Sekali lagi satu pasukan penyiasat Malaysia dihantar ke Mozambique bagi mengenal pasti tiga serpihan pesawat yang ditemui baru-baru ini adakah berasal dari pesawat MH370 milik Malaysia Airlines System (MAS).
Serpihan-serpihan yang ditemui mempunyai persamaan dengan rangka bahagian kanan pesawat menambah keyakinan Malaysia bahawa kesemua serpihan yang ditemui adalah dari Boieng 777 MAS.
Pekara ini dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa berdasarkan laporan awal beliau yakin, serpihan yang ditemui ini adalah MH370. Sebelum ini kesemua serpihan yang ditemukan dulu adalah disahkan bahagian kanan pesawat MH370.
Ini dibuktikan melalui siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabansa (ICAO) berdasarkan penemuan nombor siri pada bahagian sayap salah satu serpihan yang ditemukan dan juga melalui analisis kimia.
Sementara itu Menteri Pengangkutan Australia dalam satu laporan akhbar menyatakan penemuan tiga lagi serpihan ini menjadikan semuanya berjumlah lapan serpihan.
Kehilangan pesawat MH370 sehingga kini menjadi satu misteri yang dibicarakan diseluruh dunia. Pelbagai teori dan versi cerita berkenaan kehilangan pesawat ini oleh masyarakat.
Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing, China, membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada pagi 8 Mac 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pecarian MH370 selama lebih kurang 2 tahun lalu kini menunjukkan perkembangan yang positif. Pasukan penyiasat Malaysia mengesahkan serpihan pesawat (flaperon) yang dijumpai di Pulau Reunion adalah dari pesawat MH370. Ini juga telah diakui oleh penyiasat dari Perancis.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia Airlines System (MAS) menyimpan semua rekod teknikal MH370 oleh itu ia memudahkan kita untuk menentukan serpihan pesawat yang ditemui adalah dari pesawat MH370. Maklumat Fakta disediakan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370.
Manakala Perancis bekerjasama dengan syarikat Boeing untuk mendapatkan nombor pengesahan bagi menentukan serpihan pesawat itu datang dari MH370 dan melakukan kajian serta membuat pemeriksaan selanjutnya. Akhirnya jumaat lepas penyiasat Perancis mengesahkannya serpihan flaperon itu adalah dari pesawat MH370 milik MAS.
Kenyataan ini datangnya dari pejabat pendakwaraya Perancis yang mengesahkan berdasarkan beberapa bukti seperti nombor siri yang terdapat pada serpihan flaperon sama seperti rekod yang disimpan dalam syarikat pembuat komponen sayap pesawat dari Sepanyol.
Pengesahan ini akan lebih memudahkan pasukan penyiasat menumpukan kawasan penyiasatan dan pencarian mereka selama ini terhadap pesawat Boeing 777 MAS yang hilang sejak 2 tahun yang lalu.
Bagi Tiong Lai, bagi pihaknya beliau memahami terdapat pelbagai cara pengesahan yang dilakukan bagi mengenalpasti identiti serpihan pesawat tersebut. Malaysia juga katanya akan menunggu pakar-pakar dari Kumpulan Kerja Strategik Pencarian MH370 yang dianggotai Malaysia, China dan Australia dalam menentukan strategi dalam usaha pencarian MH370.
Akhirnya, misteri kehilangan pesawat Boeing MH370 menemui titik-titik jalan penyelesaian setelah 515 hari ia hilang.
Mengimbas kembali peristiwa Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang dijadualkan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang termasuk anak kapal terputus perhubungan radar selepas melalui titik laluan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) -

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.
1. Semalam, hari Khamis, 17 haribulan Julai 2014, dunia secara am dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah dikejutkan dengan tragedi tidak diduga, apabila pesawat komersial Boeing 777-222 Malaysia Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah diberitakan terhempas di kawasan Timur Ukraine.
2. Penerbangan tersebut dilaporkan telah berlepas pada jam 12.15 tengahari waktu tempatan dan dijadualkan tiba di KLIA pada jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat berkenaan membawa sejumlah 298 orang yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. 43 orang daripadanya merupakan warganegara Malaysia termasuklah 2 orang bayi.
3. Pihak Malaysian Airlines telah mengesahkan menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara atau ATC, Ukraine yang ia terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
4. Justeru, bagi pihak Kerajaan, saya menzahirkan perasaan sangat dukacita dan pilu terhadap peristiwa tragik yang menimpa para penumpang serta anak-anak kapal tersebut.
5. Jadinya, Kerajaan ingin merakamkan ucapan takziah dan belasungkawa juga simpati yang amat mendalam kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan mangsa-mangsa tragedi. Makanya, diharapkan kepada semua, agar cekalkan semangat dan tabah menempuh dugaan amat berat ini.
Rakyat Malaysia Yang Kasihi Sekalian,
6. Sekalipun pesawat MH17 itu dipercayai ditembak jatuh, namun buat masa ini, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat diabsahkan.
7. Walau apapun, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.
8. Selanjutnya, sebagai menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia, maka saya selaku Perdana Menteri, memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
9. Hendaknya, dalam menghadapi situasi yang sangat mencabar ini, bersempena pula dengan keberkatan dan kelebihan hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan yang mulia, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, terutama bagi yang beragama Islam, tidak kira latar pendirian politik, untuk mengadakan solat hajat, terus bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT, agar Malaysia yang tercinta ini sentiasa selamat sejahtera, dijauhi daripada bala bencana, musibah atau segala ancaman yang boleh memporak-perandakan negara.
10. Kepada rakyat Malaysia yang menganut agama-agama lain pula, digalakkan untuk mengadakan sembahyang dan upacara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.
11. Dalam perkara ini, Kerajaan telah memutuskan untuk mengisytiharkan bermula pada malam ini sehingga hari Isnin, 21 Julai 2014, bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara. Saya juga telah menyembah maklum perkara ini kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
12. Perlu diketahui juga, saya difahamkan bahawa kawasan berlakunya kejadian tersebut, dikuasai serta dikawal oleh pasukan pemberontak. Oleh itu, kita sedang membuat pelbagai usaha, termasuk saluran diplomatik dan hubungan baik Malaysia dengan Negara-negara berkenaan supaya pasukan penyiasat dapat menjalankan tugasan mereka dan urusan pengurusan mangsa dapat berjalan dengan lancar.
13. Pertama, Kerajaan Malaysia menuntut agar pihak-pihak yang terbabit, mestilah menjamin dan memastikan keselamatan pasukan penyiasat sepanjang operasi ini dijalankan.
14. Kedua, Kerajaan Malaysia juga mendesak pihak-pihak berkenaan agar tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti ditempat kejadian supaya kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.
15. Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 tersebut ditembak jatuh, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan.
16. Ketiga-tiga tuntutan ini telah saya maklumkan hari ini, kepada Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon. Saya juga telah meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk memberi segala kerjasama bagi mencapai hasrat tersebut.
17. Malah, pada petang tadi, kita telah menghantar sebuah pesawat yang membawa pasukan khas, terdiri daripada pasukan SMART, kumpulan perubatan dan Jakim ke kawasan bencana.
Rakyat Malaysia Yang dikasihi Sekalian,
18. Kesimpulannya, pada detik-detik dan saat-saat yang mencarik perasaan dan sanubari serta sungguh mencabar ini, marilah kita bersatu hati, mengukuhkan semangat perpaduan sesama kita, demi menghadapi kejadian yang menyayatkan ini. Semoga Allah memberi pertolongan-Nya kepada ikhtiar-ikhtiar kita untuk melalui semuanya.