Showing posts with label KPM. Show all posts
Showing posts with label KPM. Show all posts

Saturday, March 4, 2017

Cadang wujudkan sekolah sukan di Kedah - Mahdzir





Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan Sekolah Sukan Malaysia di Kedah bagi kawasan utara bagi meningkatkan mutu sukan dan merealisasikan agenda pembentukan negara sukan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini terdapat lima sekolah sukan nasional iaitu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Johor; Terengganu; Pahang dan Sabah.

“Bagi kawasan utara, belum ada melainkan sekolah sukan negeri, justeru, kita bercadang mewujudkan sebuah sekolah sukan bertaraf nasional di kawasan utara...dicadangkan di Kedah.

“Cadangan ini bukan bermaksud membina sebuah sekolah baru sebaliknya menaik taraf sekolah sedia ada kepada sekolah sukan bertaraf nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sukan Tenis Negara 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jelutong di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Dr. Mehander Singh Nahar Singh.

Menurut Mahdzir, kementerian akan meneliti beberapa aspek dan menilai sekolah yang berpotensi sebelum melaksanakan cadangan itu.

“Kita belum tentukan sekolah mana, kita akan tunggu laporan, bajet, lokasi, kemudian baru tentukan mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pelaksanaan program Satu Murid Satu Sukan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

“Ia berikutan penilaian pentaksiran berasaskan sekolah yang kini turut mengambil kira aspek kokurikulum dan sukan,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berharap Program Pembangunan Sukan Tenis Negara, yang merupakan jaringan kerjasama antara kementerian, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), dapat melahirkan lebih ramai atlet mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Program yang dimulakan di Kedah diikuti Melaka pada Jun ini, akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.- BERNAMA


SURAYA ANAK PENOREH GETAH YANG BERJAYA




Oleh : Nadya Rizal

Walaupun pernah ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun Suraya Sepit terpaksa menolaknya dengan berat hati memandangkan kesempitan hidup keluarganya.

Suraya, 20, yang merupakan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik kepada pasangan penoreh getah terpaksa memilih memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong, Pahang.

Berkat usaha gigih untuk mengubah hidup, dia bukan sahaja berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan malah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolan Malaysia (STPM) Kategori Orang Asli yang diumumkan hari ini dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.58.

Ditanya resepi kejayaannya, Suraya berkata, dalam menuntut ilmu, dia lebih selesa belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain. Beliau juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri kelas tambahan yang disediakan secara percuma oleh pihak sekolah.

Menurutnya lagi, kejayaan yang dicapainya atas bantuan dan dorongan daripada semua pihak terutama ibu bapa yang menjadi pendorong selama ini selain guru dan rakan-rakan.

Dengan kejayaan tersebut, Suraya akan memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan di Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak

Monday, February 27, 2017

ROTAN KAEDAH DISIPLIN PELAJAR ?



Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid membuka diskusi di akaun Twitternya dengan menyatakan hukuman rotan mungkin salah satu kaedah yang wajar untuk mendisiplinkan pelajar.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat ia bukanlah penyelesaian terakhir untuk mendisiplinkan pelajar.

Pada masa sama, Mahdzir memaklumkan ada pengguna di Facebook yang mencadangkan kepada beliau agar pelaksanaan hukuman dibuat dengan kehadiran waris.

Seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @CaptRahmat berpendapat tindakan tersebut adalah wajar namun kaedah hukuman berkenaan harus dilakukan secara berperingkat.

"Fasa 1, kaunseling di sekolah, kemudian diikuti dengan fasa 2 iaitu kaunseling di sekolah di hadapan ibu bapa serta persetujuan bertulis akan dihukum rotan jika mengulangi kesalahan," kata pengguna Twitter itu.

Pada masa sama, Mahdzir turut mengingatkan semua bahawa asas pembentukan disiplin pelajar perlu bermula di rumah.

"Disiplin diri dibentuk bermula dari rumah dan diasah dalam persekitaran sekolah," ujar Mahdzir.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dalam reaksinya pula berhujah hukuman rotan tidak menyelesaikan masalah.

Menurut PAGE, perkara pokok yang perlu ditangani ialah mengatasi punca kejadian buli yang berlaku di sekolah serta menguatkuasakan program pencegahannya.

Kes buli dilihat terus menjadi-jadi dengan kes yang terbaharu menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu cedera di kepala dipercayai dipukul dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Sunday, February 26, 2017

122 SEKOLAH RENDAH JENIS KEBANGSAAN TERIMA PERUNTUKAN TAHUN 2016


Seperti dijanjikan, 122 buah sekolah rendah jenis kebangsaaan Cina negeri Johor berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan menerima cek bagi peruntukan tahun 2016 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini, menjadikan negeri Johor negeri yang pertama dalam menerima peruntukan tersebut. YB Datuk Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia turut hadir untuk menyampaikan cek tunai kepada wakil Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan guru-guru besar yang hadir.


Negeri Johor adalah negeri yang pertama untuk menerima peruntukan tersebut dan kami mensasarkan negeri-negeri lain turut akan menerima peruntukan masing-masing dalam masa terdekat.


Sejak YAB Datuk Seri Najib mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2008, kesemua SJKC berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan negeri Johor telah mendapat peruntukan sebanyak RM69.1 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama (2009) dan Kedua (2009-2010) serta Pakej-pakej Rangsangan Khas SJKC (2012-2016). Jadi tidak benar sekali dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak menjaga SJKC.

SEMUA SEKOLAH MESRA OKU MENJELANG 2020


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mensasarkan semua sekolah di negara ini dilengkapi kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) menjelang 2020. 


Menterinya, Datuk Seri Mahadzir Khalid, berkata bagi mencapai matlamat itu, beliau berharap lebih banyak pihak swasta tampil bekerjasama dengan kementerian menyediakan kemudahan berkenaan. 


Katanya, setakat ini, hanya RHB Bank melalui Yayasan RHB yang menjalinkan kerjasama dengan pihaknya di lima sekolah terpilih.


 "Bagi pihak kementerian, kita sendiri akan ambil tanggungjawab berkenaan untuk menyediakan kemudahan mesra OKU di sekolah baharu yang bakal dibina kelak. 


"Bagi sekolah yang sudah lama dibina, kita perlu mencari rakan strategik lain untuk membiayai kemudahan berkenaan. Justeru, kita mengalu-alukan pihak swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya. 


Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pendidikan dengan Yayasan RHB di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli. 


Sementara itu, Khairussaleh berkata, Projek Mesra OKU oleh pihaknya itu secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana pembelajaran seperti pelajar normal kepada pelajar OKU. 


"Kami percaya setiap insan mempunyai bakat dan potensi yang boleh diserlahkan jika diberikan peluang sebaiknya oleh masyarakat. "Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin untuk menyediakan peralatan dan kemudahan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.