Thursday, March 22, 2018

300 PEMANDU TEKSI TERIMA LESEN INDIVIDU



Seperti yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini, sekali lagi seramai 300 pemandu teksi menerima lesen individu daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui Program Transformasi Industri Teksi (TITP). Ini satu lagi kesinambungan usaha kerajaan membantu pemandu teksi untuk masuk dalam arus persaingan yang lebih kompetitif. 

Sebelum ini pun pada 31 Mac 2017 yang lalu, SPAD telah memulakan pemberian lesen teksi individu kepada pemandu teksi yang layak dan telah menamatkan tempoh kontrak pajak mereka.

Program TITP ini merupakan sebahagian daripada inisiatif-inisiatif bagi menambahbaik kebajikan para pemandu teksi dan untuk mewujudkan satu persekitaran persaingan yang lebih sihat dan adil dalam industri pengangkutan awam darat.


Sejak Ogos 2016 SPAD telah menerima 3007 permohonan yang telah melalui proses saringan bagi memastikan mereka mematuhi syarat-syarat pelesanan yang ditentukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan industri teksi negara.

Kumpulan kelima penerima lesen ini telah melalui proses saringan yang ketat oleh SPAD, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Mereka yang menerima lesen individu ini terdiri daripada 159 pemandu teksidan 142 pemandu kereta sewa. 

Majlis penyampaian lesen teksi individu ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri. Menurut Nancy pemberian lesen individu ini merupakan satu inisiatif progresif oleh kerajaan dan SPAD dalam merungkai permasalahan, keluh kesah pemandu teksi di bawah sistem pajak yang mencengkam mereka. 

Dengan memberikan pemandu-pemandu teksi ini peluang untuk keluar daripada sistem pajak, kita berharap akan lahirlah satu generasi usahawan teksi yang berkemampuan untuk membuat pilihan yang bijak dan lebih berdaya saing di dalam dunia yang mencabar dan penuh pesaingan ini. 

Oleh itu menerusi TITP, pemberian lesen individu ini diharap kebajikan mereka terjaga dan usaha mereka mendapat perhatian daripada kerajaan. Dan mereka dapat bersaing dengan perkhidmatan lain diluar sana. 

Apa yang lebih menarik, 74 daripada penerima lesen individu pada kali ini turut menerima geran tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru. Geran ini merupakan sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak seperti mana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ketika Pembentangan Bajet 2017.

Sehingga kini seramai 2493 pemandu teksi telah menerima lesen individu dan sebanyak 82 Geran Tunai kerajaan yang bernilai RM410,000 telah diberikan kepada pemandu teksi yang layak. 

Secara keseluruhan, TITP adalah satu pembuka jalan bagi industri teksi Malaysia untuk menjadi lebih mampan dan responsif kepada kuasa pasaran pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment