Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penegasan itu dibuat oleh beliau selaku Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah dan tidak akan sesekali berkompromi dengan apa-apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam dan syiarnya, bukan sahaja di tanah air bahkan seluruh pelosok dunia.
“Jadinya, minggu ini apabila kita dikejutkan dengan cadangan AS untuk mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci umat Islam, yakni Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, saya yakin dan percaya mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.
“Makanya, saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana sahaja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya, agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia bahawa kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila,” tegasnya disambut sorakan bergemuruh seluruh perwakilan di dalam Dewan Merdeka, PWTC.
Najib kemudiannya memimpin doa yang antara lain berbunyi:
Ya Allah Ya Tuhan
Kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan musuh kami
Dikau satukanlah hati-hati kami
Dikau cerai-beraikan perhimpunan mereka
Dikau pisahkanlah kesatuan mereka
dan
Ya Allah
Dikau goncangkan serta hancurkanlah perancangan mereka
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Turut hadir pada perasmian perhimpunan kali ke-68 UMNO hari ini ialah 95 delegasi luar negara yang mewakili 20 parti politik dari 16 negara termasuk dari Palestin. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment