Showing posts with label kit siang. Show all posts
Showing posts with label kit siang. Show all posts

Wednesday, April 12, 2017

HADI MENANG , KIT SIANG MERADANG - BARUA PAKATAN BENGANG



Kemenangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar Pas Pusat Ke-63 di Alor Setar pada hujung bulan ini membuktikan sokongan padu ahli-ahli akar umbi terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan.

Kemenangan kedua-dua pe­mimpin itu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Taki­yuddin Hassan dalam satu kenya­ta­an, di sini hari ini, turut memberi isyarat jelas bahawa ahli-ahli parti itu berdiri teguh di belakang Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.

Dalam keadaan Pas berhadapan dengan pelbagai asakan khususnya selepas meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP, ahli-ahli Pas merasakan mereka tidak boleh membiarkan Pas bergolak akibat perebutan jawatan tertinggi.


Sumber memberitahu, kemenangan tersebut juga sebagai mesej kepada penentang-penentang Pas dan mereka yang cuba memperlekehkan Abdul Hadi bahawa ahli-ahli parti tersebut tetap menyakini Ahli Parlimen Marang itu untuk terus mengekalkan jawatan yang disandangnya secara rasmi pada 2005. Sebelum itu beliau memangku jawatan berkenaan mulai tahun 2003 berikutan kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketegasan Abdul Hadi yang terus konsisten mempertahankan perjuangan Islam Pas biarpun terpaksa berbalah dengan DAP yang suatu ketika menjadi sekutu parti itu turut menjadi faktor kepe­mimpinan beliau dipertahankan.

Pembentangan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) juga dilihat memberi kelebihan kepada Abdul Hadi untuk kekal memimpin Pas biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan hebat daripada Pakatan Harapan termasuk PKR yang menjadi sekutu Pas di Se­langor.

Strategi ‘musuh-musuh politik’ yang cuba memburuk-burukkan kepemimpinan Abdul Hadi dengan menguar-uarkan beliau kurang berkarisma berbanding Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda, Allahyarham Fadzil dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga gagal mempe­ngaruhi 192 kawasan Pas menolak Abdul Hadi.

Dakwaan kononnya Pas akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang berikutan keputusan Abdul Hadi menamatkan hubungan dengan Pakatan Harapan turut tidak mampu menggugat ke­setiaan ahli-ahli Pas kepada ulama berusia 70 tahun itu.

Kejayaan Tuan Ibrahim pula sememangnya sudah dijangka kerana beliau dilihat serasi de­ngan Abdul Hadi. Ketegasan beliau yang sentiasa ke hadapan mempertahankan Presiden Pas itu dalam berdepan dengan pelbagai serangan politik memungkinkan Tuan Ibrahim menjadi pilihan ahli-ahli Pas untuk mengekalkan jawatannya.

Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Tuan Ibrahim amat berbeza dengan sikap bekas Timbalan Presiden Pas sebelum ini, Mohamad Sabu yang dilihat sering sahaja bertentangan dengan Abdul Hadi.

Sementara itu, sumber dalaman Pas memberitahu, berban­ding sebelumnya pemilihan kali ini ‘lebih aman’ memandangkan ahli-ahli Pas dilihat bersatu mempertahankan kepemimpinan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim.


Kata sumber tersebut, ahli-ahli hanya mahu membuat ‘sedikit rombakan’ di peringkat jawatan Naib Presiden yang kini menyaksikan kehadiran dua calon muka baru iaitu Takiyuddin dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Kedua-dua mereka akan berhadapan dengan tiga penyandang jawatan tersebut iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd.Amar Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Tetapi tidak kira apapun keadaannya, ahli-ahli Pas sudah memberi mesej yang jelas bahawa mereka mahu Abdul Hadi terus kekal memimpin parti tersebut,” katanya.



Wednesday, March 1, 2017

KIT SIANG JUAL NAMA NIK AZIZ

Penasihat DAP, Lim Kit Siang diberi amaran keras supaya tidak sesekali menggunakan nama bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semata-mata untuk meraih sokongan politik.



Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khai­ruddin Aman Razali berkata, Nik Abdul Aziz merupakan tokoh yang sentiasa merujuk al-Quran dan sunah sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak.

Katanya, tindakan itu berbeza dengan Kit Siang dan kepemim­pinan DAP yang hanya mengikut nafsu bagi mencapai kehendak serta kepentingan peribadi.

“Saya memberi ama­ran kepada Kit Siang supaya tidak me­rosakkan nama Nik Abdul Aziz kerana jika Tuan Guru masih hidup, beliau akan menjadi orang pertama yang menyokong pindaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

“Nik Abdul Aziz juga akan menjadi orang pertama yang menentang DAP ekoran serangan bertubi-tubi parti itu terhadap agama Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kit Siang hari ini dilihat cuba meraih simpati daripada penyokong Pas dengan memainkan sentimen melibatkan Nik Abdul Aziz dan mendakwa politik ‘nakal’ yang dimainkan pemimpin Pas pada masa ini pasti tidak akan terjadi sekiranya tokoh itu masih hidup.

Tegas Mohd. Khairuddin, kepemimpinan Pas hari ini di bawah Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih sama seperti dahulu kerana beliau turut merujuk al-Quran dan sunah.

“Rujukan dan sokongan ahli Pas di peringkat akar umbi adalah berdasarkan al-Quran dan sunah, bukan manusia. Jadi, jika pemimpin itu tidak mengikut dua kitab ini, Pas akan terus membuangnya.

“Sebab itu, kita memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP dan PAN kerana mereka menentang agama Islam serta menye­rang Pas secara bertubi-tubi,” katanya.