi bagaimanapun tetap mempertahankan dirinya yang mencetuskan pelbagai isu mengenai pameran tersebut, termasuk mempertikaikan kaedah penganugerahan kontrak serta kredibiliti Pico Integrated Exhibit.

Malah beliau menyatakan dirinya sedia menerima tindakan saman daripada Abdul Rahman, namun bersungguh-sungguh men­jelaskan terdapat beberapa faktor di dalam perundangan yang menyebabkan beliau yakin ber­depan tindakan undang-undang tersebut.



Tuesday, December 12, 2017

ZAID ENGGAN MOHON MAAF



Keengganan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf atas kenyataannya yang mempersoalkan dan sengaja memutarbelitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah boleh disifatkan sebagai turut menghina semua orang Melayu di negara ini.


Penasihat Gerakan Belia 4B, Bandar Tun Razak, Datuk Bashir Mohamad menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang hipokrit dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil peduli kepentingan bangsa sendiri.


“Saya berasa hairan bagaimana seorang Melayu boleh menjadi sedemikian rupa dan sanggup menjadi penderhaka kepada sultannya semata-mata ingin mencapai kepentingan peribadi.


“Desakan pelbagai pihak untuk Zaid memohon maaf secara terbuka tetap tidak dipedulikan oleh ahli DAP itu. Pendirian seperti itu sebenarnya turut menghina semua orang Melayu di Malaysia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kedaulatan Raja-raja Melayu,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 5,000 rakyat Selangor pelbagai kaum berkumpul di Dataran Mayang, Seksyen 16, Shah Alam untuk menzahirkan manifestasi mereka mempertahankan kedaulatan Sultan Selangor.



BENARKAH SPRM IKUT ARAHAN UMNO ?



TUDUHAN  liar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kononnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak saudaranya Mohd Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid sebagai satu konspirasi adalah tidak masuk akal dan bersifat berat sebelah. 

Ini kerana apabila SPRM bertindak terhadap ahli UMNO bukan main lagi Azmin memuji tindakan SPRM. Namun sebaliknya bila terkena batang hidung sendiri, Azmin mengelupur menyalahkan kerajaan dan SPRM. Perangai kebudak-budakan Azmin memalukan kerajaan negeri Selangor dan juga PKR sendiri. 

Adakah Azmin ingat undang-undang ini hanya terpakai untuk orang lain selain daripada keluarganya ? Belum lagi dapat memerintah Malaysia sudah tunjuk sikap "double standard" dalam undang-undang. 

Samalah macam perangai bekas bosnya, Anwar Ibrahim dalam kes liwat pembantu peribadinya, sindrom penafian dan mengaitkan keputusan mahkamah dengan UMNO ini sudah menjadi tabiat yang tak boleh diubah. Kali ini SPRM pula menjadi mangsa tuduhan liar Azmin. 

Ini bukan cakap-cakap kosong di kedai kopi, tapi merupakan kenyataan rasmi seorang Menteri Besar. Azmin melalui kenyataan rasmi pejabatnya telah menganggap tindak SPRM sebagai berniat jahat. Sebagai seorang Menteri Besar Azmin tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada agensi kerajaan. Ini akan memberi gambara buruk kepada kerajaan pentadbirannya yang dilihat cuba menyembunyikan sesuatu. Adakah benar Azmin sedang menyembunyikan sesuatu ? 

Sepatutnya Azmin berterima kasih kepada SPRM kerana sedang berusaaha bertungkus lumus membersihkan pentadbirannya dari gejala rasuah dan salahguna kuasa, contohnya aktiviti perlombongan pasir haram di Selangor yang mana telah menyebabkan kerugian dan kehilangan hasil negeri. Bukankah itu yang Azmin harapkan, atau Azmin sedang menyembunyikan sesuatu ? 



Walaupun Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan Mohd. Nuzul Fadli dan seorang lagi pengarah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan itu dengan jaminan masing-masing sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin hari ini, namun ia tidak bermakna kedua-dua individu berkenaan termasuk dua lagi individu lain yang dibebaskan pada Rabu lalu bebas daripada dakwaan berke­naan.


Sebaliknya, keputusan Mah­kamah Majistret itu melibatkan pembebasan mereka dari tahanan reman bagi membantu siasatan mengenai dakwaan tersebut sementara menunggu pendakwaan di mahkamah.


Namun, tindakan Mohamed Azmin melenting dan beriya-iya menyalahkan SPRM di sebalik tindakan penahanan itu dilihat menimbulkan ba­nyak kemusykilan selain tidak menjawab persoalan ba­gaimana anak saudaranya yang dilaporkan tidak bekerja itu mampu hidup mewah termasuk bercuti di luar negara. Sedangkan, rak­yat Selangor ketika ini terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk mencari se­suap nasi serta menampung persekolahan anak-anak.


Kalau diikutkan kenyataan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hi­sham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menerusi blognya, chegubard.blogspot.my pada 30 November lalu, beliau secara terbuka menggesa Mohamed Azmin supaya bertangungjawab da­lam isu rasuah yang berlaku di Selangor ketika ini.


Malah, beliau turut mendakwa bahawa Menteri Besar itu telah melahirkan jutawan muda segera di sebalik slogan Peduli Rakyat yang dianggap hanyalah untuk mengaburi mata rakyat negeri ini.


Dalam isu membabitkan anak saudara Mohamed Az­min, Chegubard mendakwa ia hanyalah sebahagian sahaja daripada kegiatan rasuah melibatkan ‘lombong batu’ di Hulu Langat yang dikatakan telah bermula sejak akhir 2014.




HASRAT RAHSIA LIM KIT SIANG - SEBAGAI PERDANA MENTERI




Datuk Seri Najib Tun Razak betul apabila menyatakan Lim Kit Siang berhasrat menjadi Perdana Menteri kerana Penasihat DAP itu sehingga kini tidak pernah melepaskan jawatan tertinggi dan kawalannya terhadap parti itu.


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, selama ini Kit Siang melindungi niat sebenarnya itu daripada rakyat dengan berpura-pura memberi sokongan kepada calon lain untuk menjadi Perdana Menteri.


Malah katanya, keadaan ketika ini juga menuntut Kit Siang `perlu’ menjadi Perdana Menteri jika mahu menyelamatkan anaknya, Lim Guan Eng daripada dipenjarakan jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

“Matlamat utama mana-mana diktator adalah untuk menjawat jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 mendedahkan Kit Siang berminat untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Tunku Abdul Aziz, Kit Siang perlu tampil dan menjawab kenyataan Najib itu dan tidak lagi berselindung di belakang orang Melayu seperti yang beliau selalu lakukan.

Ini kerana katanya, kedua-dua pemimpin Melayu yang menjadi sekutunya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan merupakan ahli Parlimen, oleh itu mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri.


Sunday, December 10, 2017

PENDERHAKA, MANA KAU NAK LARI ?



Kementerian Komunikasi dan Multimedia percaya tindakan ke atas Datuk Zaid Ibrahim kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.


Menterinya, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, jika siasatan mendapati wujudnya pelanggaran undang-undang, pasti ahli DAP itu tidak akan terlepas daripa­da pendakwaan­ aki­bat kenyataan­nya di Twitter pada 4 Disem­ber lalu.


Kata beliau, malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang be­kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengendalikan siasatan ke atas Zaid.



“Sudah tentu jika undang-undang telah dilanggari, tindakan akan diambil sewajarnya,” kata beliau kepada pemberita selepas bertemu Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Sebelum ini, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lain menegur Dr. Mahathir berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu menghina kaum Bugis.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid memberitahu Sultan Sharafuddin harus lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.

Sementara itu, mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2017, Salleh yang juga Bendahari parti berkata, beliau gembira dengan kualiti perbahasan kali ini dan berharap perwakilan mengguna pakai segala maklumat yang diperoleh untuk memperjelaskan kepada masyarakat fakta sebenar khususnya menggunakan media sosial masing-masing.

Berhubung kelulusan usul tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Pre­siden tahun depan, beliau berkata, keputusan itu bukan bertujuan untuk menyelamatkan sesiapa tetapi adalah bagi mengukuhkan kedudukan parti demi kestabilan politik dan urus tadbir negara.

“Keputusan ini menentukan kestabilan parti. Apabila parti stabil dari segi kepimpinannya, ini akan menentukan kestabilan politik dan negara.

“Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang berwawasan dan beliau mahu membawa Malaysia menjadi lebih gemilang dan beliau memerlukan seorang timbalan dan sahabat yang setia dan boleh membantu beliau mentadbir Malaysia,” katanya.



Thursday, December 7, 2017

MALAYSIA BANTAH CADANGAN AMERIKA



Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penegasan itu dibuat oleh beliau selaku Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau berkata, UMNO tidak pernah dan tidak akan sesekali berkompromi dengan apa-apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam dan syiarnya, bukan sahaja di tanah air bahkan seluruh pelosok dunia.

“Jadinya, minggu ini apabila kita dikejutkan dengan cadangan AS untuk mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci umat Islam, yakni Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.

“Makanya, saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana sahaja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya, agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia bahawa kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila,” tegasnya disambut sorakan bergemuruh seluruh perwakilan di dalam Dewan Merdeka, PWTC.

Najib kemudiannya memimpin doa yang antara lain berbunyi:

Ya Allah Ya Tuhan

Kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan musuh kami

Dikau satukanlah hati-hati kami

Dikau cerai-beraikan perhimpunan mereka

Dikau pisahkanlah kesatuan mereka

dan

Ya Allah

Dikau goncangkan serta hancurkanlah perancangan mereka

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Turut hadir pada perasmian perhimpunan kali ke-68 UMNO hari ini ialah 95 delegasi luar negara yang mewakili 20 parti politik dari 16 negara termasuk dari Palestin. - UTUSAN ONLINE