Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Saturday, March 11, 2017

PERCINTAAN PAS DENGAN PKR ,PPBM AKAN DIBINCANG DALAM MUKTAMAR



Muktamar Pas Pusat yang akan diadakan di Kompleks Pas Kedah bermula 29 April ini akan membincangkan tahaluf siyasi parti itu bersama PKR yang dianggap masih kekal biarpun hubungan dengan pakatan pembangkang retak akibat tidak sehaluan dengan DAP.


Naib Presiden Pas, Datuk Nik Amar Nik Abdullah berkata, selain memfokuskan kepada pemilihan parti, muktamar kali ini juga akan menjadi medan kepada 1,200 perwakilan untuk membahaskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Tahaluf siyasi dulu juga dibuat dengan keputusan muktamar. Bagaimanapun, ketika ini belum ada yang konkrit, baik persetujuan mahupun kata putus hubungan kita dengan PPBM. Kita baru hendak kenal hati budi.


"Bagi pemilihan pula, saya melihat kemungkinan ada perubahan di peringkat ahli jawatankuasa (AJK) Pusat tetapi apa-apa pun perubahan,  bukan kerana tidak puas hati dengan organisasi, sebaliknya sebagai persiapan untuk memperkukuh parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ceramah perdana sempena perasmian Mesyuarat Agung Pas Kawasan Parit Buntar di Dewan Tuan Guru Ahmad Tuan Hussin, Titi Serong di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE



Sunday, March 5, 2017

LANG MERAH RATAH MELAKA





Kedudukan pendahulu Liga Super yang menjadi milik Pahang selama lima hari kembali dirampas Kedah selepas Lang Merah berpesta gol dengan membelasah Melaka United 4-0 di Stadium Darul Aman, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Kedah mengekalkan rekod bersih di laman sendiri, berterima kasih kepada dua jaringan yang masing-masing di­sempurnakan penyerang Denmark, Ken Ilso Lar­sen dan Sandro Da Silva.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong setia sendiri, anak didik Tan Cheng Hoe nyata unggul menguasai perlawanan berbanding pasukan pelawat.


Ketika saingan memasuki minit ke-33, Ken Ilso menggamatkan stadium dengan membuka tirai jaringan selepas me­nerima lorongan cantik Sandro.

Bersambung babak kedua, Sandro mengandakan kedudukan 2-0 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48 dan meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-78.

Ken Ilso menambah derita pasukan pelawat apabila meledakkan gol keduamya pada minit terakhir.

Lang Merah kini mengumpul 18 mata selepas lapan perlawanan dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan melakar turut melakar kemenangan besar 4-2 ke atas T-Team.

Penyerang Lubnan, Mohammed Ghaddar terus mempamer ketajaman apabila meledak hatrik pada minit ketujuh, 68 dan 83 serta satu gol menerusi Khairul Izuan Rosli (m77) manakala dua gol pelawat dihasilkan Mohd. Nor Hakim Hassan (m50) serta Farchod Tadzijev (m90).

Sementara itu, Selangor yang turun di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan jersi baharu tewas 0-1 kepada Perak selepas menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah pertahanannya, Ugo Ukah dila­yang dua kad kuning.

Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak menjaringkan gol tunggal pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti.

Dalam pada itu, PKNS FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Pulau Pinang di Stadium Shah Alam.

Dalam aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Felda Uni­ted menang 2-0 ke atas Sarawak.