Selepas mendapat bantahan kepemimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya akur untuk menghentikan rundingan bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, PKR secara rasmi tidak akan mengadakan kerjasama dengan Pas sebaliknya memberi fokus untuk menyusun strategi bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru.
Katanya, pendirian terbaharu PKR itu selaras dengan keputusan mesyuarat majlis presiden pakatan yang dianggotai parti itu bersama DAP, PAN dan PPBM, Isnin lalu.
“Keputusan tidak ada kerjasama dengan Pas kita terima dan akan laksanakan. Fokus kita sekarang ialah untuk membina jentera bagi PRU-14,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini hari ini.
Ditanya keputusan tidak mengadakan kerjasama dengan Pas itu bercanggah dengan kenyataannya pada 26 Ogos lalu yang menegaskan usaha tersebut adalah inisiatif PKR dan bukan pakatan pembangkang, Mohamed Azmin membayangkan, kenyataannya mengenai perkara itu sudah tidak relevan ketika ini.
“Itu pendirian PKR mengadakan rundingan dengan Pas sebelum ini, bukan saya yang batalkan. Majlis presiden pakatan merasakan tempoh PRU-14 makin dekat, maka kita kena siapkan jentera di peringkat bawah,” katanya.
Isu rundingan pembahagian kerusi di antara PKR dan Pas telah mencetuskan pertelingkahan dalaman parti itu apabila Naib Presidennya, Rafizi Ramli bersama beberapa pemimpin PKR lain sebelum ini dilaporkan membantah tindakan kepemimpinan tertinggi partinya melaksanakan rundingan berkenaan.
No comments:
Post a Comment